Artikel ini merupakan
sambungan daripada artikel sebelumnya yang berjudul SIRI I dan SIRI II: MANASIK
(Penghayatan Umrah Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam)
Perjalanan umrah ini berlangsung pada
bulan Zulkaedah tahun ke-8 Hijrah, rentetan daripada peristiwa penaklukan kota
Mekah pada tanggal 19 Ramadhan yang membawa kepada tercetusnya api peperangan
Hunayn pada tanggal 10 Syawal.
Nabi
Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dan para sahabat berjaya menakluk kota
Mekah dalam keadaan halal (tidak berihram). Setelah bermukim selama 17 hari di
Mekah, tersebar berita tentang desas-desus puak Hawazin ingin memerangi Nabi
Sallallahu Alayh wa Sallam dan rombongannya. Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam
mempersiapkan bala tenteranya yang sememangnya sudahpun bersiap siaga lantaran
pertempuran yang tidak berlaku ketika peristiwa penaklukan kota Mekah dahulu. Diriwayatkan
juga bahawa dalam menghadapi peperangan ini, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam
telah meminjam 100 buah baju besi daripada Safwan bin Umayyah yang ketika itu
merupakan seorang Musyrik[2].
Pada tanggal 5 Syawal, pasukan perang umat Islam mula bertolak keluar daripada
Mekah menuju ke lembah Hunayn untuk menakluk wilayah Hawazin dan Thaqif[3].
Perlu ditegaskan di sini bahawa pemergian rombongan umat Islam keluar dari
Mekah ini berlaku bukanlah bertujuan untuk menunaikan Umrah secara khusus,
tetapi hanyalah bertujuan memerangi puak Hawazin[4].
Pemergian
Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dan para sahabat ini sudahpun dapat
dihidu oleh puak Hawazin yang awal-awal lagi sudah mempersiapkan pasukan perang
yang dikepalai oleh Malik bin Auf al-Nasry. Beliau telah bertindak pantas menghimpun
harta, para wanita dan anak-anak kecil agar tiada seorang pun yang tercicir.
Harapan mereka supaya dapat tiba dahulu di lembah Hunayn, seterusnya dapat
menyerang tentera Muslimin sebelum mereka diserang[5].
Ternyata kemenangan berpihak kepada umat Islam sekalipun pada awalnya mendapat
tentangan yang sangat hebat daripada puak Hawazin. Selepas Islam mencapai kemenagan
dalam peperangan tersebut, Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dan para
sahabatnya berhenti di Ji’ranah yang terletak di wadi Sarif untuk
membahagi-bahagikan tawanan dan ghanimah[6]
(harta rampasan perang Hunayn milik puak Hawazin).
PENYERTAAN GOLONGAN
AL-THULAQA’
Perang Hunayn dianggap antara perang
terbesar yang pernah mencatatkan penyertaan tentera umat Islam yang paling
ramai sepanjang sejarah dan yang paling memberi manfaat. Bilangan tentera Islam
mencecah 10,000 orang yang terdiri daripada golongan Muhajirin, Ansar dan
suku-suku kaum Arab pedalaman (الأعراب)[7].
Turut sama bergabung dengan tentera Islam adalah golongan yang digelar
al-Thulaqa’ (الطلقاء).
Al-Thulaqa’
bermaksud golongan yang mendapat kebebasan dan ia diberi oleh Nabi Muhammad
Sallallahu ALayh wa Sallam kepada golongan yang memeluk Islam ketika berlakunya
peristiwa penaklukan Mekah. Antara individu yang termasuk dalam golongan ini
ialah Uyaynah bin Hasn, Al-Aqra’ bin Habis, Alqamah bin Ulasah, Suhayl bin Amr,
Hakim bin Hizam, Abu Sufyan bin Harb dan Safwan bin Umayyah[8].
Mereka semuanya memperoleh bahagian yang banyak dalam harta rampasan perang
Hunayn berbanding golongan-golongan yang lain, sehingga mencetus sedikit rasa
kurang senang golongan Ansar. Hakikatnya, tindakan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam
tersebut diambil bagi tujuan memikat hati mereka yang baharu sahaja hatinya
dilunakkan menerima Islam. Lihat sahaja ungkapan Safwan bin Umayyah setelah
mendapat bahagiannya, katanya:“
واللهِ ! لقد أعطاني رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه
وسلَّمَ ما أعطاني ، وإنه لأبغضُ الناسِ إليَّ . فما برح يعطيني حتى إنه لأحبُّ الناسِ
إليَّ
Terjemahannya: “Demi
Allah, Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam telah memberiku apa yang dia telah
berikan kepadaku, sedangkan dia adalah orang yang paling aku benci. Tetapi dia sering
memberiku, sehinggalah dia menjadi orang yang paling aku cintai”[9].
Kesan
negatif penyertaan golongan ini dalam perang Hunayn mula terjelma tatkala
rombongan umat Islam melalui sebuah pohon yang digelar ‘Zat Anwath’ oleh
kaum Jahiliyyah dalam perjalanan menuju lembah Hunayn. Mengikut budaya dan adat
kaum Musyrikin, pokok tersebut digunakan untuk menggantung senjata-senjata
mereka. Lalu berkatalah salah seorang daripada mereka: “Wahai Rasulullah,
buatkanlah untuk kami ‘Zat Anwath’. Jawab Nabi Sallallahu Alayh wa
Sallam:
سبحانَ اللهِ هذا كما قالَ قومُ موسى اجْعَلْ لَنَا
إِلَهًا كَمَا لَهُمْ آلِهَةٌ
والَّذي نفسي
بيدِهِ لترْكبُنَّ سنَّةَ مَن كانَ قبلَكم
Terjemahannya: “Subhanallah,
Ucapan ini sama seperti ucapan kaum Nabi Musa Alayhissalam “Buatkanlah untuk
kami sebagaimana mereka memiliki tuhan-tuhan”. Demi yang jiwaku berada di
tanganNya, sungguh benar-benar kamu akan mengikuti budaya orang-orang sebelum
kamu”[10].
Kisah ini menunjukkan salah satu tanda
jiwa mereka masih baharu dalam Islam dan belum bersih daripada noda Jahiliyyah
yang masih menebal dalam sanubari mereka. Sungguhpun begitu, Nabi Sallallahu
Alayh wa Sallam tidak terus menghukum mereka disebabkan Nabi Sallallahu Alayh
wa Sallam sedar bahawa permintaan tersebut diucapkan berikutan ketidakjelasan
persepsi mereka terhadap tauhid Islam yang sebenar.
PEMBAHAGIAN GHANIMAH DAN
PERLAKSANAAN UMRAH
Tanah Ji’ranah menyaksikan beberapa peristiwa
penting dalam sejarah Islam, antaranya ialah peristiwa pembahagian tawanan dan
ghanimah perang Hunayn dan tempat Miqat Nabi Muhammad Sallallahu ALayh wa
Sallam dan para sahabatnya untuk menunaikan umrah.
Dianggarkan
jumlah tawanan perang Hunayn seramai 6,000 orang[11],
sementara harta yang dirampas pula terdiri daripada 24,000 ekor unta dan lebih
40,000 ekor kambing[12].
Sungguhpun begitu, jumlah tersebut tidak semestinya tepat. Namun yang pasti,
jumlah harta yang dirampas sangat banyak dan Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa
Sallam mengarahkan para sahabatnya agar menahan harta tersebut di Ji’ranah
sehingga Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam kembali daripada pengepungan Thaif[13].
Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam tidak tergesa-gesa membahagikan
ghanimah tersebut dengan harapan puak Hawazin datang menemuinya dan memeluk
Islam. Namun, setelah menunggu selama 13 malam[14],
akhirnya Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam membahagikan ghanimah tersebut.
Setelah selesai dibahagi, tiba-tiba datang beberapa wakil daripada puak Hawazin
untuk memeluk Islam dan mereka meminta dikembalikan harta serta ahli keluarga
mereka yang ditawan. Lantas Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam memberi
pilihan antara keduanya dan mereka akhirnya memilih untuk dikembalikan tawanan
sahaja[15].
Peristiwa pengislaman puak Hawazin ini sangat menggembirakan Nabi Sallallahu
Alayh wa Sallam ditambah lagi dengan keislaman ketua prajurit mereka iaitu
Malik bin Auf al-Nashri.
Setelah
selesai semuanya, bergeraklah rombongan Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa
Sallam dan para sahabat menuju ke Mekah semula bagi tujuan melaksanakan umrah
dengan bermiqatkan Ji’ranah. Oleh yang demikian, inilah umrah yang ketiga Nabi
Sallallahu Alayh wa Sallam yang sangat berkait rapat dengan peristiwa penaklukan
Mekah, perang Hunayn dan pengepungan Thaif. Pada tanggal 24 Zulkaedah tahun
ke-8 Hijrah, barulah rombongan Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam kembali
semula ke Madinah[16].
Wallahu A’lam.
[1]
Al-Fasi, Syifa’ al-Gharam, Jil.1: 293.
[2]
Sahih: Diriwayatkan oleh al-Hakim dalam Mustadraknya Jil.3: 48.
[3]
Ibn Hisyam, al-Sirah, Jil.2: 437 dan lihat Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari,
Jil.2: 562, 8: 27.
[4]
Ibn Taymiyyah, Majmu’ al Fatawa, Jil.26: 254
[5]
Al-Tabari, Tarikh al-Rusul wa al-Muluk, Jil.3: 70.
[6]
Harta yang dirampas bukan mulalui peperangan pula digelar sebagai al-Fay’.
[7]
Diriwayatkan oleh Al-Bukhari no.4337 daripada hadis Anas bin Malik.
[8]
Diriwayatkan oleh Muslim no.1060 daripada hadis Rafi’ bin Hudaij.
[9]
Diriwayatkan oleh Muslim no.2313 daripada hadis Tariq bin Syihab.
[10]
Hasan Sahih: Diriwayatkan oleh al-Turmuzi dalam Sunannya, no.2180 daripada Abu
Waqid al-Laythi.
[11]
Ibn Sa’ad, al-Thabaqat. Jil.2: 155.
[12]
Ibid, Jil.2: 152.
[13]
Sanadnya Hasan: Diriwayatkan oleh al-Bazzar dalam Kasyf al-Atsar 2: 353.
Dinilai oleh Ibn Hajar dalam al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah, 1:145.
[14]
Sebahagian riwayat 10 malam dan sebahagiannya menyatakan belasan malam.
[15]
Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.4318.
[16]
Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no.4333.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan