Khamis, 27 Disember 2012

NAMPAK BAIK, REALITINYA BURUK



Sebahagian masyarakat kita mempunyai pemikiran yang baik atau sekurang-sekurangnya menginginkan kebaikan daripada setiap amalan yang dilakukan. Hal ini merupakan suatu petanda positif sebagai asas untuk mendorong diri menjadi insan yang sentiasa memberi manfaat kepada makhluk Allah azza wa jalla yang lain. Ia juga menjadi bukti bahawa individu tersebut sudah mendapat ‘tolakan’ ke arah jatidiri seorang Muslim yang sejati.
Sungguhpun begitu, amat malang buat sebahagian kita yang beramal atau berbuat kebajikan dengan harapan amalannya tersebut beroleh pahala daripada Allah azza wa jalla, namun hasil yang dituainya hanyalah layak umpama debu-debu yang berterbangan. Mengapakah semua ini berlaku dan apakah puncanya? Oleh sebab itu, setiap amalan perlulah didasari oleh ilmu dan bukan ikut-ikutan.

HARAPKAN PAHALA, DOSA PULA YANG MENIMPA

Cuba anda fikirkan sejenak, pernahkah anda berada pada situasi di mana bacaan al-Quran sedang diperdengarkan sama ada melalui corong-corong radio, CD, kaset atau sebagainya semasa sedang memandu atau bersantai di rumah bersama-sama ahli keluarga? Atau pernahkah anda melihat sahabat atau orang lain yang anda tidak kenali berada pada situasi berkenaan? Bukankah perbuatan tersebut baik atau dengan kata lain ‘lebih baik’ daripada mendengar lagu-lagu yang melalaikan?.

Pandangan yang bersandarkan prasangka merupakan jerat yang paling merbahaya buat manusia, bahkan ia boleh menjerumuskan seseorang kepada dosa. Ia sebagaimana firman Allah azza wa jalla dalam surah al-Hujurat ayat 12:

Terjemahannya: “Wahai orang-orang yang beriman! jauhilah kebanyakan daripada sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana Sesungguhnya sebahagian daripada sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya Yang lain. Adakah seseorang daripada kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadaNya. (oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; Sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani”.

Oleh kerana itu, Allah azza wa jalla sudah menetapkan peraturan kehidupan ini yang kesemuanya dititipkan di dalam al-Quran yang mulia. Peraturan tersebut diperkuatkan lagi dengan kehadiran utusannya iaitu Muhammad ibn Abdullah Sallallahu Alayh wa Sallam yang bertindak sebagai pemberi peringatan dan pengkhabar berita gembira. Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pernah berpesan:

إياكم والظنَّ فإنَّ الظنَّ أكذبُ الحديثِ ، ولا تحَسَّسُوا ، ولا تجَسَّسُوا

Terjemahannya: “Berhati-hatilah kamu dengan prasangka (yang dilarang), sesungguhnya prasangka tersebut seburuk-buruk perkataan, (oleh itu) janganlah kamu berprasangka dan janganlah kamu mengintip (keburukan orang lain).

Berbalik kepada isu yang dibangkitkan pada permulaan tadi, ramai dalam kalangan kita yang menyangka bahawa perbuatan tersebut merupakan tuntutan agama. Sebaliknya, jika diperhatikan kepada perbuatan, perkataan dan pengakuan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam tiada suatu hadith pun yang diriwayatkan oleh para sahabat tentang perbuatan seumpama itu. Walhal merekalah (para sahabat) yang paling rapat dengan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan sangat prihatin terhadap al-Quran.

            Pernah diceritakan tentang kisah Umar ibn al-Khattab yang meminta Abu Musa al-Ash’ari menceritakan tentang Allah azza wa jalla. Lalu Abu Musa al-Ash’ari membacakan ayat-ayat al-Quran sedang Umar ibn al-Khattab dan para sahabat yang lain mendengar dan menghayatinya[1]. Kisah ini jelas menggambarkan suasana tenang dan fokus para sahabat apabila ayat al-Quran dibacakan. Ia merupakan hasil kefahaman yang mendalam hasil didikan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam tentang wahyu Allah azza wa jalla dalam surah al-A’raf ayat 204:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُواْ لَهُ وَأَنصِتُواْ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Terjemahannya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah, serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat”.

Berpandukan tafsir al-Quran al-Azim, kewajipan mendengar dengan taat dan arahan tidak berbicara (diam) tersebut hanyalah ketika sedang menunaikan solat dan ketika khutbah Jumaat[2]. Namun, berlainan pula halnya dengan individu yang sengaja memasang bacaan al-Quran dalam keadaan manusia sedang leka dengan urusan dunianya atau dengan ayat mudahnya ‘memaksa masyarakat mendengarnya’. Perbuatan ini memungkinkan individu tersebut beroleh dosa, bahkan tambah memburukkan keadaan ialah beliau turut melibatkan sama masyarakat yang lalai daripada mendengarnya mendapat dosa. Fenomena sebegini sudah pun berlaku pada zaman Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, sehinggakan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam membuat pengaduan kepada Allah azza wa jalla.

Terjemahannya: “Dan berkatalah Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam: "Wahai Tuhanku Sesungguhnya kaumku telah menjadikan Al-Quran ini satu perlembagaan yang ditinggalkan, tidak dipakai".

Lantas Allah azza wa jalla menjawab sebagai Tasliyah (menghiburkan hati) kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam:
           
Terjemahannya: “Dan Demikianlah Kami jadikan bagi tiap-tiap Nabi, (mempunyai) musuh dalam kalangan orang-orang yang berdosa; dan cukuplah Tuhanmu (Wahai Muhammad) menjadi pemimpin (ke jalan mengalahkan mereka) serta menjadi Penolong (bagimu terhadap mereka)”.

Justeru, perbuatan mengabaikan daripada mendengar bacaan al-Qur’an dan meneliti maksudnya merupakan maksiat kepada Allah azza wa jalla. Sewajarnya pihak masjid, surau atau agensi-agensi yang berkaitan tidak memasang bacaan ayat al-Quran bukan pada waktu yang sesuai. Ditakuti pahala yang kita harapkan bertukar menjadi dosa yang mendukacitakan.

HARAPKAN BERKAT, RUPA-RUPANYA PETANDA KIAMAT

Baru-baru ini kedengaran seperti bakal diadakan pertandingan ‘Masjid Cemerlang’ di peringkat kebangsaan. Atau mungkin sebahagian negeri sudah pun melaksanakan pertandingan yang seumpama dengannya. Apa yang merunsingkan ialah antara elemen yang menjadi penilaian panel penilai merupakan kecantikan hiasan ruang masjid. Penulis tidak membantah mahupun menolak usaha ini secara total, kerana dasarnya memang baik iaitu bagi mewujudkan suasana masjid yang kondusif dan aktif dalam mempersebarluas ilmu Islam kepada masyarakat. Namun, apabila ia dijadikan sebagai pertandingan, ditakuti pihak jawatankuasa yang terlibat akan tersalah tafsir atau niat mereka menjadi goyah dek kerana untuk mengejar gelaran ‘Masjid Cemerlang’. Ingatkah lagi kita kepada kisah masjid Dirar, yang dibina betul-betul bersebelahan dengan masjid Quba’. Apakah tujuan pembinaannya oleh golongan munafik tersebut?.

            Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pernah menceritakan perihal umatnya pada akhir zaman yang bakal bermegah-megah dalam mendirikan masjid yang cantik[3]. Malah perbuatan tersebut dikaitkan dengan pula antara tanda-tanda hadirnya Kiamat. Bahkan Ibn Abbas memperincikan lagi perbuatan sebilangan dalam kalangan kita yang asyik sibuk memperhiaskan dinding-dinding masjid dengan ukiran, gambar, jam, warna-warna yang menawan dan sebagainya melalui katanya: “Sungguh kamu akan memperindah dan menghiasinya (masjid) sebagaimana orang-orang Yahudi dan Nasrani memperindah dan menghiasi tempat ibadah mereka”[4]. Bukankah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pernah memberi amaran kepada umatnya tentang akibat yang bakal menimpa pelakunya menerusi hadith Abu al-Darda’:

إذا حليتم مصاحفكم وزخرفتم مساجدكم فالدمار عليكم

Terjemahannya: “Apabila kamu telah menghias mushaf-mushaf (al-Quran), dan menghiasi masjid-masjid kamu, (nescaya) kehancuran akan menimpa kamu[5].

Justeru, elakkanlah daripada menghiasi masjid-masjid atau surau-surau dengan elemen-elemen yang boleh menghilangkan kekhusyukan dan minimumkanlah unsur-unsur yang boleh mengganggu para jemaah yang datang solat ke masjid anda. Bukankah dinding yang bercorak dan sejadah yang bergambar itu mampu mengalihkan perhatian orang yang sedang bersolat?.

MUHASABAH

Beramal berpaksikan ilmu perlu dititik beratkan oleh umat Islam kini, bercakap mengikut hawa nafsu tanpa bertunjangkan ilmu yang sebenar sudah semakin menular dalam kalangan masyarakat kita hari ini. Banyak perbuatan atau amalan yang dilihat baik oleh masyarakat hakikatnya bukanlah baik di sisi Islam. Semua ini incha Allah akan dikembangkan lagi oleh penulis pada artikel akan datang. Wallahu A’lam.


[1] Majmu’ al-Fatawi oleh Ibn Taimiyyah: 11/626.
[2] Tafsir al-Quran al-Azim oleh Ibn Kathir,2/372.
[3] Sunan Nasa'I, 2:32. Syeikh Al-Albani mengesahkannya dalam Shahih Al-Jami' al-Soghir 5:213, no.5771, Sahih Ibn Khuzaimah 2:282, hadith no.1322-1323 dengan tahqiq Dr. Muhammad Musthafa Al-A'zhami. Beliau berkata Isnadnya shahih.
[4] Sahih Bukhari, Kitab Al-Solah, Bab Bunyan al-Masajid, 1:539.
[5] Sahih: Diriwayatkan oleh al-Hakim dan al-Turmuzi dalam al-Nawadir dan dalam Sahih al-Jami’ no.585.

Tiada ulasan: