Selasa, 3 September 2013

SIRI 1 : MANASIK (Penghayatan Umrah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam)


Tercatat dalam Sahih al-Bukhari sebuah kisah yang diceritakan oleh Anas bin Malik (anak Ummu Sulaym) Radhiyallahu Anh bahawa:

اعتمَرَ رسولُ اللهِ صلى الله عليه وسلم أربعَ عُمَرٍ ، كلُّهُنَّ في ذي القَعْدَةِ ، إلا التي كانت مع حِجَّتِه : عمرةٌ مِن الحُدَيْبِيَةِ في ذي القَعْدَةِ ، وعمرةٌ مِن العامِ المُقْبِلِ في ذي القَعْدَةِ ، وعمرةٌ مِن الجُعْرَانةِ ، حيث قَسَمَ غنائمَ حُنَيْنٍ في ذي القَعْدَةِ ، وعمرةٌ مع حَجَّتِه.

Terjemahannya: “Rasulullah Sallallahu ALayh wa Sallam telah mengerjakan umrah sebanyak 4 kali, kesemuanya pada bulan Zulkaedah, kecuali umrahnya yang disertakan dengan Haji. (Iaitu) Umrah Hudaibiyah, Umrah Tahun Berikutnya (Qadha’), Umrah Ji’ranah yang menyaksikan peristiwa Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam membahagikan harta rampasan dalam peperangan Hunain dan Umrah yang disertakan dengan Haji”[1].

Berpandukan hadith ini dan semaksud dengannya, tiada sebarang perselisihan oleh para ulama berkaitan bilangan Haji dan Umrah yang pernah dilakukan oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Kesemua Haji dan Umrah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam juga dikerjakan dalam sebuah perjalanan yang tersendiri, atau dengan kata lain, sekali Umrah untuk sekali perjalanan. Sebagai contoh dalam peristiwa Umrah Qadha’ hasil keputusan yang dicapai dalam perjanjian Hudaibiyah pada tahun 6 Hijrah. Ia menyaksikan Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam berada di Mekah selama 3 hari dan sepanjang tempoh itu tidak didapati sebarang catatan Hadith mahupun Athar yang menceritakan tentang pengulangan Umrah berkali-kali yang dilakukan oleh Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam mahupun para sahabatnya. Dari sudut yang lain pula, hadith ini turut menegaskan kemuliaan dan kelebihan melakukan amalan Umrah pada bulan Zulkaedah bagi menafikan dakwaan atau persepsi masyarakat Jahiliyyah yang menganggap Umrah pada bulan tersebut sebagai ‘afjar al-fujur’ (amalan tercela)[2].

KRONOLOGI UMRAH DAN HAJI NABI SALLALLAHU ALAYH WA SALLAM

Menurut Ibn Qayyim al-Jawziyyah dalam karyanya yang berjudul ‘Zad al-Ma’ad fi Hadyi Khayr al-Ibad’[3], Umrah Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam yang pertama berlangsung pada tahun ke 6 Hijrah. Ia berlaku di suatu kawasan yang bernama Hudaibiyah (nama sekarang dikenali sebagai al-Syumaisi) dengan mengambil miqat (tempat berniat) Zu al-Hulayfah di Madinah.

Umrah Pertama: Umrah Hudaibiyah.

Perjalanan umrah ini terhenti disebabkan tindakan Musyrikin Mekah menghalang rombongan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam daripada memasuki Mekah. Sehingga berlakunya beberapa peristiwa seperti perutusan Uthman bin Affan dan beberapa wakil yang lain kepada Musyrikin Mekah untuk berbincang serta berita yang tersebar tentang kematian Uthman yang membawa kepada termeterainya Bay’at al-Ridwan atau juga dikenali sebagai ‘perjanjian pokok’. Tujuan perjanjian tersebut diadakan, tidak lain hanyalah untuk menyatakan taat setia dan kesediaan para sahabat kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam bagi menuntut bela atas kematian Uthman. Sungguhpun begitu, ia tidak terjadi lantaran berita tersebut hanyalah khabar angin palsu semata. Hakikatnya, setelah pihak Musyrikin Mekah mengetahui tentang pakatan umat Islam tersebut, mereka merasa gentar lantas terus membebaskan Uthman.

Melihatkan kepada kesungguhan umat Islam dan tekad mereka untuk memasuki Mekah, Musyrikin Mekah menyedari bahawa taktik mereka untuk menyekat niat umat Islam memasuki Mekah pastinya tidak berhasil. Oleh yang demikian, bermulalah perbincangan dua hala antara umat Islam dan Musyrikin Mekah di Hudaibiyah dan akhirnya mencatatkan beberapa deklarasi yang disepakati oleh kedua-dua pihak. Antara intipati utama perjanjian Hudaibiyah tersebut adalah umat Islam hanya dibenarkan untuk mengerjakan Umrah pada tahun berikutnya dan bukan pada tahun tersebut[4]. Hal ini menyaksikan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mengarahkan para sahabatnya untuk menyembelih haiwan ternakan dan bercukur sebagai denda (dam) kerana mereka sudah berihram dan berniat Umrah. Sabda Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam:

قُوْمُوْا فَانْحَرُوْا، ثُمَّ احْلِقُوْ.

Terjemahannya: “Segeralah kamu semua berkorban (menyembelih), kemudian cukurlah rambut kamu semua”.

Dalam catatan hadith tersebut, dinukilkan kisah selanjutnya tentang keengganan para sahabat mendengar arahan Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam akibat kekecewaan mereka terhadap beberapa keputusan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang dilihat memberi kelebihan kepada Musyrikin Mekah. Sekalipun Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mengulangi arahannya sebanyak 3 kali, namun masih belum berupaya menggerakkan hati para sahabatnya untuk melaksanakan perintahnya. Lalu isterinya iaitu Ummu Salamah Radhyallahu Anha menasihati Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam, katanya:

يا نبيَّ اللهِ، أَتَحُبُّ ذلك، اخرُجْ لا تُكَلِّمْ أحدًا منهم كلمةً، حتى تَنْحَرَ بُدْنَك، وتَدْعُوَ حالقَك فيَحْلِقَكَ

Terjemahannya: “Wahai Nabi Allah, adakah kau ingin mereka melaksanakan perintahmu? (Kalau begitu) Keluarlah dan jangan bercakap dengan sesiapa pun, sampailah kau menyembelih  haiwan korbanmu dan memanggil tukang cukur untuk mencukur rambutmu”.[5]

Lantas Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam keluar dari ruangan bilik isterinya dan terus melaksanakan cadangan isterinya –Ummu Salamah-. Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam memilih untuk menyembelih unta milik Abu Jahal yang dirampas ketika perang Badar yang lalu agar menimbulkan rasa berang orang-orang Musyrikin. Tatkala para sahabat melihat perbuatan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam tersebut, mereka terus bergegas melakukan perkara sama sepertimana perbuatan Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam iaitu menyembelih dan bercukur. Kemudian, Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dan para sahabat bersiap-siap untuk untuk pulang ke Madinah setelah menetap di Hudaibiyah selama 20 hari[6].

HUDAIBIYAH MENCATAT SEBUAH MUKJIZAT

Di sebalik peristiwa perjanjian Hudaibiyah, turut tersemat sebuah kisah agung yang diriwayatkan oleh al-Barra’ bin Azib radhiyallahu anh, katanya:

كنا يومَ الحديبيةِ أربعَ عشرةَ مائةً ، والحُدَيْبِيَّةُ بئرٌ ، فنَزَحْنَاها حتى لم نَتْرَكْ فيها قطرةً ، فجلَسَ النبيُّ صلى الله عليه وسلم على شَفِيرِ البِئْرِ فدعا بماءٍ ، فمَضَمَضَ ومَجَّ في البِئْرِ ، فمَكَثْنَا غيرَ بعيدٍ ، ثم استَقَيْنَا حتى رُوِينَا ، ورَوَتْ أو صَدَرَتْ ركائبُنَا

Terjemahannya: “(Bilangan) Kami pada hari Hudaibiyah ialah seramai 114 orang. Di Hudaibiyah terdapat sebuah telaga, dan kami telah mengambil airnya sehingga menyebabkannya menjadi kering kontang. Setelah itu, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam duduk di sisi telaga tersebut, lantas meminta air dan berkumur-kumur dengannya, lalu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam meludahkannya ke dalam telaga tersebut. Tidak lama selepas itu, kami pun mengambil air di telaga tersebut sehingga kami puas menggunakannya”[7].

Kisah ini merupakan salah satu bukti mukjizat atau perkara luar biasa yang berlaku kepada Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam. Terdapat juga riwayat lain daripada Jabir radhiyallahu anh yang menceritakan tentang keluarnya air dari jari jemari Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam saat para sahabat kehausan yang turut berlaku di Hudaibiyah[8].

          Justeru, sekiranya kita sampai atau berkunjung ke Hudaibiyah seharusnya dihayati segala peristiwa yang berlaku padanya dan bukan sekadar menganggap Hudaibiyah sebagai tempat bermiqat sahaja. Alangkah indah perjalanan manasik Umrah kita berbekalkan ilmu yang sahih tanpa tokok tambah daripada sangkaan akal dan logik serta ‘modal’ para pencerita. 

RUMUSAN YANG DIPEROLEHI

  1. Bilangan Umrah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berpandukan hadith yang sahih hanyalah 4 kali dengan setiap satu perjalanan satu kali Umrah.
  2. Sebagai dalil model Umrah dengan bermiqat di Zu al-Hulayfah atau Hudaibiyah atau turut dikenali sebagai al-Syumaisi.
  3. Sebagai dalil bagi permasalahan al-ihsar (orang yang berniat ihram Umrah atau Haji tetapi terhalang oleh sebab-sebab tertentu seperti Kuarantin Penyakit, Kerosakan Penerbangan, Permasalahan Visa di pertengahan jalan dan sebagainya). Penyelesaiannya ialah dengan menjelaskan Dam sebanyak seekor kambing, atau 1/7 daripada unta atau lembu, lalu bercukur, dan boleh meneruskan perjalanan pulang ke tanah air.
  4. Kewajipan mematuhi pemimpin sekalipun keputusan yang dilakukan bertentangan dengan pandangan peribadi.
  5. Peranan isteri dalam menyelesaikan permasalahan atau kesulitan yang dialami seorang suami.
  6. Pemimpin perlu menonjolkan contoh yang baik untuk diikuti oleh para pengikut dan bukan hanya sekadar pandai berkata-kata dan memberi arahan.
  7. Air yang memancar hasil ludahan dan gerak jari-jemari Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam merupakan antara mukjizat yang dianugerahkan Allah azza wa jalla dan ia berfungsi sebagai melemahkan musuh dan menguatkan keyakinan umat Islam.
  8. Hudaibiyah tiada sebarang kelebihan khusus, segala peristiwa yang berlaku hanya sebagai catatan sejarah dan sekalipun ia kelihatan menakjubkan, namun ketakjuban Hudaibyah tersebut masih tidak mampu mengatasi kemuliaan Mekah dan Madinah secara amnya.
Wallahu A’lam.


[1] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.4148.
[2] Al-Nawawi, Syarh Muslim, Jil. 8 : 235.
[3] Zadul Ma’ad, Jil.2 halaman: 89.
[4] Perjanjian Hudaibiyah: (1) Umrah pada tahun berikutnya, tanpa membawa senjata kecuali pedang bersarung yang disimpan di dalam beg dan menetap tidak lebih daripada 3 hari (2) Gencatan senjata selama 10 tahun (3) Boleh membuat perjanjian dengan mana-mana pihak samaada dengan Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam mahupun Musyrikin Quraisy Mekah (4) Pelarian Quraisy yang pergi kepada Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam akan dikembalikan, manakala pelarian daripada pihak Islam tidak akan dikembalikan. [al-Watha’iq al-Siyasiyyah, m/s 58].
[5] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.2731.
[6] Al-Thahawi, Syarh Ma’ani al-Athar, Jil. 2 : 242. Sanadnya Sahih.
[7] Diriwayatkan oleh Al-Bukhari, no. 3577.
[8] Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no. 3576.

Tiada ulasan: