Sabtu, 16 Mac 2013

TUJUAN PENSYARIATAN DOA DAN ZIKIR DALAM ISLAM


Islam mewajibkan ke atas umatnya melaksanakan ibadah kepada Allah azza wa jalla sebagaimana yang diajar oleh Nabi Muhammad Sallallahu ALayh wa Sallam. Perlaksanaan ibadah ini pada dasarnya bersifat Tawqifi (iaitu: tetap sepertimana yang ditunjukkan oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam) dan ia sama sekali tidak boleh diubah mahupun ditokok tambah. Sekiranya berlaku salah satu atau kedua-dua perkara tersebut, ia bakal membantutkan maqasid (tujuan pensyariatan) sesuatu ibadah itu. Perlu difahami bahawa setiap ibadah yang disyariatkan Allah azza wa jalla, perintah-perintahNya serta larangan-laranganNya mempunyai hikmah atau kelebihan disebaliknya, sama ada dijelaskan oleh Allah azza wa jalla mahupun yang tersembunyi. Sungguhpun begitu, kelebihan tersebut tidak akan diperoleh sekiranya ia tidak menepati garis panduan yang ditetapkan dalam sesuatu ibadah.


KRITERIA DOA DAN ZIKIR MENURUT SUNNAH

Antara ibadah yang terkandung dalam syariat Islam ialah doa dan zikir. Bagi menggarap hikmah pensyariatannya dalam kehidupan di dunia dan akhirat, kita seharusnya berwaspada dengan sesuatu bentuk doa dan zikir yang hendak diungkapkan, agar bersesuaian dan menepati kriteria yang ditetapkan.

Pertama: Menepati Lafaz (Ungkapan) yang Terkandung dalam al-Quran dan Hadith.

Sultan al-Ulama’ Izz al-Din ibn Abd al-Salam berpandangan bahawa setiap ungkapan zikir atau doa daripada al-Quran lebih utama berbanding ungkapan yang disaring untuk tujuan tertentu[1]. Secara logiknya juga, ia memang diakui sendiri oleh umat Islam, tiada perkataan mahupun ungkapan yang terbaik melebihi ungkapan yang terkandung di dalam al-Quran kerana ia merupakan perkataan Allah azza wa jalla. Sebagai contoh, doa yang dipanjatkan oleh Nabi Zakariya Alayhis Salam ketika memohon agar dikurniakan zuriat yang soleh[2], doa Nabi Ibrahim agar beliau dan zuriatnya tergolong dalam kalangan hamba Allah azza wa jalla yang mendirikan solat[3] dan banyak lagi ayat yang berbentuk doa.     

Kedua: Mengikut Situasi dan Kadar Bilangan yang ditentukan.

Al-Imam ibn Hajar al-Asqalani pernah memberi komentar berhubung perkara ini dan beliau berpandangan bahawa lafaz zikir adalah Tawqifi, disebaliknya mempunyai rahsia dan kelebihan tertentu, (justeru) tidak boleh melakukan kiasan (al-Qiyas) ke atasnya dan sewajarnya dikekalkan lafaznya sebagaimana ia dinukilkan[4]. Terdapat zikir-zikir dan doa yang warid daripada Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam yang sebahagiannya dijelaskan masa, tempat mahupun keadaannya, sebagaimana doa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam selepas selesai daripada menjamu hidangan pada suatu jamuan yang dihadirinya. Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam mendoakan tuan rumah dengan:

اللهم اغفر لهم، وارحمهم، وبارك لهم فيما رزقتهم

Terjemahannya: “Ya Allah, ampunilah mereka (tuan rumah yang menyediakan makanan), rahmatilah mereka dan berkatilah segala rezeki yang engkau berikan kepada mereka”.

Begitu juga, ucapan khusus yang diajar Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bagi pasangan pengantin yang diraikan[5], doa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam ke atas jenazah Abu Salamah sebelum[6] dikafankan dan anjuran memohon keampunan buat jenazah selepas dikafankan[7]. Manakala, sebahagiannya pula doa yang berbentuk umum tanpa dikhususkan masa, tempat mahupun keadaannya.

            Di samping itu, terdapat zikir-zikir yang ditentukan bilangannya oleh Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam, sebagaimana zikir yang diungkapkan ketika selepas selesai daripada menunaikan solat fardhu yang merangkumi tasbih sebanyak 33 kali, tahmid sebanyak 33 kali, takbir sebanyak 34 kali. Perbuatan menambah-nambah bilangan melebihi yang disunnahkan boleh menyebabkan kita terjerumus ke salah satu risiko berikut, sama ada:

Pertama: melakukan perbuatan bid’ah (iaitu melebih-lebih daripada kadar yang dilakukan dan ditetapkan oleh pemilik syariat),

Kedua: tidak memperoleh sebarang pahala atau ganjaran yang diharap-harapkan daripada Allah azza wa jalla.

Oleh itu, konsep ibadah dalam Islam bukanlah boleh ditafsir dengan logic akal semata-mata tanpa pertimbangan wahyu. Kuantiti yang banyak, tetapi bertentangan dengan sunnah, hanya mengundang sesuatu ibadah menjadi rosak.

Ketiga: Menjaga Adab-adab dan Kaifiyat Berzikir.

Doa merupakan suatu perbuatan meminta atau memohon sesuatu daripada Allah azza wa jalla, manakala Zikir merupakan suatu bentuk ingatan kepada Allah azza wa jalla atas rasa syukur, cinta dan ta’ajjub kepadaNya. Oleh yang demikian, kedua-duanya perlulah dilakukan dengan penuh adab dan tertib sepertimana yang dipraktikkan oleh Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam. Antaranya, ikhlas semata-mata kerana Allah azza wa jalla, bersabar dan tidak terburu-buru untuk minta dikabulkan. Pernah dinukilkan sebuah hadith daripada Abu Hurayrah bahawa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda:

لا يزال يُستجاب للعبد ما لم يدع بإثم أو قطيعة رحم، ما لم يستعجل، قيل: يا رسول الله، ما الاستعجال؟، قال: "يقول: قد دعوتُ، وقد دعوتُ، فلم أر يستجيب لي، فيستحسر عند ذلك، ويدع الدعاء

 Terjemahannya: “Sentiasa doa seseorang hamba itu diterima oleh Allah azza wa jalla selagi mana dia tidak memohon sesuatu yang berdosa atau untuk memutuskan silaturrahim dalam keadaan dia tidak terburu-buru”. Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah maksud terburu-buru tersebut? Jawab Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam: “Seseorang yang berkata: “aku telah berdoa, aku telah berdoa, tetapi aku tidak nampak doa aku diperkenankan, maka dia berputus asa lalu meninggalkan terus doanya”[8].

Selain itu, hendaklah berzikir dengan mengamati maksudnya, merendahkan suara, berbaik sangka dengan Allah dan tidak berlebih-lebihan daripada kadar sepatutnya. Bukanlah kita ini berinteraksi dengan sesuatu yang pekak dan tuli dan oleh sebab itu tidak perlulah terjerit-jerit dan terpekik-pekik ketika berzikir sepertimana yang berlaku dewasa ini. Bukankah Allah azza wa jalla pernah berpesan dalam surah al-A’raf ayat 55:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Terjemahannya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu Dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”.

Sekiranya adab-adab ini tidak dipelihara, ia memungkinkan tujuan pensyariatan zikir dan doa tersebut tidak akan diperolehi oleh individu yang melaksanakannya. Usah peliklah sekiranya orang yang banyak berzikir pun menjadi baran hatinya dan orang yang kerap berdoa, langsung ditolak permohonannya.

Keempat: Mengetahui Kedudukan Zikir dan Doa yang Baik dan yang Terbaik.

Jika ditanya tentang amalan yang terbaik antara membaca al-Quran dan menyebut subhanallah, apakah jawapan yang akan kita berikan? Sudah tentu membaca al-Quran adalah yang terbaik. Namun jika soalan ditukar sedikit, amalan manakah yang lebih baik ketika dalam keadaan sujud, membaca al-Quran atau menyebut subhanallah? Pada situasi sebegini, jawapannya sudah berubah dek kerana situasi yang berbeza. Perbezaan situasi ini menyebabkan keutamaan menyebut subhanallah melebihi daripada keutamaan membaca al-Quran. Justeru itu, sewajarnya kita menyedari hakikat perbezaan keutamaan zikir berpandukan situasi, masa dan tempat[9]. Ia dapat diteliti dengan lebih mendalam sekiranya kita mengambil sikap mengangkat kedudukan ayat-ayat suci al-Quran, menghayati sunnah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dalam menentukan keutamaan berzikir dan mengutamakan zikir yang diajar oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam daripada zikir yang direka-reka oleh manusia yang disusun dalam bentuk syair dan sebagainya (risikonya telah pun saya bahaskan dalam artikel sebelum ini).

MUHASABAH

Allah azza wa jalla tidak menginginkan kesukaran ke atas hambaNya, malah Allah azza wa jalla sentiasa menginginkan kemudahan buat hambaNya. Setiap yang disyariatkannya mempunyai hikmah di sebaliknya, dengan syarat perlaksanaan ibadah tersebut hendaklah menepati garis panduan atau kriteria yang ditetapkan. Justeru, beramallah dengan ilmu yang benar dan bukan hanya mendengar cerita-cerita kemuliaan syeikh-syeikh yang hebat berzikir sehingga beribu-ribu kali setiap hari. Ingatlah, Islam adalah agama yang bersifat sosial dan kemasyarakatan, bayangkan setiap umat Islam sibuk berzikir dan membaca al-Quran, bilakah pula masa untuk digunakan memakmurkan bumi Allah ini? Wallahu A’lam.


[1] Qawa’id al-Ahkam fi Masalih al-Anam, 2: 131.
[2] Surah Ali Imran ayat 38
[3] Surah Ibrahim ayat 40
[4] Fath al-Bari, 11:116.
[5] Doa buat pengantin: بارك الله لك، وبارك الله عليك، وجمع بينكما في (وفي رواية: على) خير . [Hadith Sahih: Diriwayatkan oleh Ibn Majah no.1935, dinilai Sahih oleh al-Zahabi dalam kitab Talkhis dan al-Albani dalam Sahih Abi Dawud no.1856].
[6] Doa buat jenazah sebelum dikafankan: اغفر لأبي سلمة وارفع درجته في المهديين واخلُفه في عقِبِه في الغابرين، واغفر لنا وله يا رب العالمين، وافسح له في قبره، ونور له فيه . [Hadith Sahih: diriwayatkan oleh Muslim no.920]. Perkataan bergaris perlu diubah kepada nama si mati.
[7] Hadith Hasan: diriwayatkan oleh Abu Dawud no.3221 dan sanad hadith dinilai Hasan oleh Syeikh al-Arna’ut dalam komentarnya terhadap kitab Jami’ al-Usul oleh Ibn al-Athir, 11:149.
[8] Muttafaqun Alayh: Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.6340 dan Muslim no. 2735.
[9] Permasalahan ini incha Allah akan dijelaskan pada artikel berikutnya.

Tiada ulasan: