Sabtu, 15 Disember 2012

HAKIKAT DEMAM DAN PENYAKIT-PENYAKIT YANG MENIMPA



 Setiap yang berlaku merupakan suratan taqdir yang telah ditentukan Allah azza wa jalla dan disebaliknya pasti tersirat hikmah yang tidak dapat dijangkau dek akal. Begitulah juga apabila kita ditimpa musibah demam dan pelbagai jenis penyakit. Sebaiknya kita sebagai hamba Allah azza wa jalla redha dengan segala ketetapan tersebut dan elakkan daripada mengeluh atau mempersoalkan taqdir yang telah ditetapkan Allah azza wa jalla. Abu al-Darda’ pernah berkata: "Apabila Allah azza wa jalla telah menetapkan suatu taqdir, maka yang paling dicintaiNya adalah (kita) meredhai taqdirNya"[1].

          Pernah diceritakan oleh Umm al-‘Ala’ ketika beliau dalam keadaan sakit, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam datang menjenguknya. Lalu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berkata kepadanya:

اَبْشِرِىْ يَا أُمِّ العَلاَءِ، فَإِنِّ مَرَضَ المُسْلِمِ يُذْ هِبُ اللَّهُ بِهِ خَطَايَاهُ كَمَا تُذْ هِبُ النَّارُ خَببَثَ الذَّهَبِ وَالفِضَّةِ

Terjemahannya: "Gembirakanlah Umm Al-‘Ala', sesungguhnya sakit yang menimpa seseorang Muslim itu menyebabkan Allah azza wa jalla menghilangkan kesalahan-kesalahannya (dosa-dosa kecilnya), sebagaimana api yang menghilangkan kotoran emas dan perak"[2].

Seorang Muslim yang sejati pasti menganggap musibah yang melanda merupakan ujian daripada Allah azza wa jalla bagi menilai sejauhmana hambaNya mendepani musibah tersebut. Seorang Muslim yang sejati juga pasti berfikiran positif di atas musibah yang melanda. Hanya golongan yang jahil sahaja yang akan menganggap bahawa musibah demam, wabak penyakit dan sebagainya merupakan balasan Allah azza wa jalla kepadanya, sedangkan Allah azza wa jalla dengan sifat Maha Pengasihnya menjadikan musibah tersebut sebagai sebab penghapus dosa yang telah dilakukan hambanya. Oleh kerana itulah, tahap kesakitan antara seseorang individu dengan individu yang lain tidak sama.  

Abdullah ibn Mas’ud pernah datang menziarahi Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam yang ketika itu sedang demam. Abdullah ibn Mas’ud mendapati keadaan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam sangat lemah, lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mengatakan kepadanya bahawa deritanya demam seorang Nabi adalah dua kali ganda daripada manusia biasa. Bahkan pahalanya juga berlipat ganda daripada manusia biasa. Kemudiannya Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam melanjutkan perkataannya dengan bersabda: "Tidaklah seseorang muslim itu menderita kesakitan disebabkan sesuatu penyakit, melainkan Allah azza wa jalla akan menggugurkan segala kesalahannya (dosa kecilnya) dengan penyakit itu, sebagaimana sebuah pohon yang menggugurkan daun-daunnya[3]"

SUNNAH MENZIARAHI PESAKIT

Sebagai seorang Muslim selayaknya kita menjadikan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam sebagai ikutan dan model dalam melayari kehidupan ini. Antara sunnah yang sering diabaikan oleh masyarakat Islam kita pada hari ini ialah sunnah menziarahi orang sakit dan saling mendoakan kebaikan dan kesihatan.

Dalam hadith Ali ibn Abi Talib yang diriwayatkan oleh al-Turmuzi dalam sunannya mengatakan bahawa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pernah berpesan: "Tidaklah seorang muslim menjenguk muslim yang lain pada pagi hari, melainkan 70000 malaikat akan berselawat untuknya hingga petang hari. Jika dia menjenguknya pada petang hari, maka 70000 malaikat akan berselawat untuknya hingga pagi. Dan dia akan mendapatkan kebun yang penuh berisi buah-buahan di syurga kelak"[4]. Hadith ini menunjukkan galakan menziarahi orang sakit dan anjuran mengambil tahu tentang keadaan saudara semuslim yang lain. Ia juga merupakan salah satu daripada tujuh perkara yang disuruh oleh Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam untuk kita melakukannya[5].

Ketika menziarahi pesakit juga kita disunatkan untuk mendoakan pesakit dengan doa-doa yang ma’thur daripada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Dalam hadith Abdullah ibn Abbas yang diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari ada menyatakan bahawa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam apabila datang menjenguk orang yang dalam keadaan sakit, Nabi Sallallah Alayh wa Sallam akan mendoakannya dengan: 

لا بأسَ، طهورٌ إن شاءَ اللهِ

Terjemahannya: “Tidak mengapa, insya Allah (sakit ini) sebagai pembersih (dosa)[6]”.

Aisyah (isteri Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam) juga pernah menceritakan perilaku suaminya semasa menjenguk ahli keluarganya yang sakit, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mengusap dengan tangan kanannya sambil membaca:

اللَّهُمَّ رَبَّ النَّاسِ أَذْهِبِ الْبَأْسَ، اشْفِ، أَنْتَ الشَّافِيْ لاَ شِفَاءَ إِلاَّ شِفَاءُكَ، شِفَاءً لاَ يُغَادِرُ سَقَمًا

Terjemahannya: “Ya Allah, Rabb seluruh manusia, hilangkanlah penyakit ini. Sembuhkanlah, Engkau adalah Zat yang Maha Menyembuhkan. (Maka) tidak ada ubat (yang menyembuhkan) kecuali ubatmu, kesembuhan yang tidak meninggalkan sebarang penyakit[7]”.

Di samping mendoakan pesakit dengan doa-doa yang ma’thur daripada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, kita juga dianjurkan untuk meruqyah (mengubati) pesakit dengan memperdengarkan kepadanya ayat-ayat Al-Quran. Hal ini bersandarkan kepada firman Allah azza wa jalla dalam surah al-Isra’ ayat 82:

وَنُنَزِّلُ مِنَ الْقُرْآنِ مَا هُوَ شِفَاءٌ وَرَحْمَةٌ لِلْمُؤْمِنِينَ

Terjemahannya: “Dan Kami turunkan dari Al-Qur`an suatu yang menjadi penawar dan rahmat bagi orang-orang yang beriman”.

Menurut al-Imam al-Qurtubi dalam tafsirnya, ayat ini menjelaskan bahawa al-Quran mengandungi syifa’ (ubat) dan rahmat. Namun ia hanya memberi manfaat kepada orang yang beriman dengannya, membenarkan ayat-ayatnya dan beramal dengannya. Adapun orang yang zalim dan kafir, al-Quran tidak mampu memberi sebarang manfaat bagi mereka melainkan kerugian semata-mata[8]. Justeru galakkan membaca ayat al-Quran ke atas pesakit amat disarankan dan anjuran ini tidaklah terbatas hanya kepada bacaan surah Yasin semata-mata. Sungguhpun begitu, perlu ditekankan di sini bahawa budaya membaca surah Yasin ke atas pesakit yang nazak adalah diharuskan oleh sebahagian ulama berpandukan hadith dan athar yang sahih[9]. Begitupun, membacanya saat kematiannya pula dikira bid’ah (perkara baharu yang diada-adakan).

MUHASABAH

Dalam menghadapi kehidupan ini sebahagian kita kadang kala terleka dan alpa tentang keimanan terhadap Qada’ dan Qadar. Antara intipati keimanan tersebut adalah keredhaan kita dalam menerima musibah seperti demam dan sebagainya. Perlu dingat bahawa setiap penyakit datangnya daripada Allah azza wa jalla dan kesembuhan juga datangnya daripadaNya. Oleh yang demikian, berbaliklah kepadaNya kerana hanya Allah azza wa jalla yang mampu memberi manfaat dan memberi mudarat. Renungkanlah petikan hadith Abdullah ibn Abbas ini:

نِعْمَتاَنِ مَغْبُوْنٌ فِيْهِماَ كَثِيْرٌ مِنَ النَّاسِ: الصِّحَةُ وَالْفَرَاغُ

Terjemahannya: “(Terdapat) dua nikmat yang sering dilupakan (terhalang daripada mendapat kebaikan dan pahala dengannya) oleh kebanyakan manusia, iaitu nikmat kesihatan dan waktu lapang[10].

Wallahu A’lam.



[1] Az-Zuhd, Ibnul Mubarak, hal. 125
[2] Sahih Isnad: Riwayat Abu Daud, no. 3092
[3] Muttafaqun Alayh: Riwayat Al-Bukhari, 7/149. Muslim 16/127
[4] Sahih: Riwayat At-Tirmizi no. 969 dan dinyatakan sahih oleh Al-Albani dalam Shahih Al-Jami 'no. 5767.
[5] Berpandukan Hadith al-Barra’ ibn Azib: Terjemahannya: “Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan kami dengan tujuh perkara dan melarang kami dari tujuh perkara: (1)Beliau memerintahkan untuk menjenguk orang sakit, (2)mengiringi jenazah, (3)mendoakan orang yang bersin, (4)memenuhi undangan, (5) menyebarkan salam, (6)menolong orang yang terzalimi, serta (7)melaksanakan sumpah. Dan beliau melarang kami (1)memakai cincin daripada emas, (2)minum dari bejana yang terbuat daripada perak, (3)mayasir, (4)qassiy, (5)harir, (6)dibaj, dan (7)istabraq (semua jenis pakaian yang terbuat dari sutera atau campuran sutera).” (Sahih: Riwayat Al-Bukhari no. 2265 dan Muslim no. 2066)
[6] Sahih: Riwayat al-Bukhari no.3616
[7] Sahih: Riwayat al-Bukhari no.5743
[8] Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran oleh Al-Imam al-Qurtubi: 113
[9] Berpandukan hadith: اقْرَءُوا يس عَلَى مَوْتَاكُمْ
Terjemahannya: “Bacakanlah kepada orang yang hampir mati (nazak) dalam kalangan kamu itu dengan surah Yasin”. (al-Syaukani menghasankan hadith ini di dalam al-Fath al-Rabbani. Manakala al-Nawawi melemahkannya di dalam al-Azkar, Ibn al-‘Arabi menukilkan daripada al-Daraqutni bahawasanya hadith ini adalah lemah sanadnya dan majhul matannya, dan tidak ada yang sahih dalam bab ini satu hadith pun. Al-Albani juga melemahkan hadith ini di dalam Irwa’ al-Ghalil dan al-Silsilah al-Doifah. Al-Zahabi pula di dalam Mizan al-I’tidal berkata (dalam sanadnya) ada Abu ‘Uthman yang tidak dikenali bapanya dan juga dia)
Athar Sahabat: Ghudaif bin al-Harith al-Thumali (seorang sahabat) telah diziarahi ketika nazaknya. Lalu dia berkata: “Apakah dalam kalangan kamu ada seseorang yang boleh membacakan surah Yasin? Katanya: Maka Soleh ibn Syurayh al-Sakuni membacanya, apabila sampai 40 ayat, dia meninggal dunia. Katanya: Guru-guruku berkata: Jika dibacakan (surah Yasin) di sisi pesakit yang sedang nazak, ia akan diringankan (azabnya). Safwan berkata: Isa ibn al-Mu’tamir juga membaca surah Yasin kepada Ibn Ma’bad” (Ibn Hajar berpandangan hadith ini sanadnya baik, al-Haithami dalam Majma’ az-Zawaid mengatakan terdapat perawi yang tidak dikenali).
[10] Sahih: Riwayat Al-Bukhari no. 6412

Tiada ulasan: