Rabu, 1 Januari 2014

MAKANAN SUNNAH: MADU [AL-SHIFA'-SAUDI]



Madu lebah merupakan salah satu makanan yang disebutkan Allah azza wa jalla dalam al-Quran, bahkan mendapat pengiktirafanNya sebagai syifa’ (penyembuh) bagi manusia. Hal ini sebagaimana yang dinyatakan Allah azza wa jalla melalui firmanNya dalam surah al-Nahl ayat 69:

ثُمَّ كُلِي مِنْ كُلِّ الثَّمَرَاتِ فَاسْلُكِي سُبُلَ رَبِّكِ ذُلُلًا ۚ يَخْرُجُ مِنْ بُطُونِهَا شَرَابٌ مُخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِلنَّاسِ ۗ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَةً لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Terjemahannya: “Kemudian makanlah dari segala jenis bunga-bungaan dan buah-buahan (yang Kau sukai), serta ikutilah jalan-jalan peraturan Tuhanmu yang diilhamkan dan dimudahkannya kepadamu". (dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya (lebah) minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari pelbagai penyakit). Sesungguhnya pada yang demikian itu, ada tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) bagi orang-orang yang mahu berfikir”.

Berdasarkan ayat di atas, secara konteksnya menjelaskan bahawa Allah azza wa jalla mengajar lebah agar membina sarangnya di gunung-ganang, di pepohonan kayu dan di bangunan-bangunan yang dibina manusia. Lalu, Allah azza wa jalla mengajar lebah agar memakan (manisan) bunga dan buah. Hasilnya, manusia akan memperoleh manfaat daripada perut lebah tersebut yang berupa madu dalam pelbagai variasi warna seperti putih, kuning, merah dan sebagainya, serta ia merupakan penyembuh bagi pelbagai penyakit yang dialami manusia. Semua yang dilakukan Allah azza wa jalla ini merupakan salah satu tanda kasih sayangNya terhadap hamba-hambaNya.

Ibnu Abbas turut meriwayatkan bahawa Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam pernah bersabda:

الشِّفاءُ في ثلاثةٍ : في شَرطَةِ مِحجَمٍ ، أو شَربةِ عسلٍ ، أو كيَّةٍ بنارٍ ، وأنا أنهى أمَّتي عنِ الكيِّ[1]

Terjemahannya: “Terdapat tiga penyembuh kepada penyakit, iaitu: “Melalui bekam, meminum madu, atau pengubatan dengan menggunakan besi panas (al-kayy). Dan aku (Nabi) melarang ummatku melakukan pengubatan dengan besi panas tersebut (kayy)”.

                Dalam sejarah penceritaan tentang detik-detik kehidupan Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam pernah dicatatkan sebuah kisah yang menarik tentang kemujaraban Madu dengan izin Allah azza wa jalla. Abu Sa’id al-Khudri menceritakan, pada suatu ketika, Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam didatangi seorang pemuda yang mengadu kepadanya tentang saudaranya yang mengalami sakit perut. Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menyarankannya agar diberikan kepada saudaranya sedikit madu. Lalu, pemuda tersebut pulang dan melakukan sepertimana yang dianjurkan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam kepadanya. Namun, beliau tidak melihat sebarang petanda sihat pada saudaranya. Beliau segera kembali bertemu Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam mengadukan hal yang sama. Akan tetapi, Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam tetap memberi jawapan yang sama iaitu agar diberikan kepadanya madu. Setelah tiga kali mencuba dengan memberikannya madu dan berulang-alik bertemu dan mengadu kepada Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam. Akhirnya buat kali keempat, Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam berkata kepadanya:

" صدق الله ، وكذب بطن أخيك ، اذهب فاسقه عسلا "

Terjemahannya: “Allah azza wa jalla berkata benar, (akan tetapi) perut saudara kamu yang menipu, (sekarang) pulang (ke rumah kamu) dan berikannya madu (lagi)”.     

Setelah itu, sakit saudaranya pun berkurangan dan perlahan-lahan beransur sembuh[2]. Al-Imam al-Zurqoni berpandangan bahawa hadith ini menjelaskan tentang kebenaran firman Allah azza wa jalla tentang kesembuhan penyakit yang ada pada madu. Dalam masa yang sama, menjelaskan tentang faktor pemakanan yang diambil oleh pemuda tersebut (sama ada dari segi khasiat, kualiti atau kehalalan) menjadi sebab penyakitnya sukar untuk pulih, bahkan memerlukan masa untuk sembuh sepenuhnya bagi menyahkan kotoran yang terdapat dalam badan pemuda tersebut[3].

Oleh itu, hendaklah kita yakin bahawa Madu merupakan salah satu makanan sunnah yang mempunyai khasiatnya yang tersendiri, selain kelebihannya sebagai salah satu penyembuh penyakit yang diiktiraf. Di samping, Madu juga merupakan salah satu makanan yang sangat disukai Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam[4], selain daripada labu, cuka, kurma dan sebagainya. Wallahu A’lam. 

Produk ini dijual pada harga berikut:
  1. MADU AL-SHIFA' 500g RM25
  2. MADU AL-SHIFA' 750g RM35
  3. MADU AL-SHIFA' 1kg RM45


[1] Sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no5681 daripada Ibn Abbas Radhiyallahu Anh.
[2] Sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no.5360.
[3] Al-Zurqoni, Syarh al-Zurqoni ‘Ala al-Mawahib al-Laduniyyah, halaman 4431.
[4] Sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no.5614 daripada Aisyah bint Abi Bakr Radhiyallahu Anha.

Tiada ulasan: