Khamis, 22 November 2012

SUNNAH MEMILIKI DAN MENAIKI KENDERAAN



Adab Memiliki Kenderaan

Kebanyakan kita sering memperkatakan tentang kecanggihan kenderaan yang dimiliki, kekuatan enjin, kelancaran pemanduan dan sebagainya. Terdapat dalam kalangan kita juga yang sibuk membicarakan mengenai kes-kes yang berlaku di jalanraya seperti beg diragut ketika menaiki motor atau kereta, kemalangan jalanraya dan kerosakan kereta. Bahkan, sebahagian kita juga membincangkan tentang bahayanya pelaksanaan sistem AES, cara melepaskan diri daripada ‘Road Block’ dan sebagainya.

Hakikatnya, kesemua isu yang dibangkitkan adalah permasalahan duniawi yang berkehendak kepada usaha yang didasari oleh penyelesaian secara logik. Secara umumnya, ia dapat diatasi sekiranya seseorang pemandu itu mengutamakan kebijaksanaan dalam mencegah ‘ruang dan peluang’ daripada menjadi mangsa ragut, kepekaan dalam mempersiapkan kenderaan sebelum memulakan pejalanan dan kesedaran tentang kepentingan mematuhi undang-undang jalanraya.

Oleh sebab itu, kita seharusnya sedar bahawa kenderaan yang dimiliki dan berupaya dipandu dengan baik tanpa sebarang masalah merupakan antara nikmat Allah azza wa jalla kepada hambaNya, lantas ia sewajarnya disyukuri berpandukan ayat 12-13 dari surah az-Zukhruf:

Maknanya: “Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya dan ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya. Supaya kamu duduk tetap di atasnya, kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya…”

Malah, kita bukan sahaja dituntut agar mensyukuri nikmat Allah tersebut, tetapi perlu juga disusuli tawakkal (berserah diri) kepada Allah azza wa jalla. Menurut Imam Ahmad ibn Hanbal sepertimana yang dinukilkan oleh al-Imam al-Baihaqi, Tawakkal bermaksud penyerahan segala urusan kepada Allahazza wa jalla sekaligus percaya sepenuhnya hanya kepada-Nya semata-mata [1]. Sebagaimana tindakan seseorang hamba menyandarkan urusannya kepada Allah Azza wa Jalla semata, yang tiada sekutu bagi-Nya dalam semua urusannya, baik urusan agama mahupun urusan duniawinya [2].

Sungguhpun begitu, tawakkal bukan bererti kita boleh mengabaikan usaha. Merujuk kepada Hadith Ja'far ibn Amr ibn Umayyah daripada ayahnya Radhiyallahu 'anhu, ia berkata: "Seseorang berkata kepada Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam: “Aku lepaskan untaku dan (lalu) aku bertawakkal”. Jawab Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam: '(Malah) Ikatlah untamu kemudian bertawakkallah [3].

Tatacara Bermusafir Mengikut Perspektif Sunnah

Terdapat pelbagai variasi dalam sunnah bermusafir ini berpandukan hadith-hadith yang sahih. Namun dapat diringkaskan perlaksanaan tatacaranya seperti berikut:

1-    Ketika Menaiki Kenderaan

Merujuk kepada Hadith Abdullah ibn Umar radhiallahu anhuma mengenai tatacara Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam bermusafir:

أنَّ رَسُولَ اللهِ – صلى الله عليه وسلم -  كَانَ إِذَا استَوَى عَلَى بَعِيرِهِ خَارِجًا إِلَى سَفَرٍ كَبَّرَ ثَلاثًا ثُمَّ قَالَ: سُبحَانَ الَّذِي سَخَّرَ لَنَا هَذَا وَمَا كُنَّا لَهُ مُقرِنِينَ * وَإِنَّا إِلَى رَبِّنَا لَمُنقَلِبُونَ{ اللهمَّ إِنَّا نَسأَلُكَ في سَفَرِنَا هَذَا البِرَّ وَالتَّقوَى، وَمِن العَمَلِ مَا تَرضَى، اللهمَّ هَوِّن عَلَينَا سَفَرَنَا هَذَا وَاطوِ عَنَّا بُعدَهُ، اللهمَّ أَنتَ الصَّاحِبُ في السَّفَرِ، وَالخَلِيفَةُ في الأَهلِ، اللهمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِن وَعثَاءِ السَّفَرِ، وَكَآبَةِ المَنظَرِ، وَسُوءِ المُنقَلَبِ في المَالِ وَالأَهلِ.وَإِذَا رَجَعَ قَالَهُنَّ وَزَادَ فِيهِنَّ: آيِبُونَ تَائِبُونَ عَابِدُونَ لِرَبِّنَا حَامِدُونَ.

Maksudnya: “Apabila Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam telah berada di atas kenderaannya untuk memulakan perjalanan (bermusafir), terlebih dahulu Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam bertakbir sebanyak tiga kali. Kemudian Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam membaca (doa):

“Subhaa nallazi Sakhkhoro lana Haza wa ma Kunna lahu Muqriniin, wa Inna Ila Robbinaa Lamunqolibun, Allaahumma Inna Nas’aluka Fi Safarina Hazal Birra wat Taqwa wa Minal ‘Amali Maa Tardo, Allaahumma Hawwin ‘Alayna Safaranaa Haza wat Wi ‘Annaa Bu’dahu, Allahumma Antas Soohibu fis Safari wal Kholifatu fil Ahli, Allahumma Inni ‘A’uzu bika Min Wa’ saa is Safari, wa ka’aabatil Manzar, wa Suu’il Munqolib fil Maal wal Ahl

Manakala, tatkala Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam dalam pejalanan pulang, Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam membaca do’a tersebut dan menambah pada penghujungnya: “Aayibuunat Taa’ibuuna ‘Aabiduuna Lirobbinaa Haamiduun” (Kami kembali dengan bertaubat, tetap beribadah dan selalu memuji Rabb kami).” (Sahih: Riwayat Muslim no. 1342)

Begitu juga terdapat hadith yang menceritakan tentang perihal Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam apabila meletakkan kakinya di atas kenderaan, Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam akan menyebut ‘Bismillah’ dan apabila sudah berada di atas kenderaannya Sallallahu Alayh wa Sallam menyebut pula ‘Alhamdulillah’, dan kemudiannya barulah Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam membaca doa sepertimana di atas[4].

2-    Ketika Sedang dalam Perjalanan

Jabir ibn Abdillah pernah menceritakan bahawa ketika beliau dan Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam dalam perjalanan (bermusafir), mereka bertakbir dengan membaca Allahu Akbar apabila melalui jalan yang berbukit (tinggi) dan sekiranya jalanannya menurun pula, mereka bertasbih dengan membaca Subhanallah”[5]. Begitu juga disunnahkan membaca “A’uuzu bikalimatillaahit Taammaati Min Syarri ma Kholaq”, apabila berhenti disuatu persinggahan ataupun R&R. Menurut Khaulah bintu Hakim, Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam mengatakan bahawa sesiapa yang membaca doa tersebut, nescaya tidak akan ada sesuatupun yang membahayakannya (selama mana dia berada di kawasan itu) sehingga dia beredar dari kawasan tersebut[6].

3-    Sesudah Tiba di Destinasi

Disunnahkan juga, setibanya di destinasi yang dituju untuk singgah dahulu di masjid bagi menunaikan solat sunat 2 rakaat. Hal ini berpandukan kepada Hadith Ka’ab ibn Malik radhiallahu anhu yang menceritakan bahawa Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam apabila tiba daripada bermusafir pada waktu dhuha, Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam akan masuk ke masjid dan shalat dua rakaat sebelum duduk”[7].

            Konklusinya, memiliki kenderaan yang baik dan canggih merupakan antara nikmat kurniaan Allah azza wa jalla yang seharusnya disyukuri. Usaha secara fizikal kenderaan perlulah juga diambil berat bagi mengatasi sebarang masalah dan kecelakaan yang tidak mengira masa dan tempat. Ia seharusnya diikat dengan tali Tawakkal kepada Allah. Selebihnya dianjurkan pula mengikut sunnah Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam dalam bermusafir agar sentiasa mendapat kemanisan iman dan rezki yang tidak disangka-sangka. Wallahu A’lam.


[1] Kitab Syu’abul Iimaan (II/57), karya al-Baihaqi Abul Husain Ahmad bin al-Husain
[2] Kitab Al-Kalimaat an-Naafi’ah fii al-Mukaffiraat al-Waaqi’ah, karangan Syeikh Muhammad ibn Abdil Wahhab, hal 6-7.
[3] Al-Mustadrak Alash Shahihain, Kitab Ma'rifatish Shahabah, Dzikru Amr bin Umayah Radhiyallahu 'anhu, 3/623. Al-Hafizh Adz-Dzahabi berkata, Sanad hadist ini 'jayyid'. (At-Talkhis, 3/623).
[4] Hasan Sahih: Abu Daud no.2602, dan At-Tirmizi no. 3446, Riwayat Ahmad: 1/97: Syaikh Ahmad Syakir menilai sanadnya sebagai Sahih.
[5] Sahih: Riwayat al-Bukhari no.2994
[6] Sahih: Riwayat Muslim no. 2708
[7] Muttafaqun Alayh: Riwayat Al-Bukhari no.4418 dan Muslim no 2769

Tiada ulasan: