Jumaat, 1 Februari 2013

SIRI 1: ‘PARASIT’ IBADAH ADALAH RIYA’, UJUB DAN TAKABBUR



Manusia secara lahiriahnya mampu memperagakan perwatakan terpuji di hadapan teman-temannya mahupun masyarakat sekelilingnya. Ia merupakan antara anugerah Allah azza wa jalla kepada hambanya di muka bumi ini yang penuh hikmah dan maksud yang amat mendalam. Cuba anda bayangkan sekiranya Allah azza wa jalla menciptakan manusia bersama-samanya sebuah skrin di dahi yang boleh menunjukkan sesuatu yang sedang bermain di minda seseorang individu.
Apa sahaja yang diniatkannya mahupun yang sedang difikirkan akan dipaparkan pada skirn tersebut. Siapakah yang akan menanggung malu? Sudah pasti manusia akan berlumba-lumba membersihkan hatinya dan mindanya daripada segala pemikiran kotor dan jahat. Secara automatik, tiadalah berlakunya jenayah, maksiat ataupun perkara-perkara yang boleh meruntuhkan sesebuah institusi sosial.

Sungguhpun begitu, Allah azza wa jalla melihat perkara tersebut sebagai perbuatan yang zalim dan mengaibkan. Selayaknya, hanya Allah azza wa jalla dan hambanya yang melakukan perbuatan tersebut sahaja yang mengetahuinya. Justeru, Allah azza wa jalla menciptakan manusia dengan memiliki keistimewaan dua komponen utama iaitu jasmani (luaran) dan rohani (dalaman). Rohani manusia secara umumnya ditunjangi oleh amalan hati yang tiada siapa pun mampu mengetahuinya melainkan empunya diri dan Allah azza wa jalla. Sebagaimana firmanNya dalam surah Ali ‘Imran ayat 29:

قُلْ إِنْ تُخْفُوا مَا فِي صُدُورِكُمْ أَوْ تُبْدُوهُ يَعْلَمْهُ اللَّهُ

Terjemahannya: “Katakanlah: Jika kamu menyembunyikan apa yang ada dalam hatimu atau kamu melahirkannya, pasti Allah mengetahuinya”.

 Amalan hati inilah yang perlu dititik beratkan oleh manusia sepanjang berpijak di bumi Allah ini agar ia tidak diselubungi riya’ [menunjuk-nunjuk], Ujub [membangga diri] mahupun takabbur [membangga diri dan meremehkan orang lain].

SIFAT RIYA’ PEROSAK AMALAN

Menyingkap deretan kisah para al-Salaf al-Soleh yang agung, banyak membuka minda penulis dalam menterjemah pemahaman mereka terhadap sesuatu larangan yang keluar dari bibir Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Pernah dinukilkan sebuah hadith oleh Abu Hurayrah tentang sabdaan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berkaitan balasan bagi amalan seseorang yang pada pandangan kasar manusia adalah baik tetapi hakikatnya sia-sia belaka.

Abu Hurayrah berkata bahawa Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam pernah bercerita: “Sesungguhnya manusia pertama yang diadili pada Hari Kiamat adalah orang yang mati syahid di jalan Allah. Dia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya nikmat-nikmat (yang diberikan di dunia dahulu), lalu ia pun mengakuinya. (Lantas) Allah bertanya kepadanya: “Apakah amalan yang kau lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut?”. Ia menjawab: “Aku berperang semata-mata karenaMu sehingga aku mati syahid”. Allah menyanggah dengan katanya: “Kau penipu! Kau (sebenarnya) ikut berperang supaya dikenali sebagai seorang yang gagah perkasa. Memang demikianlah yang telah diperkatakan orang (tentang dirimu)”. Kemudian diperintahkan (malaikat) agar mengheret muka orang tersebut, lalu dicampakkan ke dalam neraka. Berikutnya orang (yang diadili) adalah seorang penuntut dan penyebar ilmu serta pembaca al Qur`an. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya nikmat-nikmat (yang diberikan di dunia dahulu), lalu ia pun mengakuinya. Kemudian Allah bertanya kepadanya: “Apakah amalan yang kau lakukan dengan nikmat-nikmat tersebut?”. Jawabnya: “Aku menuntut ilmu dan mengajarkannya, serta aku membaca al-Qur`an, semata-mata keranaMu Allah”. (Lantas) Allah menyanggah, katanya: “Kau penipu! Kau menuntut ilmu (sebenarnya) untuk dikenali sebagai seorang ‘alim (yang berilmu) dan kau membaca al-Qur`an supaya digelar (sebagai) seorang qari' (pembaca al-Qur`an yang hebat). Memang begitulah yang diperkatakan orang (tentang dirimu)”. Kemudian diperintahkan (malaikat) agar mengheret muka orang tersebut dan dilemparkannya ke dalam neraka. Berikutnya (yang diadili) adalah seorang yang diberikan rezeki yang melimpah ruah dan harta yang banyak. Ia didatangkan dan diperlihatkan kepadanya nikmat-nikmat (yang diberikan di dunia dahulu), lalu ia pun mengakuinya. (Lantas) Allah bertanya: “Amalan apakah yang telah kau lakukan dengan nikmat-nikmat itu?”. Dia menjawab: “Aku tidak pernah lupa daripada bersedaqah dan infaq di jalan yang Kau cintai, melainkan pasti aku melakukannya semata-mata keranaMu Allah”. (Lantas) Allah berfirman: “Kau penipu! Kau lakukan perkara tersebut supaya digelar sebagai seorang dermawan (murah hati) dan memang begitulah yang diperkatakan orang (tentang dirimu)”. Kemudian diperintahkan (malaikat) agar mengheret muka orang tersebut dan dicampakkannya ke dalam neraka”[1].  

                Kisah di atas menunjukkan betapa ruginya amalan seseorang yang menggunung hebatnya tetapi menjadi sia-sia dek kerana hati yang diselubungi riya’. Dalam surah al-Baqarah ayat ke 264, Allah azza wa jalla mengumpamakan individu seperti ini laksana ‘Safwan’ (batu licin) yang ditutupi tanah, tatkala turunnya hujan lebat maka bersihlah batu tersebut daripada tanah tanpa meninggalkan sebarang kesan. Lihatlah betapa mendalamnya pemahaman dan penghayatan seorang dari kalangan generasi al-Salaf al-Soleh yang bernama al-Rabi’ ibn Khuts’aym tentang bahana riya’. Pernah diceritakan bahawa sepanjang hidupnya beliau tidak pernah menunaikan solat sunat di masjid kampungnya kecuali sekali[2] sahaja semata-mata untuk mengelak daripada pandangan manusia. Sudah menjadi kebiasaan beliau melakukan sesuatu amalan secara tersembunyi, sehinggakan apabila seseorang datang kepadanya sedang dia membaca al-Quran, beliau segera menutupi mushafnya (al-Quran) dengan bajunya[3]. Oleh sebab itu, al-Rabi’ ibn Khuts’aym pernah mengatakan bahawa: “Segala sesuatu yang dilakukan bukan kerana mencari keredhaan Allah azza wa jalla pasti akan pupus sirnanya[4].

                Amalan hati merupakan tunjang kepada penerimaan atau penafian sesuatu amalan yang dilaksanakan. Sebagai contoh seseorang individu yang mengenakan jubah, kopiah, serban dan sebagainya, pakaian yang dikatakan sunnah, namun sejauhmanakah individu tersebut mampu menjaga perbolakan hatinya daripada riya’?. Sama seperti perbuatan al-Rabi’ sebelum ini, apakah kita mempersoalkan tentang kewajaran seseorang yang menunaikan solat fardhu di masjid, kemudiannya terus beredar meninggalkan jemaah tanpa dahulu menunaikan solat sunat Qabliyah atau sebagainya. Persepsi atau mulut manusia memang sukar untuk dibendung, tetapi ia mampu diatasi dengan kefahaman dan penghayatan terhadap ilmu yang sahih.

MUHASABAH

Menjadi fitrah manusia yang normal, memiliki hati yang mudah berbolak balik. Namun, sebaik-baik manusia ialah mereka yang apabila terlanjur melakukan kesilapan, mereka kembali kepada tuhanNya iaitu Allah azza wa jalla. Sesi muhasabah (menghitung diri) perlu ditambah dalam diari hidup setiap kita agar dapat memberi kesedaran atas kesilapan yang telah dilakukan serta memberi kesempatan untuk kita bertaubat. Cuba sama-sama kita hayati hadith Abu Hurayrah ini bahawa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berpesan:

كُلُّ أُمَّتِيْ مُعَافىً إِلاَّ الْمُجَاهِرِيْنَ، وَ إِنَّ مِنَ الْمُجَاهِرَةِ أَنْ يَعْمَلَ الرَّجُلُ بِاللَّيْلِ عَمَلاً، ثُمَّ يُصْبِحَ وَ قَدْ سَتَرَهُ اللهُ فَيَقُوْلَ: يَا فُلاَنُ عَمِلْتُ الْبَارِحَةَ كذَا وَ كَذَا، وَقَدْ بَاتَ يَسْتُرُهُ رَبُّهُ وَ يُصْبِحُ يَكْشِفُ سِتْرَ اللهِ عَنْهُ

Terjemahannya: "Setiap umatku akan dimaafkan, kecuali orang-orang yang terang-terangan. Sesungguhnya termasuk terang-terangan ialah, seseorang yang melakukan sesuatu amalan (dosa) pada malam hari, kemudian pagi harinya ia bercerita (tentang perbuatan dosanya kepada kawan-kawannya). Sedangkan pada malam tersebut, Allah sudah menutupi dosanya. Ia katakan (kepada kawannya), “Wahai Fulan, tadi malam aku berbuat begini dan begitu…”, Sedangkan, malam itu Allah sudah menutupi dosanya, namun pagi harinya dia sendiri yang membuka aib (perbuatan dosanya kepada kawan-kawannya) yang Allah tutupi (aib tersebut) untuk dirinya"[5].

Wallahu A’lam

P/s: Berkaitan Ujub dan Takabbur akan dihurai pada artikel berikutnya incha Allah.



[1] Sahih: Diriwayatkan oleh Muslim no.1905
[2] Sifat al-Safwah oleh Ibn al-Jauzi, 3/61
[3] Ibid.
[4] Ibid.
[5] Muttafaqun Alayh: Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.6069 dan Muslim 2990.

Tiada ulasan: