Jumaat, 4 Januari 2013

CINTAILAH NABI DENGAN ILMU


  
Bulan Rabi’ al-Awwal merupakan bulan kelahiran Nabi kita iaitu Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam. Setiap kali menjelang tibanya, pasti umat Islam akan disajikan dengan pelbagai bentuk program yang diatur oleh pihak jawatankuasa masjid mahupun organisasi – organisasi tertentu. Penglibatan panel penceramah yang terkenal dan mempunyai ‘daya penarik’ menghiasi pentas-pentas bicara yang membahaskan tentang topik ‘Maulid al-Rasul’ turut memberangsangkan kehadiran jemaah.
Namun, dari suatu sudut yang lain, penulis ingin menarik perhatian pembaca mengenai sejauhmanakah kita mampu merealisasikan amanat Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam:

لَا يُؤْمِنُ أَحَدُكُمْ حَتَّى أَكُونَ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِنْ وَالِدِهِ وَوَلَدِهِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ

Terjemahannya: “Tidaklah beriman –dengan keimanan yang sempurna- salah seorang daripada kamu, sampai aku menjadi orang yang paling dia cintai daripada ayahnya, anaknya, dan seluruh manusia[1]

CINTA NABI BUKTI KESEMPURNAAN IMAN

Pernah diceritakan dalam hadith Abdullah ibn Hisyam bahawa suatu hari Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam duduk bersama-sama para sahabatnya sambil memegang tangan Umar ibn al-Khattab. Lalu Umar ibn al-Khattab berkata: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya engkau lebih aku cintai dari segalanya, melainkan terhadap diriku”. Lantas (tatkala mendengarnya) Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam menyanggahnya: “Tidak (wahai Umar), demi jiwaku berada di tanganNya –Allah azza wa jalla-, (imanmu belum sempurna) sehinggalah aku lebih engkau cintai daripada dirimu sendiri”. Kemudian, Umar berkata: “Sekarang, engkau lebih aku cintai daripada diriku sendiri”. Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pun berkata: “(Ya) Saat ini (imanmu telah sempurna) wahai Umar”[2].

            Perasaan cinta kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mampu dipupuk dengan bermodalkan semangant inkuiri, ingin mengenali dan meneladani akhlak Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Perasaan ini juga sewajarnya ditanamkan dalam diri setiap ahli keluarga sejak kecil lagi. Jadikanlah Ummu Sulaym sebagai contoh tauladan, seorang ibu yang sangat bertanggungjawab, pantas ‘meletakkan’ anak kesayangannya dalam ruangan kehidupan yang terbaik setelah menerima perkhabaran tentang kedatangan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam daripada Mekah. Masyarakat Ansar berlumba-lumba menyediakan hadiah yang berharga untuk diberikan kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, sedangkan Ummu Sulaym tidak mempunyai apa-apa untuk diberikan kecuali anaknya iaitu Anas ibn Malik yang ketika itu berumur 10 tahun[3]. Itulah satu-satunya harta yang paling bernilai buat Ummu Sulaym. Kerana itulah, beliau menyerahkan Anas kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam agar anaknya dapat membantu meringankan kerja-kerja harian Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Di samping menyimpan harapan besar untuk melihat akhlak baik orang yang terbaik –Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam- mendapat tempias kepada anaknya, secara tidak langsung menjadikan anaknya seorang yang berakhlak mulia dan berpengetahuan tinggi.

Ternyata, sepanjang 15 tahun Anas mendampingi Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam, perasaan cintanya sangat mendalam dan ia jelas terbukti ketika wafatnya Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, Anas berkata: “Tiada hari yang paling memilukan daripada hari wafatnya Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, tangan kami menguburi jenazah, namun hati kami seperti menolak melakukannya”[4]. Gembiralah Ummu Sulaym dengan keperibadian yang ditonjolkan anaknya dan beliau berjaya menanamkan rasa cinta anaknya kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam melebihi cinta anaknya kepada dirinya sebagai ibu.  

CARA MENZAHIRKAN KECINTAAN KEPADA NABI

Ramai yang menyangka bahawa dengan melaksanakan sambutan Maulid al-Rasul sudah memadai untuk menzahirkan kecintaan kepada Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam. Bahkan, ada juga yang beranggapan bahawa tidak cukup sekadar ceramah, ia perlu juga dihiasi dengan aktiviti perarakan, berzanji, alunan zikir dan selawat secara beramai-ramai dan sebagainya. Kesemua perkara ini seharusnya diteliti, dikaji dan dibuat penilaian secara ilmiah terlebih dahulu sebelum dilakukan secara melulu.

            Umat Islam sememangnya digalakkan untuk berselawat ke atas Nabi Sallallahu Alayh wa Salam sebagai tanda ingatan dan cinta. Sebagaimana dalam hadith Abu Hurairah, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda: “Barangsiapa yang berselawat kepadaku sekali, Allah akan berselawat pula untuknya 10 kali”[5]. Malah, Abu Hurairah juga menukilkan sabdaan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang menjanjikan kecelakaan bagi sesiapa yang tidak berselawat ke atas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam apabila mendengar namanya disebutkan[6]. Hadith-hadith ini menunjukkan peri pentingnya kita selaku umat Islam untuk senantiasa berselawat mengingati Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam dalam kerangkanya yang sebenar. Hal ini kerana sejak kebelakangan ini, sudah kembali fenomena majlis bacaan selawat beramai-ramai yang berpaksikan syair rekaan para ulama tertentu di masjid-masjid mahupun media televisyen. Suatu ketika dahulu, umat Islam di Malaysia menjadikan bacaan berzanji sebagai aktiviti utama dalam menyambut sambutan Maulid al-Rasul, kemudiannya senyap seketika dek isu yang dibangkitkan oleh ulama Ahli Sunnah yang mendedahkan tentang pengaruh syair al-Barzanji tersebut dengan aqidah Syiah yang bersifat melampau dalam memuliakan Ali, Hasan dan Husayn selain mencerca para sahabat yang lain. Kini muncul pula bacaan selawat baharu yang seakan-akan menggunakan pendekataan yang sama, cumanya ia dialunkan dengan lebih harmoni dan sedap didengari telinga. Isunya, sejauhmanakah amalan ini bertepatan dengan sunnah atau anjuran Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam.

            Cuba anda perhatikan kepada tradisi ibadah agama Kristian di gereja-gereja mereka. Apakah yang mereka lakukan sebagai tanda sembah atau tunduk kepada patung jesus? Mereka akan menyanyi secara beramai-ramai membesarkan jesus dan sebagainya. Apakah kita pun ingin mengikut jejak mereka yang dilabel ‘sesat’ oleh Allah azza wa jalla dalam surah al-Fatihah. Pernah diceritakan, suatu ketika Abdullah ibn al-Syikhkhir pernah mengikut rombongan Bani Amir untuk bertemu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, lalu (setiba berjumpa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam), ahli rombongan berkata: “Kau (Nabi) adalah Sayyiduna (tuan kami)”. (maka) Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menjawab: “al-Sayyid (tuan kita) adalah Allah tabaraka wa ta’ala”. Ahli rombongan membalas: “Kau yang paling utama antara kami dan yang paling tinggi kedudukannya daripada kami”. Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menjawab: “Ucapkanlah kata-katamu atau sebahagian kata-katamu dan jangan sampai Syaitan mempermainkan kamu[7].

            Hadith ini menunjukkan ketidakselesaan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dengan penambahan gelaran kepadanya yang tidak sepatutnya. Telah menjadi sifat semula jadi Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersifat tawadu’ (merendah diri) dan mengingatkan umatnya agar tidak berlebihan dalam memuliakannya, sebagaimana dalam hadith Umar ibn al-Khattab, bahawa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda:

لا تُطْروني ، كما أطْرَتِ النصارى ابنَ مريمَ ، فإنما أنا عبدُه ، فقولوا : عبدُ اللهِ ورسولُه

Terjemahannya: “Jangan kalian berbuat ithra` (bersikap berlebihan, melampaui batas, dan ekstim) dalam memujiku sebagaimana kaum Nashrani (Kristian) berbuat ithra` dalam memuji (Isa) Ibn Maryam. Karena sesungguhnya saya tiada lain kecuali hanyalah hamba-Nya, maka katakanlah, “(Aku ini) Hamba Allah dan Rasul-Nya[8].

Sikap berlebih-lebihan dalam urusan agama ini sememangnya merupakan salah satu bentuk tipu daya syaitan yang mampu memporak-perandakan dan memusnahkan umat Islam. Kita seharusnya berhati-hati dan sentiasa berwaspada dengan amalan – amalan tertentu yang dianjurkan oleh sebahagian ustaz atau ilmuan kerana ibadah dalam Islam itu hakikatnya sudah sempurna dan tidak perlu kepada penambahbaikan. Sungguhpun begitu, bentuk kemuliaan yang dicanang melalui sesuatu syair tidaklah diharamkan secara total selagi mana ia tidak melampaui batasan kemuliaan Allah azza wa jalla. Sebagaimana pengiktirafan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam ke atas para penyair dalam kalangan para sahabat seperti Hassaan ibn Tsabit, Abdullah ibn Rawahah, Ka’b ibn Malik dan lainnya.

            Selain memperbanyakkan selawat yang ma’thur, sebagai tanda kecintaan kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, kita sewajarnya menjadikan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam sebagai ikon dengan mendokong sunnahnya dan mengamalkan akhlak peribadinya yang mulia. Dengan menjadikan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam sebagai ikon, kita bakal memperoleh cinta Allah azza wa jalla serta diberikan keampunan dosa-dosa yang telah kita lakukan. Bukankah Allah azza wa jalla sudah berjanji melalui firmannya dalam surah Ali ‘Imran ayat 31:

قل إن كنتم تحبون الله فاتبعوني يحببكم الله ويغفر لكم ذنوبكم والله غفور رحيم

Terjemahannya: “Katakanlah (Wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani”.

Menurut al-Qadhi Iyadh dalam kitabnya al-Syifa’, antara tanda-tanda orang yang mencintai Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam ialah meneladani Nabi Shallallahu 'alaihi wa sallam, mengamalkan sunnahnya (ajarannya), mengikuti perkataan dan perbuatannya dan beradab dengan adab-adabnya pada waktu ketika dalam kesusahan mahupun senang, pada waktu suka mahupun benci[9].

MUHASABAH

Bersempena dengan hampirnya kehadiran Rabi’ al-Awwal, marilah sama-sama kita mempergiat usaha mengenali Nabi kita yang mulia agar cinta kita kepadanya kian berbuah dan bersemi buat selamanya. Perbanyakkanlah selawat, ikut dan amalkanlah sunnah-sunnahnya yang sahih (benar) dan elakkan daripada menokok tambah amalan-amalan yang tiada asalnya daripada Islam. Akhir sekali, ayuh kita hayati sebuah hadith yang diceritakan oleh Anas ibn Malik, anak Ummu Sulaym. Beliau menceritakan bahwa suatu hari datang seseorang bertanya kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam: “Bilakah akan berlakunya hari Kiamat, wahai Rasulullah?” Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam lantas bertanyakan semula: “Apa yang telah kau persiapkan untuk menghadapinya?” Lalu orang tersebut menjawab: “Tidak ada apa-apa pun, melainkan hanya aku mencintai (sebenar-benar cinta) Allah azza wa jalla dan RasulNya”. Kemudian Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berkata: “(Kalau begitu) Kau akan bersama dengan orang yang kau cintai (di akhirat kelak)”. Ketika meriwayatkan hadith ini, Anas ibn Malik menambah: “(Kalau begitu) Aku mencintai Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, Abu Bakr dan Umar. Aku berharap dapat bersama-sama dengan mereka kerana kecintaanku pada mereka sekalipun amalanku tidak setanding mereka”[10].

Wallahu A’lam.


[1] Muttafaqun Alayh: Riwayat al-Bukhari no. 15, Muslim no.44
[2] Sahih: Riwayat al-Bukhari no. 6632.
[3] Al-Isti’ab, biografi no. 43.
[4] Tabaqat ibn Sa’ad, 1:234.
[5] Sahih: Riwayat Muslim no.384.
[6] Sahih: Riwayat At-Turmuzi no. 3545 dan dinyatakan sahih oleh Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’ no. 3510.
[7] Sahih: Riwayat Abu Dawud no. 4172, dinilai sahih oleh al-Albani dalam al-Jami’ al-Sahih no. 3549.
[8] Sahih: Riwayat al-Bukhari no.3261.
[9] Asy Syifa’ oleh al-Qadhi Iyadh, m/s: 571.
[10] Sahih: Riwayat al-Bukhari no. 3688.

Tiada ulasan: