Selasa, 27 November 2012

ISU PALESTIN: ANJURAN QUNUT NAZILAH BUKAN SOLAT HAJAT



Dunia Islam semakin dicabar oleh keganasan dan kerakusan Yahudi dan kroni-kroni mereka. Kekejaman yang diwarisi sejak berkurun lamanya masih tidak menunjukkan sebarang jalan penyelesaian. Usaha pendamaian yang dilakukan seperti perjanjian damai, genjatan senjata dan sebagainya masih tidak membuahkan sebarang hasil yang positif. Sebaliknya Yahudi bijak mengambil kesempatan membantai dengan sewenang-wenangnya komuniti Gaza, Palestin yang terdiri daripada masyarakat Muslim dan Kristian.


Umat Islam di Malaysia sangat prihatin terhadap bencana dan musibah yang melanda sahabat seagama dan seaqidah mereka di seantero dunia. Sebagai tanda prihatin dan simpati, menjadi kebiasaan umat Islam di Malaysia mengadakan ‘program’ solat Hajat secara berjemaah di setiap masjid dan surau. Fenomena ini tidak diketahui asal-usulnya, berkemungkinan datangnya daripada pengaruh para asatizah yang mewarisi budaya tersebut tanpa merujuk kepada nas yang sahih dan lebih tepat. Ironinya, para asatizah di Malaysia ini lazimnya didokong oleh bekas-bekas penuntut universiti timur tengah seperti Mesir, Jordan, Syria, Morocco dan sebagainya yang langsung tidak mengamalkan ‘Solat Hajat Perdana’ sebagaimana yang mereka uar-uarkan. Namun malangnya, keberadaan mereka di sana tidak banyak membantu dalam melakukan revolusi kesalahfahaman agama umat Islam di Malaysia terhadap amalan sunnah yang dianjurkan.

Merujuk kepada musibah yang sedang dihadapi oleh komuniti Gaza ketika ini, ia seakan-akan boleh dibandingkan dengan peristiwa yang berlaku pada zaman Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam. Peristiwa yang masyhur dengan jolokan ‘Bir Ma’unah’ iaitu telaga Ma’unah ini berlaku pada bulan Safar tahun 4 Hijrah. Peristiwa ini dinukilkan oleh al-Bukhari dalam Sahihnya melalui hadith Anas ibn Malik dan begitu juga dengan hadith-hadith lain[1] yang menceritakan bagaimana pembunuhan yang kejam dilakukan oleh suku Ri’l, Zakwan, Bani Lihyan dan ‘Usoyyah yang didokongi oleh hasutan ‘Amir ibn Thufayl sekalipun utusan Nabi Sallalahu Alayhi wa Sallam seramai 70 orang tersebut mendapat jaminan perlindungan daripada Abu Barra’ iaitu Amir ibn Malik. Sedangkan pada awalnya, ‘Amir ibn Thufayl menghasut Bani Amir yang diketuai Amir ibn Malik, namun mereka menolaknya kerana berpegang kepada janji yang dipersetujui bersama Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam. Peristiwa tersebut menyebabkan kematian kesemua utusan Nabi Sallalahu Alayhi wa Sallam kecuali seorang iaitu Ka’b ibn Zaid ibn An-Najjar yang ketika itu terluka dan terbaring bersama mayat para sahabat yang lain. Tambah mendukacitakan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam adalah kerana kesemua 70 orang sahabat yang terkorban merupakan para huffaz al-Quran.

Rentetan kesedihan dan kedukacitaan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam tersebut, Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam melaksanakan qunut selama sebulan bagi mendoakan kemusnahan golongan yang menindas para sahabat Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam. Emosi Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam ketika itu sangat terganggu sepertimana yang digambarkan oleh Anas ibn Malik:

قَنَتَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا حِينَ قُتِلَ الْقُرَّاءُ فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حَزِنَ حُزْنًا قَطُّ أَشَدَّ مِنْهُ
Terjemahannya: “Rasulullah Sollallahu Alayhi wa Sallam melaksanakan Qunut selama sebulan ketika para qurra` itu terbunuh dan aku (Anas) belum pernah melihat Rasulullah Sallallahu Alayhi wa Sallam begitu berdukacita jika hendak dibandingkan dengan kejadian tersebut.” [Sahih: Riwayat al-Bukhari]

Begitu juga, hadith Abdullah ibn Abbas yang menggambarkan betapa konsistennya Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam dalam mendoakan kehancuran kepada mereka:

وَعَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ: قَنَتَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَصَلاَةِ الْصُّبْحِ فِيْ دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ إِذَا قَالَ: سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ، مِنَ الرَّكْعَةِ اْلأَخِرَةِ يَدْعُوْ عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِيْ سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ، وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَهُ.

Terjemahannya: “Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi wa Sallam pernah berqunut selama sebulan secara terus-menerus pada solat Zuhur, ‘Asar, Maghrib, Isya’ dan Subuh pada akhir setiap solat, (iaitu) apabila ia mengucap Sami’Allahu liman hamidah pada raka’at terakhir, Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi wa Sallam mendoakan kebinasaan atas suku Ri’lin, Zakwan dan ‘Usoyyah yang berada di perkampungan Bani Sulaim, dan orang-orang di belakang Rasulullah Sallallahu ‘Alayhi wa Sallam mengucapkan amin[2].

Al-Imam al-Hakim menukilkan bahwa ‘Ikrimah pernah berkata: “Inilah kali pertama Qunut dilaksanakan”[3]. Berpandukan Hadith Anas dan Abdullah ibn Abbas tersebut, disimpulkan bahawa Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam melaksanakan qunut pada setiap fardhu solat (bukan sekadar Subuh) selama sebulan kerana musibah yang melanda umat Islam dan selepas itu (selepas sebulan tersebut) Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam tidak melaksanakannya. Permasalahan qunut ini menurut Ibn al-Qayyim al-Jauziyyah boleh diklasifikasikan kepada dua jenis, iaitu:

Pertama: Qunut ketika ditimpa musibah atau bencana (qunut Nazilah) sepertimana yang dilaksanakan oleh Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam sebelum ini, Qunut yang dilakukan oleh Abu Bakar ketika memerangi Musaylamah Al-Kazzab (yang mengaku diri sebagai Rasul) serta Qunut yang dilakukan ‘Umar al-Khattab dan ‘Ali ketika menghadapi pasukan Mu’awiyah dan penduduk Syam dalam Perang Siffin.
Kedua: Qunut yang mutlak iaitu memanjangkan rukun solat seperti berdiri, sujud dan lainnya untuk berdoa dan memuji Allah[4].

Konklusinya, umat Islam di Malaysia seharusnya sedar akan kepentingan melaksanakan Qunut Nazilah pada setiap solat Fardhu, memohon agar dihancurkan Yahudi Zionis dan membantutkan segala usaha dan strategi mereka untuk merampas tanah al-Quds daripada umat Islam. Institusi Agama seperti JAKIM, Jabatan Agama Negeri, para imam dan organisasi yang berkepentingan seharusnya memainkan peranan dalam memperinci perlaksanaan sunnah ini. Hal ini kerana zaman Islam kini sudah semakin dihentam dari segenap sudut dan tempat, sepertimana peperangan antara agama yang berlaku di Selatan Thailand, Rohingnya dan penghinaan terhadap Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam melalui karikatur mahupun filem. Disamping, kedudukan hadith berkaitan solat Hajat itu sendiri dipertikaikan oleh sebahagian besar ulama Hadith, antaranya al-Imam al-Bukhari rahimahullah, katanya:

“Kesemua perawi yang telah aku jelaskan tentang hadis berkenaan solat hajat padanya berstatus munkarul hadis (seorang pembicara yang bohong), maka tidak boleh diterima riwayatnya”[5]

Bahkan menurut penulis, sekalipun amalan tersebut diterima, perlaksanaannya pula bukanlah secara berjemaah sebagaimana hadith Uthman ibn Hunayf yang mengisahkan dialog antara seorang buta dengan Rasulullah Sollallahu Alayhi wa Sallam dan sebagainya[6]. Sekiranya kita ingin mengambil pendekatan menunaikan solat Hajat sekalipun, sewajarnya kita mendahulukan sunnah yang sahih dan tepat daripada hanya melaksanakan sesuatu ibadah dengan melulu tanpa berpandukan ilmu bersumber daripada nas yang sahih. Bukankah syarat penerimaan sesuatu amalan itu adalah ikhlas dan mutaba’ah (bertepatan atau mengikut) perbuatan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam. Wallahu A’lam.




[1] Hadits seperti ini juga telah diriwayatkan oleh Abu Dawud no.1443, Ibnu al-Jarud no.106, Ahmad (1/301),
[2] Sahih: Riwayat al-Hakim (1/325) menurutnya hadith ini sahih mengikut syarat al-Bukhari dan turut disepakati oleh az-Zahabi.
[3] Lihat Irwa’ul Ghalil  2: 163
[4] Zadul Ma’ad 1: 273-285
[5] Mizanul I’tidal 1: 6
[6] Hadith Hassan Sahih Gharib: Riwayat  al-Turmuzi, Kitab ad-Da'awat 'an Rasulillah, fi du'aa' addho'iif, Ibn Majah: Kitab Iqamah as-Solah wa as-Sunnah fiha.

Tiada ulasan: