Ahad, 23 Disember 2012

SIRI 3: CINTA NABI (Sifat Amanah dan Jujur)


[5]          Para musuh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mengakui amanah beliau sebelum kesaksian para sahabat beliau. Abu Sufyan, pemuka Makkah, telah mengakuinya sebelum beliau memeluk agama Islam di hadapan penguasa Romawi, Kaisar Hercules. Sedangkan Hercules meminta kesaksiannya, saat itu Kaisar menerima surat Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang mengajaknya memeluk Islam.
Hercules berkata kepada Abu Sufyan: Aku ingin bertanya kepadamu apa yang diperintahkan Muhammad kepada kalian?, Abu Sufyan pun menjawab bahawa Muhammad Sallallahu Alayhi wa Sallam:

يأمر بالصلاة والصدق والعفاف والوفاء بالعهد وأداء الأمانة

Terjemahannya: Memerintahkan kepada solat, bersifat jujur, menjauhi yang buruk, memenuhi janji dan menunaikan amanah[1].

Hercules selanjutnya menjawab: (Benar-benar) Semua ini adalah sifat seorang Nabi!”.

[6]          Jaafar ibn Abu Thalib pernah menceritakan tentang kisah dialognya bersama Raja Habshah (Etopia) yang bernama al-Najashi. Ketika al-Najashi bertanya kepada beliau tentang agama yang mereka anuti. Antara jawapan Jaafar ialah:

حتى بعث الله رسولا منا نعرف نسبه وصدقه وأمانته وعفافه

Terjemahannya: “Sehingga Allah mengutus kepada kami seorang Rasul daripada kalangan kami, kami mengenal keturunannya (Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam), kejujurannya, amanahnya dan sikapnya dalam menjaga diri daripada perlakuan buruk[2].

Peringatan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam tentang Amanah

Pertama: Amanah dikaitkan dengan Iman

         لا إيمان لمن لا أمانة له ولا دين لمن لا عهد له

Terjemahannya: “Tiada Iman (iaitu tidak sempurna Iman seseorang) bagi (mereka) yang tidak memiliki sifat Amanah dan tiada Agama (iaitu tidak sempurna agama seseorang) bagi (mereka) yang tidak mampu berpegang kepada janji[3].

Kedua: Amanah dikaitkan dengan Penyesalan

إنها أمانة، وإنها يوم القيامة خزي وندامة إلا من أخذها بحقها وأدى الذي عليها فيها

Terjemahannya: “Ia (kepimpinan) itu adalah amanah, dan ia akan menjadi kehinaan dan penyesalan pada Hari Kiamat, kecuali bagi sesiapa yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan kewajiban dirinya padanya” [4].

Ketiga: Amanah dikaitkan dengan Bahaya

ما من عبد يسترعيه الله رعيته، يموت يوم يموت، وهو غاش لرعيته إلا حرم الله عليه الجنة

Terjemahannya: “Tidaklah seseorang hamba yang dipertanggungjawabkan untuk memimpin rakyat, meninggal dalam keadaan berlaku curang kepada rakyatnya, melainkan pasti Allah mengharamkan baginya Syurga[5].


Hadith-hadith di atas menunjukkan kesempurnaan akhlak Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang diakui sendiri oleh para sahabat mahupun golongan Kafir yang hidup di sekeliling Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Antara sifat mulia yang digariskan dalam kisah di atas ialah Jujur, Amanah, Menjaga Maruah daripada perlakuan Maksiat dan Menepati janji. Oleh itu, kita digalakkan untuk mengikut jejak Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam dengan mengamalkan segala suruhan dan meniru setiap perlakuannya. Memegang tanggungjawab dengan amanah dan tidak khianat, berlaku jujur dalam setiap urusan dan tidak curang, Mengelak daripada melakukan perkara munkar dan tidak meletakkan diri dalam perkara-perkara syubhat, serta mengotakan janji yang ditaburkan dan tidak menodainya. Di samping itu, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam turut memberi amaran tentang bahayanya amanah. Justeru, berhati-hatilah dengan amanah yang telah diberikan. Setiap kita adalah pemimpin, sekalipun tidak mempunyai sebarang jawatan dalam masyarakat atau organisasi, sekurang-kurangnya kita mempunyai amanah terhadap diri kita sendiri. Wallahu A’lam.

[1] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 2681
[2] Diriwayatkan oleh Ahmad no.1742. Sanadnya dihasankan oleh Syeikh al-Arnauth dalam Ta’liqnya atas Musnad 37/175.
[3] Diriwayatkan oleh Ahmad no. 11975. Dinilai Hasan oleh Syeikh al-Arnauth dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ no. 7179.
[4] Diriwayatkan oleh Muslim no. 1825 dari hadith Abu Dzar al-Ghifari.
[5] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 7150 dan Muslim no. 142 dari hadith Ma’qil bin Yasar.

Tiada ulasan: