Isnin, 4 Mac 2013

AL-QURAN DIFAHAMI BUKAN SEKADAR DIBACA



Seorang ulama generasi Salaf yang digelar Abu Abdurrahman al-Sulami pernah mengatakan bahawa: “Kami mempelajari al-Quran daripada mereka yang mempelajari sepuluh ayat daripada al-Quran dan tidak berganjak kepada ayat seterusnya sebelum mereka benar-benar faham dan mengamalkannya. Manakala, generasi kita kini (pada zaman beliau) mempelajari al-Quran secara sekaligus. Namun begitu, akan datang suatu generasi sesudah kita nanti yang akan mempelajari al-Quran seperti keadaan orang yang minum air, (iaitu) tidak melewati tenggorok mereka (hanya dibaca di lidah tetapi tidak masuk ke dalam hati)”[1].

MENTALITI MASYARAKAT TERHADAP AL-QURAN

Sekian lama masyarakat Islam kita di Malaysia diberi penekanan terhadap teknik bacaan al-Quran bertajwid, bertarannum dan kaedah hafalan al-Quran yang terbaik. Hakikatnya, kesemua elemen tersebut berdiri di atas paksi kefahaman yang tepat dan sahih. Allah azza wa jalla ada berfirman dalam surah al-Muzzammil ayat 4 :

Terjemahannya: “Dan bacalah al-Qur'an itu dengan perlahan-lahan”.

Menurut Ali ibn Abi Talib, yang dimaksudkan dengan perkataan ‘Tartil’ pada ayat tersebut ialah mentajwidkan huruf-hurufnya dengan mengetahui tempat-tempat berhentinya[2]. Praktikalnya dapat ditinjau melalui nukilan hadith Anas ibn Malik –anak Ummu Sulaym- yang pernah ditanya mengenai cara bacaan Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam, kata Anas:

فَقَالَ كَانَتْ مَدًّا ثُمَّ قَرَأَ ( بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ ) يَمُدُّ بِبِسْمِ اللَّهِ وَيَمُدُّ بِالرَّحْمَنِ وَيَمُدُّ بِالرَّحِيمِ

Terjemahannya: “Bacaan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam panjang-panjang. Kemudian beliau membaca: “بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيمِ, dengan dipanjangkan ‘bismillaah’, ‘ar-Rahmaan’ dan ‘ar-Rahiim’[3].

Di samping itu, anjuran bertarannum (memperindah suara pada bacaan) pula berdalilkan sebuah hadith daripada al-Barra’ ibn ‘Azib, bahawa Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam bersabda:

زينوا القرآنَ بأصواتِكم ؛ فإنَّ الصوتَ الحسنَ يزيدُ القرآنَ حسنًا

Terjemahannya: “Perindahlah (bacaan) Al-Qur`an dengan suara kamu, kerana sesungguhnya suara yang baik mampu menambah (tarikan tentang) kecantikan al-Quran”[4].

Sungguhpun begitu, galakan memperelok bacaan dengan suara yang lunak mempunyai garis panduan yang sangat ketat, antaranya ialah hendaklah membaca dengan niat yang ikhlas dan menjauhi daripada sifat riya’ (menunjuk-nunjuk), sum’ah (ingin diheboh-hebohkan) dan ujub (menkagumi diri sendiri) ketika melantunkan ayat-ayat suci al-Quran. Sebagaimana amaran Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dalam hadith Uqbah ibn ‘Amir:

الجاهر بالقرآن كالجاهر بالصدقة ، والمسر بالقرآن كالمسر بالصدقة

Terjemahannya: “Menzahirkan (memperkuatkan) bacaan al-Quran seumpama menzahirkan (menunjuk-nunjuk) ketika bersedekah manakala menyembunyikan (memperlahankan) bacaan al-Quran seumpama bersedekah secara tersembunyi[5].

Ketika membaca al-Quran juga sewajarnya dipastikan keadaan sekeliling tidak terganggu dengan bacaan yang dilantunkan. Sepertimana yang berlaku dalam realiti masyarakat kita pada hari ini, segelintir mereka mengeraskan bacaan al-Quran sedang di samping mereka terdapat jemaah yang sedang menunaikan solat. Situasi ini membangkitkan rasa kurang senang jemaah lain bahkan menyebabkan hilangnya rasa khusyu’ ketika menunaikan solat. Pernah suatu ketika Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam melalui sekelompok para sahabat yang sedang menunaikan solat (sunat) sambil mengeraskan bacaan al-Quran, lantas Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam berkata: “Setiap kamu bermunajat (berbisik-bisik) kepada Tuhannya, (oleh itu) janganlah kamu mengeraskan bacaan (Al-Qur`an) kamu (sehingga mengganggu) atas sebagian yang lain[6].

PEMAHAMAN PARA AL-SALAF AL-SOLEH TERHADAP AL-QURAN

Kesemua perkara yang dihuraikan sebelum ini merupakan perhatian utama segelintir masyarakat Malaysia terhadap fungsi al-Quran. Mentaliti yang perlu diubah dan diberi penambahbaikan agar maksud sebenar penurunan al-Quran akan menjadi realiti. Allah azza wa jalla menegaskan dalam surah Sod ayat 29 tentang fungsi utama al-Quran diturunkan.

كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ مُبَارَكٌ لِيَدَّبَّرُوا آيَاتِهِ وَلِيَتَذَكَّرَ أُولُو الْأَلْبَابِ

Terjemahannya: “Ini adalah sebuah kitab yang penuh dengan berkah, Kami turunkan kepadamu supaya mereka memperhatikan ayat-ayat-Nya dan supaya orang-orang yang mempunyai fikiran memperoleh pengajaran”.

Ayat ini jelas menunjukkan bahawa al-Quran diturunkan Allah azza wa jalla bukan sekadar untuk dibaca sahaja, malah pada al-Quran itu sendiri terdapat kebaikan-kebaikan dan manfaat yang besar buat golongan yang mahu berfikir tentang ayat-ayat Allah azza wa jalla melebihi daripada keuntungan harta duniawi yang sering dikejarnya. Uqbah ibn ‘Amir menukilkan sebuah hadith yang menceritakan tentang suatu ketika Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam datang menemuinya dan sahabatnya di Suffah, seraya bertanya: “Siapakah diantara kamu yang suka pergi setiap pagi hari ke pasar Buthan atau ‘Aqiq, kemudian pulang dengan membawa dua ekor unta betina yang besar punuknya tanpa berbuat dosa mahupun memutuskan silaturrahim?”. (Lantas) kami menjawab: “Ya Rasulullah, kami semua menyukainya”. Lalu Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam bersabda: “Mengapa tidak, salah seorang daripada kamu pergi pada pagi hari ke masjid, lalu belajar atau membaca dua ayat Al-Quran, sedangkan itu lebih baik baginya daripada pada dua ekor unta betina (tersebut), tiga ayat al-Quran pula lebih baik daripada tiga ekor unta betina, empat ayat al-Quran pula lebih baik daripada pada empat ekor unta betina, dan seterusnya sejumlah ayat yang dibaca mendapatkan sejumah unta yang sama”[7].

Berpandukan atsar yang sahih, pernah dikisahkan bahawa para sahabat Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam seperti Abdullah ibn Mas’ud, Uthman ibn Affan dan selainnya, tatkala mempelajari ayat al-Quran, mereka mempelajarinya sepuluh ayat demi sepuluh ayat dan tidak akan berganjak kepada ayat berikutnya selagimana mereka tidak memahaminya dengan baik dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya. Para sahabat berkata: “Kami mempelajari Al-Qur`an, ilmu dan amal semuanya”[8]. Metodologi para sahabat ini jelas berbeza dengan kaedah terkini yang diterapkan oleh generasi pendidik zaman kini. Sifat tergesa-gesa dalam mengkhatamkan bacaan al-Quran terutama bagi kanak-kanak yang sudah lanjut usia remaja dan ditambah pula perasaan malu dengan sanak saudara serta sahabat handai, menyebabkan maksud penurunan al-Quran tidak dapat digarap dalam diri individu. Bukankah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pernah membuat perumpamaan sepertimana yang dinukilkan oleh Abu Musa al-Asy’ari:

مَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ الْأُتْرُجَّةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا طَيِّبٌ وَمَثَلُ الْمُؤْمِنِ الَّذِي لَا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ التَّمْرَةِ لَا رِيحَ لَهَا وَطَعْمُهَا حُلْوٌ وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي يَقْرَأُ الْقُرْآنَ مَثَلُ الرَّيْحَانَةِ رِيحُهَا طَيِّبٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ وَمَثَلُ الْمُنَافِقِ الَّذِي لَا يَقْرَأُ الْقُرْآنَ كَمَثَلِ الْحَنْظَلَةِ لَيْسَ لَهَا رِيحٌ وَطَعْمُهَا مُرٌّ

Terjemahannya: “Perumpamaan orang mukmin yang membaca Al-Quran umpama buah Al-Utrujah (seperti jeruk manis) yang rasanya sedap dan baunya wangi, dan perumpamaan orang mukmin yang tidak membaca Al-Quran umpama buah At-Tamr (kurma) rasanya sedap dan manis namun tiada bau, dan perumpamaan orang munafiq yang membaca Al-Quran umpama Ar-Rayhanah (sejenis tumbuhan yang wangi) semerbak baunya (wangi) namun rasanya pahit, dan perumpamaan orang munafiq yang tidak membaca Al-Quran umpama buah Al-Hanzalah (nama buah) rasanya pahit dan baunya tiada (tidak menyenangkan)[9]”.

                Oleh yang demikian, sepatutnya individu yang membaca al-Quran, individu yang mempunyai kehebatan dalam melontarkan suara yang merdu ketika membacanya, individu yang menguasai ilmu tajwid al-Quran, individu yang menghafaz al-Quran dan seangkatan dengannya, selayaknya mempunyai akhlak dan peribadi yang mulia. Hakikatnya, semua umat Islam seharusnya memiliki keperibadian yang unggul kerana memiliki ‘manual’ atau buku panduan tatacara hidup di dunia yang serba lengkap. Ironinya, umat Islam sendiri yang mencalar kredibiliti agamanya dengan gaya hidup ala kebaratan. Ingatlah, manusia yang tiada sedikit pun al-Quran di dalam dadanya, umpama rumah yang hanya menunggu masa sahaja untuk roboh.

MUHASABAH

Ayuh bersama kita ringan-ringankan lidah membaca al-Quran dan mencari jalan untuk cuba memahaminya sedaya mungkin sepertimana yang dilakukan para generasi terdahulu. Biarpun sedikit tetapi berterusan dan berkekalan adalah lebih baik daripada banyak tapi hanya sekerat jalan dan hilang entah ke mana tanpa haluan. Bersama kita wujudkan suasana ahli al-Quran dalam keluarga kita kerana manfaatnya sangatlah besar dan di akhirat kelak, al-Quran mampu memberikan syafaat (pertolongan untuk masuk ke syurga) buat pembacanya[10]. Wallahu A’lam.


[1] Siyar A’lam al-Nubala’ oleh al-Zahabi, 4/269.
[2] Syarh Manzumah Al-Jazariyyah : 13.
[3] Sahih: diriwayatkan oleh al-Bukhari no.5046.
[4] Sahih: diriwayatkan oleh Abu Dawud dalam Sunannya, no.1468 dan dinilai sahih oleh al-Imam al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir no. 4577 dan Syeikh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ no.3581.
[5] Sahih: diriwayatkan Abu Dawud dalam Sunannya no.1333, al-Turmuzi dalam Sunannya no.2919 dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih Sunan al-Turmuzi no.2919.
[6] Sanadnya Hasan: diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya: 7/188 dan dinilai Sanadnya Hasan oleh Syeikh Ahmad Syakir. Turut diriwayatkan oleh al-Haithami dalam Majma’ al-Zawa’id: 2/268. Ibn Hajar al-Asqalani menilai hadith ini sebagai Hasan menerusi Takhrij Misykat al-Masabih: 1/391.
[7] Sahih: diriwayatkan oleh Muslim no.803.
[8] Atsar yang sahih: diriwayatkan oleh Ibn Jarir al-Tabari dalam tafsirnya (1/80) dan Ahmad Syakir menilainya: “Ini adalah sanad yang sahih dan bersambung”.
[9] Sahih: diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya no.797.
[10] Sahih: diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya no.804 melalui hadith Abu Umaamah al-Bahili.

Tiada ulasan: