Khamis, 6 Disember 2012

ALTERNATIF : CUKUR JAMBUL DARIPADA ADAT KEPADA SUNNAH



Upacara Cukur Jambul merupakan antara adat resam masyarakat Melayu di Malaysia saat menyambut kehadiran ahli baharu dalam keluarga mereka. Upacara ini juga turut dikenali dengan nama Endoi di Kedah serta Naik Buai di sekitar Kampung Gajah dan Perak Tengah. Masyarakat kita menyambutnya bersempena dengan genapnya 40 hari bayi dilahirkan, malah ada juga yang turut menggabungkan upacara Cukur Jambul tersebut dengan ibadah aqiqah. Situasi ini mengundang beberapa permasalahan yang boleh diklasifikasikan sebagai bid’ah (tokok tambah dalam agama).
Masyarakat Islam di Malaysia seharusnya berpegang kepada amalan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam dalam menyambut kelahiran. Sekiranya ingin melaksanakn juga adat Melayu tersebut, sewajarnya ia dimurnikan dengan beberapa aspek (amalan) perlu dibuang dan ditinggalkan seperti Berzanji atau Marhaban, Sedulang bunga rampai , Sebiji kelapa muda berwarna kuning (kelapa tersebut dibelah dan airnya tidak boleh dikeluarkan), beberapa helai daun termasuklah daun sirih alat perenjis, Beras berwarna kuning (telah dilumur dengan kunyit), Beras putih dan sebagainya. Perkara-perkara ini jelas bertentangan dengan sunnah Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam bahkan ia turut boleh mengheret pelakunya kepada melakukan syirik kepada Allah.

CUKUR JAMBUL MENURUT ISLAM

Tiada istilah cukur jambul dalam Islam, namun ia boleh dianotasikan kepada amalan mencukur keseluruhan rambut bayi pada hari ketujuh kelahirannya serta ditimbang beratnya dan ibu bapa anak tersebut disunnahkan pula bersedekah dengan mengikut berat rambut bayinya. Ia berpandukan kepada perbuatan Fatimah bintu Muhammad Sallallahu Alayhi wa Sallam (Anak Nabi) ketika menyambut kelahiran anak-anaknya iaitu Hasan, Husayn, Zaynab dan Ummu Kultsum, beliau (Fatimah) menimbang rambut anak-anaknya lalu beliau mengeluarkan sedekah mengikut kiraan berat rambut yang ditimbang dengan (nilai) perak[1].

Sunnah ini dilihat sesuai bagi memurnikan upacara Cukur Jambul daripada pengaruh kepercayaan karut agama lain yang jelas banyak terkesan dalam adat – adat Melayu yang diwarisi masyarakat kita hari ini.

ALTERNATIF TERBAIK MENYAMBUT KELAHIRAN BAYI

Islam merupakan agama yang syumul iaitu merangkumi segenap aspek kehidupan, bermula dari sekecil-kecil perkara sehinggalah kepada sebesar-besar perkara. Sebab itu, umat Islam tidak akan merasai kehebatan agama yang dianutinya sekiranya mereka tidak cuba mendalami dan mengkaji peraturan-peraturan (syariat) kehidupan yang digariskan Allah melalui Rasulnya Muhammad Sallallahu Alayhi wa Sallam. Mulakanlah diari kehidupan bayi yang dilahirkan sesuai dengan sunnah Nabi Sallallhu Alayhi wa Sallam, moga apabila ia besar nanti peribadinya akan mengikut Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam.

Antara perkara sunnah yang dianjurkan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam ialah Tahnik bayi. Merujuk kepada hadith Abu Musa al-Asy’ari radhiyallahu ‘anhu, beliau menceritakan bahawa:

“Anak (lelaki) aku lahir lalu aku membawanya kepada Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam dan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam menamakannya Ibrahim lalu ditahnikkannya dengan sebiji buah kurma. (Kemudian) Beliau mendoakan keberkatan dan kemudiannya memulangkannya (bayi) kembali kepadaku”[2].

Definisi tahnik menurut Islam ialah perbuatan mengunyah kurma sehingga hancur, menyuapkan ke mulut bayi dan menggosokkan kurma tersebut ke lelangit mulut bayi iaitu dengan menggerak-gerakkan kekanan dan kekiri sehingga mulut bayi tersebut dapat merasai kemanisan kurma tersebut dengan enaknya. Menurut Badr al-Din al-Ayni, hikmah melaksanakan tahnik adalah sebagai pengharapan kebaikan bagi bayi dengan keimanan, disebabkan:

1. Kurma merupakan buah yang disama ertikan oleh Rasulullah Sallallahu Alayhi wa Sallam dengan seorang mukmin

2. Kredibiliti pentahnik yang memiliki keutamaan, ulama dan orang soleh, lantaran air ludahnya yang masuk ke dalam kerongkong bayi[3].

Selepas ditahnik dan didoakan keberkatan bagi bayi, disunatkan pula melaksanakan Ibadah Aqiqah bagi sebagaimana yang ditegaskan oleh Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam melalui hadith Salman ibn Amir:

“Bersama (mengiringi) bayi yang lahir itu adalah Aqiqah. Oleh itu, sembelihlah untuk (memperoleh) tujuan aqiqah (tersebut) dan singkirkanlah daripadanya bahaya[4].

Ibadah Aqiqah ini dianjurkan untuk dilaksanakan pada hari ketujuh kelahiran bayi dan disembelih kambing bagi bayi lelaki 2 ekor manakala bagi bayi perempuan 1 ekor. Namun tidak menjadi keberatan sekiranya tidak mampu, cukup sekadar seekor kambing bagi seorang bayi[5]. Daging hasil daripada ibadah Aqiqah pula, disunatkan untuk dijamu (bukan mentah) kepada keluarga, jiran tetangga dan tetamu yang hadir atau mudah disimbolikkan sebagai ‘kenduri Aqiqah’. Namun seharusnya dielakkan daripada mencampuradukkan dengan perkara-perkara tokok tambah sepertimana yang disebutkan pada awal tadi. Di samping itu, menjadi sunnah Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam memberi nama kepada bayi pada hari ditahnikkannya atau (sebahagian riwayat) diaqiqahkannya. Pemilihan nama bayi juga perlu diambil serius oleh ibubapa bayi agar ia tidak memberi kesan negatif kepada bayinya apabila besar kelak[6]. ‘Trend’ atau budaya menggabung-gabung nama antara ibu dan bapa, mencedok nama-nama artis kafir dan sebagainya hanya akan menonjolkan kederhakaan ibubapa kepada anak yang kelak akan dipersoalkan di akhirat. Berilah nama yang baik dan mudah dipanggil, semakin kerap diucapkan semakin banyak doa (kebaikan) kita untuknya.

MUHASABAH

Begitulah perkara yang sepatutnya dilaksanakan oleh masyarakat Islam kita pada hari ini. Kejahilan tentang sunnah dan kecerdikan tentang adat merupakan salah satu faktor penyebab muda-mudi kita kini rosak kerana sejak kecil lagi tidak disuapkan dengan amalan sunnah yang penuh barakah, bahkan disuapkan pula dengan perkara bid’ah yang punah. Justeru, disarankan agar amalan Cukur Jambul yang menjadi tradisi sebahagian kita selama ini dimurnikan sesuai dengan sunnah Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam iaitu Mentahnik, Mendoakan Keberkatan, Melaksanakan Aqiqah, Mencukur seluruh rambut bayi, ditimbang dan disedekahkan mengikut beratnya dengan nilai perak dan Memberi nama yang baik. Setelah itu, kewajipan ibu menyusu bayi selama dua tahun, begitu juga ibu bapa bertanggungjawab mengkhatankan anak dan memberi nafkah kepadanya sehingga mencapai ke suatu usia yang matang. Ibu bapa juga perlu menonjolkan akhlak dan sikap yang baik dihadapan anak-anak kerana mereka dijadikan model oleh anak-anak. Beramallah dengan ilmu, bukannya ikut-ikutan. Wallahu A’lam.



[1] al-Muwatto', Kitab Aqidah 26/2
[2] Sahih: Riwayat al-Bukhari, Kitab Aqiqah, no. 376
[3] Umdatul Qari bi Syarhi Sahih Al-Bukhari (21/84) oleh Al-Aini
[4] Sahih: Riwayat al-Bukhari, Kitab Aqiqah, no. 380
[5] Lihat Hadith Salman ibn Amir al-Dobi. Hadis Riwayat Turmuzi dan dinilai sahih oleh al-Albani. Lihat: Sahihul Jami’ oleh al-Albani, no. 4184.
[6] : Tasmiyat al-Maulud oleh Dr. Bakr Abu Zayd, halaman 706.

Tiada ulasan: