Khamis, 15 November 2012

MUHARRAM BUKAN BULAN HIJRAH


Bulan Muharram merupakan bulan pertama mengikut perkiraan kalendar Hijrah yang diperkenalkan pada era pemerintahan Umar al-Khattab. Ramai terkeliru antara permulaan kalendar Hijrah dan permulaan Hijrah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam.


Mengikut pandangan yang asah, peristiwa hijrah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berlaku pada bulan Rabi’ul Awwal. Shaykh al-Mubarakfuri dalam karyanya al-Rahiq al-Makhtum menyimpulkan bahawa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam keluar dari rumahnya menuju ke rumah Abu Bakr al-Siddiq pada malam 28 Safar tahun ke-14 kerasulan[1]. Sungguhpun begitu, pandangan yang lebih tepat adalah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam keluar menuju ke rumah Abu Bakr pada waktu tengahari dan bukan pada waktu malam berpandukan kepada Hadith Aisyah:

“Pada suatu hari, ketika kami sedang duduk (bersantai) di rumah Abu Bakar pada waktu tengahari, tiba-tiba ada orang berkata kepada Abu Bakar, “Itu Rasulullah datang pada waktu yang jarang ia datang kepada kami”. Abu Bakar pun berkata, “Demi Allah ! Ku tebus engkau dengan ibubapaku. Pasti ada perkara penting yang mendorongnya datang pada waktu ini”. Aisyah menceritakan, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pun tiba. Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam meminta izin (untuk masuk). Terus diizinkan, lalu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam masuk sambil berkata kepada Abu Bakar, “Keluarkanlah sesiapa yang ada di dalam rumahmu”. Abu Bakar berkata, “Tiada orang lain, (melainkan) mereka ahli keluargaku. Kutebus engkau dengan ayahku wahai Rasulullah!”. Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pun berkata, “Sesungguhnya aku telah diizinkan untuk keluar”. Abu Bakar pun berkata, “Ku tebus engkau dengan ayahku, wahai Rasulullah, adakah engkau mahukan saya bersama?” Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menjawab, “Ya”. Abu Bakar berkata, “Kalau begitu ambillah salah satu daripada dua ekor unta saya ini, wahai Rasulullah ! Ku tebus engkau dengan ayahku”. Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berkata, “Dengan dibeli”.[Sahih al-Bukhari, no. 3905]

Kesemua ahli keluarga Abu Bakr sangat memainkan peranan penting dalam peristiwa Hijrah ini. Termasuklah anak-anak Abu Bakr iaitu Aisyah dan Asma’ yang ditugaskan menyediakan bekalan bagi perjalanan ayahnya dan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam:

Kata Aisyah: “Kami pun menyediakan keperluan-keperluan perjalanan untuk mereka berdua dengan segera dan kami memasukkan makanan untuk mereka ke dalam satu bungkusan. Asma’ membelah dua tali pinggangnya lalu mengikat bungkusan itu dengannya kerana itulah beliau dinamakan ‘perempuan yang mempunyai dua tali pinggang’ (Zaat al-Nithaqain)” [Sahih al-Bukhari, no. 3905].

Pada waktu itu juga, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan Abu Bakr memulakan perjalanan menuju ke Ghar Thaur (Gua Thaur) untuk berlindung daripada pandangan dan pengetahuan Kafir Quraisy. Turut serta dalam perjalanan ini adalah anak muda yang bernama Abdullah (anak Abu Bakr) yang merupakan seorang pemuda bijak dan agresif. Abdullah memegang watak yang amat besar dalam Hijrah ini, setiap pagi sebelum terbitnya fajar beliau sudah berada di Mekah bersama-sama orang Quraisy sedangkan pada waktu malamnya pula beliau datang menemui ayahnya dan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bagi menyampaikan berita tentang ancaman daripada Kafir Quraisy.

Di samping itu, hamba Abu Bakr yang bernama Amir ibn Fuhairah turut berperanan dalam Hijrah ini, beliau menternak kambing di kawasan berhampiran Gua Thaur dan melepaskan kambing-kambing tersebut pada waktu selepas Isyak menyebabkan Nabi dan Abu Bakr sentiasa kekenyangan kerana dapat meminum susunya. Keadaan ini berlarutan selama tiga malam Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan Abu Bakr berselindung disebalik kegelapan Gua Thaur[2].

Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan Abu Bakr memulakan perjalanan menuju ke Yathrib (Madinah) dengan mengupah seorang lelaki daripada Bani Dayl keluarga ‘As Bin Wa’il as-Sahmi yang bernama Abdullah ibn Uraiqit sebagai pemandu arah sekalipun beliau bukanlah seorang Muslim. Sungguhpun begitu, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan Abu Bakr meletakkan sepenuh kepercayaan kepada beliau. Sebagai perjanjian, beliau telah menerima dua ekor unta daripada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan Abu Bakr. Pada tanggal 1 Rabiul Awwal, Amir ibn Fuhairah dan Abdullah ibn Uraiqit (pemandu arah) berangkatlah bersama Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan Abu Bakr dengan melalui jalan persisiran pantai yang jarang dilalui oleh kabilah-kabilah Arab pada waktu tersebut.

Pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal, Sallallahu Alayh wa Sallam dan Abu Bakr tiba di suatu tempat yang terletak antara Mekah dan Madinah yang bernama Quba’. Di situlah berlakunya peristiwa pembinaan Masjid Pertama dalam Islam yang diberi nama Masjid Quba’ bersempena nama tempat tersebut. Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan rombongan Hijrah umat Islam dari Mekah bergabung lalu bermalam di Quba’ selama 4 hari. Pada tanggal 12 Rabiul Awwal iaitu selepas selesai menunaikan solat Jumaat, barulah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan umat Islam meneruskan perjalanan menuju Yathrib dan setibanya  Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam  di Yathrib, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menamakan kota tersebut sebagai al-Madinah al-Munawwarah[3].

Wallahu A3lam.

Kesimpulannya:
1-      Hijrah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berlaku pada waktu tengahari dari rumah Abu Bakr di Bulan Rabi’ul Awwal.
2-      Kesemua ahli keluarga Abu Bakr memainkan peranan penting dalam peristiwa Hijrah ini.
3-      Tiada disebutkan kisah burung merpati, labah-labah mahupun Ali yang menggantikan tempat tidur Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dalam riwayat yang sahih.
4-   Diharuskan berkerjasama dengan non-Muslim selagimana ia boleh dipercayai dan menepati janji.



[1] Sirah Ibnu Hisham 2:93.
[2] Lihat Sahih al-Bukhari, no. 3905 Hadith Aisyah.
[3] al-Mubarakfuri, al-Rahiq al-Makhtum, 163-172. Beirut: Muassasah Fuad

Tiada ulasan: