Isnin, 5 November 2012

MUHARRAM YANG DINANTI



 Bulan Muharram merupakan antara 4 bulan yang memiliki kehormatan di sisi Allah Azza wa Jalla. Ia berpandukan kepada hadith Abu Bakrah Nafi’ ibn al-Harith, bahawa Nabi Muhammad Sallallahu Alayhi wa Sallam bersabda:

إنَّ الزمانَ قد استدارَ كهيئتِهِ يومَ خلقَ اللهُ السماواتِ والأرضَ . السنةُ اثنا عشرةَ شهرا . منها أربعةٌ حُرُمٌ . ثلاثةٌ مُتوالياتٌ : ذو القعدةِ وذو الحجةِ والمحرمُ . ورجبُ ، شهرُ مُضَرَ ، الذي بينَ جمادَى وشعبانَ

Terjemahannya: “Sesungguhnya zaman telah berputar kembali seperti bentuknya ketika Allah menciptakan langit-langit dan bumi, satu tahun itu mempunyai 12 bulan dan di antara bulan-bulan tersebut, terdapat 4 bulan haram (yang memiliki kehormatan), 3 bulan (daripadanya) berturut-turut (iaitu): Dzul Qoi’dah, Dzul Hijjah dan Muharram. Manakala bulan Rajab ialah Mudhor iaitu yang berada antara Jumadil (akhir) dan Sya’ban”. (Sahih: Al-Bukhari dan Muslim)

Di sebalik pengiktirafan tersebut, tersembunyi satu peristiwa penting yang seharusnya dititik beratkan oleh umat Islam sejagat, sehinggakan lahirnya suatu galakan, menunaikan ibadah puasa pada hari tersebut. Itulah hari yang digelar Hari Asyura.

Berkenaan Hari Asyura ini, Aisyah bint Abi Bakr radhiallahu ‘anha pernah menceritakan bahawa: 

كان يومُ عاشوراءَ تصومُه قريشٌ في الجاهليةِ، وكان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم يصومُه، فلما قَدِمَ المدينةَ صامه وأمَر بصيامِه، فلما فُرِضَ رمضانُ ترك يومَ عاشوراءَ، فمَن شاء صامه ومَن شاء ترَكَه

“Orang-orang Quraisy pada zaman Jahiliyah dahulunya berpuasa Hari Asyura dan begitu juga Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam turut sama berpuasa. Tatkala Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam berhijrah ke Madinah, beliau tetap berpuasa Hari Asyura bahkan memerintahkan (manusia) untuk berpuasa padanya. Dan tatkala (puasa) Ramadhan diwajibkan, Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam meninggalkan (puasa) Hari Asyura. Maka (mulai saat itu) siapa sahaja yang ingin (berpuasa Hari Asyura), berpuasalah dan siapa yang tidak mahu (berpuasa) maka tinggalkanlah”. (Muttafaqun Alayh)

Timbul persoalan, mengapakah orang-orang Quraisy pada zaman tersebut berpuasa pada Hari Asyura?. Jawapannya boleh disingkap melalui dialog antara Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam dan Yahudi Madinah yang diceritakan oleh ‘Abdullah ibn ‘Abbas radhiallahu ‘anhuma bahawa:

قَدِمَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم المدينةَ، فرأَى اليهودَ تصومُ يومَ عاشوراءَ، فقال : ( ما هذا ) . قالوا : هذا يومٌ صالحٌ، هذا يومَ نجَّى اللهُ بني إسرائيلَ من عدُوِّهم، فصامه موسى . قال : ( فأنا أحقُّ بموسى منكم ) . فصامه وأمَر بصيامِه

“Setibanya Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam di Madinah (dalam peristiwa Hijrah), beliau mendapati orang-orang Yahudi berpuasa pada Hari ‘Asyura. Lalu Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam bertanya kepada mereka (orang-orang Yahudi):“Apa ini?”, mereka (orang-orang Yahudi) menjawab: “Ini adalah hari yang baik, (kerana) hari ini adalah hari di mana Allah menyelamatkan Bani Isra`il daripada musuh mereka, maka (disebabkan itu) Musa berpuasa pada hari ini”. Lantas Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam bersabda: “Kalau begitu (kisahnya) saya lebih berhak mengikuti Musa daripada kalian (orang-orang Yahudi)”. Selepas itu Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam pun berpuasa Hari Asyura dan memerintahkan (manusia) untuk turut sama berpuasa”. (Muttafaqun Alayh)

Mungkin ada antara kita yang mempersoalkan, mengapakah kita perlu berpuasa pada hari yang diagung-agungkan oleh orang Yahudi dan Nasrani (Kristian)? Jawapannya boleh disingkap melalui pemahaman yang sahih dan jelas daripada hadith Ibn Abbas radhiallahu ‘anhuma, bahawa:

“Tatkala Rasulullah Shollallahu ‘alaihi wa ‘ala alihi wasallam berpuasa pada hari ‘Asyura dan beliau memerintahkan (manusia) untuk berpuasa, mereka (para sahabat) berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya ini adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nasrani”. Lantas Rasulullah Shollallahu ‘alayhi wa sallam bersabda: “Jika tahun hadapan (aku masih hidup) insya Allah, kita akan berpuasa pada hari kesembilan (dalam bulan Muharram)”. (Ibnu ‘Abbas) berkata: Belum sempat tahun berikutnya tiba, Rasulullah Shollallahu ‘alaihi wa sallam wafat”. (Sahih: Riwayat Muslim)

Kisah ini membuktikan kesungguhan dan komitmen Nabi Shollallahu ‘alaihi wa sallam dalam menyelisihi perbuatan orang-orang Yahudi dan Nasrani. Sungguhpun Nabi Shollallahu ‘alaihi wa sallam belum sempat melaksanakan puasa pada hari kesembilan tersebut, namun penyaksian keazaman beliau sudah cukup untuk menjadikan ia dalil pensyariatan berpuasa pada hari tersebut.

Konklusinya:
1-      Hukum berpuasa pada Hari Asyura adalah sunat, bukan wajib.
2-      Puasa Asyura mula disyariatkan ketika pertama kali Rasulullah Sallallahu ‘alayhi wa Sallam tiba di Madinah daripada Hijrah.
3-      Sebab digalakkan berpuasa pada Hari Asyura ialah kerana pada hari tersebut Allah azza wa jalla telah menyelamatkan Nabi Musa dan Bani Isra’il daripada musuhnya. Secara langsung menafikan dakwaan orientalis yang mengatakan Islam menganjurkan puasa tersebut sebagai mengikut ajaran Yahudi.
4-      Disunatkan juga berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh Muharram sebagai menyelisihi atau membezakan antara amalan agama Islam dengan Yahudi dan Nasrani.

Wallahu A'lam

Tiada ulasan: