Isnin, 28 Januari 2013

KEKUATAN AQIDAH MELAHIRKAN KEPERKASAAN SAHSIAH



Permasalahan keruntuhan akhlak dan isu gejala sosial semakin hangat diperkatakan oleh masyarakat kini. Suatu fenomena negatif yang kian meruncing dan seakan-akan dilihat tiada menuju titik noktah. Jika ditinjau, masyarakat Melayu di Malaysia majoritinya beragama Islam dan secara asasnya juga bangsa Melayu itu sendiri mempunyai budaya asli yang sangat harmoni dan luhur. Oleh sebab itu, mengikut sejarahnya bangsa Melayu dilihat mudah menerima pembawaan agama Islam lantaran persamaan beberapa elemen budaya yang diterapkan.

                Sungguhpun begitu, Islam pada hakikatnya bukanlah agama yang sekadar menyuruh penganutnya mendirikan solat semata-mata. Kesemua bentuk Ibadah seperti Solat, Puasa pada bulan Ramadhan, mengeluarkan Zakat, menunaikan Haji dan Umrah dan sebagainya, hanyalah sebahagian entiti dalam agama Islam itu sendiri. Hakikatnya, aspek yang paling utama dan terutama adalah kefahaman dan keimanan terhadap Tauhid (Aqidah). Islam ketika mula-mula disampaikan oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam di Mekah, ia ditunjangi oleh perkara-perkara berkaitan Aqidah yang berperanan untuk menanam kepercayaan dan keyakinan terhadap pencipta iaitu Allah azza wa jalla, secara tidak langsung mengikis kepercayaan karut penyembahan berhala dan sebagainya. Atas dasar inilah, tamadun generasi terbaik terbina hasil didikan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bermodalkan keyakinan yang mantap tentang keesaan Allah azza wa jalla dan kekuasaannya yang maha hebat.

AQIDAH TERAS KEMANTAPAN SAHSIAH

Para Sahabat Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam merupakan generasi terhebat yang pernah dilahirkan di muka bumi ini. Dunia ini bagi mereka, seakan-akan terlalu kecil dan diri mereka pula dirasakan terlalu kerdil untuk berpijak di bumi Allah yang luas ini. Lihatlah sahaja bagaimana kisah yang berlaku kepada Abu Hurayrah tatkala sakaratul maut mendatanginya, beliau sering menangis lalu orang-orang yang hadir di sisinya bertanyakan sebab beliau menangis. Lalu jawab Abu Hurayrah: “Alangkah jauhnya perjalanan (hidup) ini, sedikitnya bekalan (pahala) dan banyaknya rintangan (ujian hidup). Sedangkan tempat kembali (selepas mati) hanyalah mungkin ke syurga atau mungkin ke neraka”[1]. Keyakinan yang mantap mengenai Hari Kiamat, kebangkitan sesudah kematian, al-Mizan (timbangan antara dosa dan pahala), al-Hisab (perhitungan antara dosa dan pahala), titian al-Sirat serta al-Jannah (Syurga) dan al-Nar (Neraka), mendorong seseorang sentiasa merasa muroqabah (diperhatikan oleh Allah azza wa jalla) di mana jua dia berada. Keimanan yang kuat mengenainya juga melahirkan jiwa yang sentiasa takut untuk melakukan dosa dan maksiat, seakan-akan Allah azza wa jalla sentiasa memerhatikannya pada segenap aspek jasmani (luaran) mahupun rohani (dalaman).

Berapa ramai dalam kalangan kita yang merasa takut apabila cuaca cerah berubah menjadi mendung? Bukankah mendung itu berkemungkinan hadir bersamanya hujan? Bukankah dengan hujan Allah azza wa jalla menurunkan Azab kepada Kaum Nabi Luth Alayhissalam atas kedustaan mereka terhadap dakwah Nabi Luth Alayhissalam[2]. Cuba renungkan sifat takut yang dimiliki oleh Ibn al-Mubarak seorang Tabi’in yang mempunyai keutamaan berbanding ulama’ sezaman dengannya. Qasim ibn Muhammad pernah menceritakan bahawa: “Kami pernah bermusafir bersama-sama Ibn al-Mubarak. Seringkali terlintas di benak fikiranku: “Apakah keutamaan lelaki ini berbanding kami sehingga dia menjadi terkenal?, sekiranya dia solat, kami juga bersolat. Kalau dia berpuasa, kami juga berpuasa. Kalau dia berjihad, kami juga berjihad. Kalau dia berhaji, kami pun berhaji”.

Qasim melanjutkan ceritanya: “Dalam suatu perjalanan, kami berhenti di sebuah rumah di negeri Syam untuk menikmati makanan malam. Ketika sedang menikmati hidangan, lampu rumah tiba-tiba terpadam dan salah seorang daripada kami segera bangun untuk mengambil lampu. Apabila lampu dinyalakan, aku terlihat wajah dan janggut Ibn al-Mubarak sudah basah dengan air mata. Aku berkata dalam diriku: “(Rupa-rupanya) Dengan rasa takut (ketakwaan) inilah lelaki ini diutamakan daripada diri kami. Mungkin ketika lampu terpadam tadi, keadaan menjadi gelap, (maka) ia teringat akan hari Kiamat[3]. Lihatlah betapa dalamnya keyakinan Ibn al-Mubarak tentang Hari Kiamat sehingga setiap perkara yang berlaku seolah-olah menyuntik sanubarinya untuk melakukan persiapan berdepan azab yang bakal menimpa. Sekalipun beliau seorang yang banyak beribadah, namun rasa takutnya melebihi daripada orang yang fasik (selalu melakukan dosa kecil) dan ‘asi (sering melakukan maksiat).

MUHASABAH

Sekiranya setiap individu didik dengan kecintaan kepada Allah azza wa jalla, dididik mengenali kehebatannya, diberi kesedaran bahawa setiap kejadian di dunia ini semuanya adalah ciptaannya dan setiap yang berlaku mempunyai hikmah yang Allah azza wa jalla sengaja menyembunyikannya bagi hambanya berfikir dan bersabar, nescaya kita akan melihat masyarakat menjadi harmoni, aman dan mendapat kehidupan yang selesa dengan dipenuhi berkat yang melimpah ruah dari segi tanaman mahupun hasil laut dan sebagainya. Kesemua ini telah pun dijanjikan oleh Allah azza wa jalla melalui firmannya dalam surah al-A'raf ayat 96:

ولو أن أهل القرى آمنوا واتقوا لفتحنا عليهم بركات من السماء والأرض ولكن كذبوا فأخذناهم بما كانوا يكسبون

Terjemahannya: “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertaqwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. tetapi mereka mendustakan (Rasul kami), lalu Kami timpakan mereka Dengan azab seksa disebabkan apa Yang mereka telah usahakan.

Bagaimana seseorang akan berlaku zalim, sedangkan dalam hatinya mempunyai keyakinan bahawa Allah azza wa jalla sentiasa memerhatikan perlakuannya dan Allah azza wa jalla akan memberi balasan yang setimpal buatnya di Akhirat kelak. Justeru, keimanan yang kukuh terhadap Allah azza wa jalla mampu melahirkan jiwa manusia yang suci dan sahsiah yang terpuji. Wallahu A’lam.


[1] Sifat al-Safwah oleh Ibn Jauzi, 1/694
[2] Surah al-Syu’ara’ ayat 173
[3] Ibid, 4/145

Tiada ulasan: