Isnin, 21 Januari 2013

PEMILIK HAIWAN PELIHARAAN YANG DIRAHMATI




Kucing merupakan antara makhluk Allah azza wa jalla yang sangat diminati oleh masyarakat kita untuk dijadikan haiwan peliharaan. Malah lebih daripada itu, sebahagian kita sangat menyukainya dan menganggap ia sebagai teman kesayangan dan rakan untuk melepaskan ‘tension’.
Sifat semula jadinya yang sentimental dan comel, sangat mencuit hati pemiliknya. Namun ia kadang-kala mampu mengundang masalah besar kepada pemiliknya sekiranya ia tidak dipelihara dengan sebaiknya serta dicabuli hak-haknya. Oleh itu, Islam sebagai sebuah agama yang syumul sangat menitikberatkan soal hak makhluk sesama makhluk di muka bumi Allah azza wa jalla ini.

DISANGKA SEKADAR HOBI, RUPANYA MEMPEROLEH DOSA

Islam mengharuskan umatnya menjadikan haiwan sebagai binatang peliharaan. Tetapi, keharusan tersebut tertakluk kepada sejauhmana seseorang mampu menunaikan hak haiwan peliharaannya dalam masa yang sama haiwan tersebut menunaikan kehendaknya. Sungguhpun begitu, perlu diingat bahawa haiwan tidak mempunyai akal untuk berfikir seperti manusia. Disebabkan itu, ia tidaklah boleh  dianggap mampu menunaikan hak tuannya secara total melainkan sekadar mampu dijadikan tempat berkongsi perasaan kasih sayang dan emosi yang sangat subjektif. Abdullah ibn Amr pernah menukilkan kata-kata Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam:

الراحمون يرحمُهم الرحمنُ، ارحموا من في الأرضِ يرحمْكم من في السماءِ

Terjemahannya: “Orang-orang yang menyayangi akan disayangi oleh Allah –maha penyayang-, (oleh itu) sayangilah makhluk yang ada di bumi, nescaya penduduk langit akan menyayangimu”[1].

                Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam pernah menceritakan kepada kita tentang keadaan seorang individu yang memperoleh bahagian daripada tindakannya memelihara kuda, sama ada ia beroleh pahala (daripada tindakannya) atau kuda tersebut sekadar memberinya pelindungan atau kuda tersebut menyebabkan dia mendapat dosa. Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda: “Kuda yang menyebabkan (tuannya beroleh) pahala ialah kuda seseorang yang dipersiapkan untuk ‘Jihad fi Sabilillah’ (perang di jalan Allah), (kuda tersebut) kerap berdiam diri di padang rumput atau taman. Apa sahaja yang dimakan oleh kuda tersebut selama dikurung di padang rumput atau taman itu, selama itulah pemiliknya mendapat pahala-pahala kebajikan. (Malah) Sekiranya kuda tersebut meninggalkan padang rumput dan taman tadi, lalu mendaki satu atau dua kawasan yang tinggi, maka jejak dan kotorannya itu menjadi pahala-pahala kebajikan bagi tuannya. Oleh yang demikian, kuda seperti ini (setiap perlakuannya) menjadi pahala bagi pemiliknya. (Manakala) Kuda yang diikat oleh seseorang karena ingin menjaga kehormatan atau maruah diri (tidak meminta-minta) dan ia tidak melupakan hak Allah azza wa jalla pada leher ataupun punggung kuda itu (menjaga kewajipan terhadap haiwan tersebut), maka kuda itu menjadi pelindung bagi pemiliknya (daripada kemiskinan). (Manakala) Kuda yang diikat oleh seseorang karena kebanggaan, riya’ dan memusuhi orang-orang Islam, maka kuda seperti ini bakal menyebabkan dosa bagi pemiliknya"[2].

                Kisah tersebut menjelaskan tentang keharusan memelihara haiwan peliharaan dan kewajipan menunaikan hak-hak haiwan tersebut. Bukankah setiap perlakuan baik yang kita lakukan bakal dinilai oleh Allah azza wa jalla dan begitu juga sebaliknya. Sekiranya seseorang memberi makan dan minum kepada haiwan peliharaannya dengan secukupnya tanpa membiarkannya lapar dan kehausan, tiada sebab Allah azza wa jalla untuk tidak memberikan ganjaran kebaikan buatnya. Hal ini berpandukan kepada sabdaan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang bermaksud: "Pada setiap yang mempunyai hati yang basah (haiwan) itu terdapat pahala (dalam berbuat baik kepadaNya)"[3]. Begitu juga sebaliknya, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pernah memberi amaran kepada umatnya tentang bahana yang bakal menimpa seseorang yang menzalimi haiwan peliharaannya dengan sebarang bentuk penyiksaan seperti membiarnya kelaparan, memukulnya, membebaninya dengan sesuatu yang ia tidak mampu, menyiksanya atau membakarnya dan sebagainya. Hal ini kesemuanya dikisahkan melalui hadith Abdullah ibn Umar, kata Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam: "Seorang perempuan dimasukkan ke neraka hanya disebabkan oleh seekor kucing yang ia kurung sehingga mati, (Oleh sebab itu) ia dimasukkan ke neraka, (tambahan pula) dia tidak memberi makan kucing peliharaannya dan tidak pula memberinya minum sepanjang waktu dia mengurungnya (di dalam sangkar), serta tidak melepaskannya untuk (bebas) memakan serangga di bumi"[4].

                Hadith ini menjelaskan antara sebab haramnya mengurung haiwan di dalam sangkar adalah kerana pemiliknya gagal menunaikan hak haiwan peliharaannya. Di samping itu, terdapat juga larangan mengurung haiwan peliharaan di dalam sangkar sekiranya ia bertujuan untuk dijadikan sasaran bedilan yang membuatnya mati[5]. Pernah diceritakan sebuah kisah yang diriwayatkan oleh Sai’id ibn Jubayr mengenai Ibn Umar ketika beliau melewati sekumpulan manusia yang sedang mamasang seekor ayam untuk dijadikan sasaran bedilan dalam pertandingan yang diadakan sesama mereka. Lantas Ibn Umar menempelak mereka dengan katanya:

مَنْ فَعَلَ هَذا؟ إِنَّ رسولَ اللهِ صلى الله عليه وسلم لَعَنَ مَنْ فَعَلَ هَذَا

Terjemahannya: “Siapakah yang melakukan perbuatan ini? Sungguh Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam melaknat orang yang melakukan perbuatan seperti ini”[6].

Begitulah sedikit sebanyak mutiara hikmah yang dapat diambil daripada keharusan dan keharaman memelihara haiwan peliharaan. Kadang-kala hobi ini mengundang rahmat daripada Allah azza wa jalla dan kadang-kala ia juga boleh mengundang azab daripada Allah azza wa jalla.

MUHASABAH

Sayangilah makhluk yang ada di sekitar kita sebagaimana kita menyayangi diri kita sendiri. Pandanglah mereka (haiwan) dengan pandangan penuh kasih sayang nescaya mereka juga akan memandang kita penuh kasih sayang. Namun dalam keseronokan kita melayani haiwan kesayangan kita, usah dilupakan terhadap tanggungjawab terhadap Allah azza wa jalla, sebagaimana firmannya dalam surah al-Munafiqun ayat 9:

Terjemahannya: "Wahai orang-orang yang beriman, janganlah harta-hartamu dan anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah".

Wallahu A’lam.

Coretan buat Boo Boo [Kucing Kesayanganku]


[1] Hasan Sahih: Riwayat at-Turmuzi no.1924 dan dinilai oleh Syeikh al-Albani sebagai Sahih kerana Rijalnya Thiqat.
[2] Sahih: Riwayat al-Bukhari no.2371.
[3] Sahih: Riwayat al-Bukhari no.2363.
[4] Sahih: Riwayat al-Bukhari no.3482.
[5] Syarh Muslim oleh al-Imam aln-Nawawi: 14/114.
[6] Sahih: Riwayat Muslim no. 1958.

Tiada ulasan: