Selasa, 11 Disember 2012

BERWASPADA DENGAN NIKMAT




Kebanyakan daripada masyarakat kita beranggapan bahawa melimpahnya nikmat dan rezeki yang diperolehi merupakan tanda kemuliaan daripada Allah azza wa jalla. Sambil mengganggap mereka yang miskin, hidup dalam kesempitan dan gundah gulana adalah golongan yang dihina Allah atas keengkaran mereka mematuhi perintah Allah azza wa jalla. Inilah persepsi yang bermain dibenak fikiran sebilangan kita seandainya dipandu oleh penilaian logik akal semata-mata tanpa merujuk kepada hakikat atau maqasid sebenar nikmat Allah azza wa jalla.
Dalam surah al-Fajr ayat 15-16, Allah azza wa jalla berfirman:

فَأَمَّا الْإِنسَانُ إِذَا مَا ابْتَلَاهُ رَبُّهُ فَأَكْرَمَهُ وَنَعَّمَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَكْرَمَنِ وَأَمَّا إِذَا مَا ابْتَلَاهُ فَقَدَرَ عَلَيْهِ رِزْقَهُ فَيَقُولُ رَبِّي أَهَانَنِ

Terjemahannya: “(Dalam pada itu manusia tidak menghiraukan balasan akhirat), oleh yang demikian, maka kebanyakan manusia apabila diuji oleh Tuhannya dengan dimuliakan dan dimewahkan hidupnya (ia tidak mahu bersyukur tetapi terus bersikap takbur) serta berkata dengan sombongnya: "Tuhanku telah memuliakan daku!"dan sebaliknya apabila ia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (ia tidak bersabar bahkan ia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: "Tuhanku telah menghinakan daku!".

Menurut Ibn Kathir dalam tafsirnya menyimpulkan bahawa tujuan Allah azza wa jalla memberi rezeki yang melimpah ruah kepada hambaNya adalah untuk menguji sejauhmana hambaNya bersyukur dengan nikmat tersebut dan begitu juga sebaliknya[1]. Kekayaan harta, kemewahan hidup, anak pinak, ketinggian pangkat, kecantikan dan kesehatan fizikal dan sebagainya merupakan nikmat yang memiliki tujuan yang tersirat dibaliknya. Tanggapan bahawa nikmat tersebut sebagai tanda kemuliaan adalah jauh meleset daripada maksud sebenar pemberian nikmat itu sendiri. Walhal nikmat rezeki yang diberikan tersebut hakikatnya adalah ujian dan cubaan Allah azza wa jalla buat kita sedangkan kita sendiri tidak menyedarinya, sepertimana firman Allah azza wa jalla:

. أَيَحْسَبُونَ أَنَّمَا نُمِدُّهُمْ بِهِ مِنْ مَالٍ وَبَنِينَ نُسَارِعُ لَهُمْ فِي الْخَيْرَاتِ
 
Terjemahannya: “Adakah mereka menyangka bahawa apa yang Kami berikan kepada mereka daripada harta benda dan anak pinak itu (bermakna bahawa dengan yang demikian) Kami menyegerakan untuk mereka pemberian kebaikan? (Tidak!) bahkan mereka tidak menyedari (hakikatnya yang sebenar)” [Surah al-Mu’minun : 55-56].

HAKIKAT NIKMAT

Dalam al-Quran ada tercatat sebuah surah yang dinamakan sebagai surah al-Nahl atau juga dikenali sebagai surah al-Ni’am[2]. Para ulama berpandangan bahawa surah tersebut digelar al-Ni’am kerana padanya disebutkan pelbagai nikmat yang Allah azza wa jalla kurniakan kepada hamba-hambNya, dimulai dengan nikmat Islam, penurunan wahyu dan disusuli penyebutan nikmat-nikmat lain yang besar manfaatnya untuk manusia seperti menciptakan binatang ternak yang dapat dijadikan tunggangan dan pengangkutan dan sebagainya. Allah azza wa jalla menyebutkan nikmat-nikmat tersebut secara berturut-turut lalu mengakhirinya dengan:

وَإِن تَعُدُّوا نِعْمَةَ اللهِ لاَ تُحْصُوهَا إِنَّ اللهَ لَغَفُورٌ رَّحِيمٌ

Terjemahannya: “Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang”. [Surah An Nahl:18].

BERSYUKUR DENGAN NIKMAT

Allah azza wa jalla merupakan salah satunya pemberi nikmat yang hakiki dalam kehidupan ini. Nikmat pemberiannya melimpah bukan sahaja dirasai oleh manusia, malah kesemua makhluk Allah azza wa jalla turut sama merasainya seperti haiwan dan tumbuh-tumbuhan. Bukannya kerajaan, ketua jabatan, CEO mahupun seangkatan dengannya yang menentukan hala tuju rezeki manusia. Sebagai seorang Muslim sewajibnya berpegang dengan keyakinan yang kukuh berkaitan perkara ini. Pendirian yang utuh berkenaan dengannya berpotensi melahirkan Muslim yang progresif, amanah dan ikhlas. Secara tidak langsung mendetikkan rasa syukur kepada Allah azza wa jalla pada setiap masa, lantaran kesedaran kendiri mengenai nikmat oksigen yang dihirup, kesihatan, keamanan dan sebagainya merupakan pemberian Allah azza wa jalla semata-mata. Dalam surah Ibrahim ayat 7, Allah azza wa jalla ada mengingatkan hambaNya:

Terjemahannya: “Dan (ingatlah) ketika Tuhan kamu memberitahu: "Demi sesungguhnya! jika kamu bersyukur nescaya Aku akan tambahi nikmatKu kepada kamu, dan Demi sesungguhnya, jika kamu kufur ingkar Sesungguhnya azabKu amatlah keras”.

Al-Imam Al-Qurtubi dalam al-Jami’ li Ahkam al-Qur’an menerangkan bahawa erti syukur yang sebenar ialah mengakui nikmat tersebut datangnya daripada Allah azza wa jalla dan tidak menggunakan nikmat tersebut melainkan untuk dimanfaatkan di jalan ketaatan kepada Allah semata-mata[3]. Golongan yang menyalahgunakan nikmat Allah azza wa jalla bolehlah dikategorikan sebagai Kufur Nikmat, disebabkan tidak bijak menggunakan nikmat tersebut kearah yang bermanfaat dan kebaikan. Orang kaya yang kikir boleh dikategorikan sebagai kufur nikmat kerana liat bersedekah, orang yang sehat tetapi malas menunaikan solat boleh dikategorikan kufur nikmat kerana mengabaikan kewajipan solat, orang yang mempunyai rupa paras yang cantik pula boleh dikategorikan kufur nikmat kerana menonjolkan kecantikannya tanpa mengikut lunas yang ditetapkan Islam dan begitulah seterusnya.

Perlu diingat, kenikmatan, kemegahan dan kemewahan dunia bukanlah jaminan kebahagiaan di akhirat kelak. Sekiranya kesemua itu merupakan suatu keutamaan, nescaya Allah azza wa jalla akan menjadikan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam sebagai orang yang terkaya di dunia. Namun ternyata ia tidak berlaku, bahkan jika disingkap kembali sejarah, Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam sendiri hidup dalam keadaan penuh kesederhanaan dan terkadang lebih susah daripada situasi sebilangan daripada kita hari ini. Aishah bint Abi Bakr (isteri Nabi) pernah menceritakan bahawa:

دَخَلَ عَلَيَّ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ذَاتَ يَوْمٍ، فَقَالَ: هَلْ عِنْدَكُمْ شَيْءٌ؟ فَقُلْنَا: لاَ. قَالَ: فَإِنِّي إِذَنْ صَائِمٌ

Terjemahannya: “(Suatu ketika) Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam masuk ke rumahku, lalu bertanya: “ada apa-apa tak (untuk dimakan)?”. Lalu aku (Aisyah) menjawab: “tidak ada apa-apa pun”. Lantas Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam pun berkata: “Kalau begitu, aku berpuasa[4].

Malah, Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam juga pernah memajak baju besinya kepada seorang pemuda Yahudi sebagai jaminan semata-mata untuk membeli makanan[5]. Begitulah gambaran kehidupan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam, betapa hebatnya kesabaran para isteri Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam dengan kesempitan hidup yang mereka alami, namun tidak sedikit pun mereka merungut. Amat menyedihkan lagi, diceritakan melalui hadith Juwairiyah bint al-Harith (isteri Nabi) bahawa:

ماَ تَرَكَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ مَوْتِهِ دِيْنَارًا وَلاَ دِرْهَمًا وَلاَ عَبْدًا وَلاَ أَمَةً وَلاَ شَيْئًا إِلاَّ بَغْلَتَهُ الْبَيْضَاءَ الَّتِي كَانَ يَرْكَبُهَا وَسِلاَحَهُ وَأَرْضًا جَعَلَهَا لاِبْنِ السَّبِيْلِ صَدَقَةً

Terjemahannya: “Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam ketika wafatnya tidak meninggalkan sebarang dinar (duit), dirham (duit), hamba, budak perempuan dan apa-apa pun melainkan seekor baghal berwarna putih yang dahulu biasa Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam tunggangi, sebilah pedang dan sebidang tanah yang Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam jadikan sebagai sedekah untuk bermusafir”.

CARA MENJADI ORANG YANG BERSYUKUR

Setelah memahami hakikat nikmat, syukur dan kepentingan bersyukur dengan nikmat yang diperoleh, sewajarnya kita melahirkan rasa kesyukuran dengan membiasakan menyebut lafaz ‘alhamdulillah’ (puji-pujian bagi Allah) atau ‘alhamdulillah ala kulli hal’ (puji-pujian bagi Allah dalam semua perkara)[6] dan menggunakan nikmat ke arah kebaikan. Di samping itu, sebahagian antara kita juga sering mengabaikan untuk melaksanakan Sujud Syukur kepada Allah azza wa jalla sewaktu menerima sesuatu nikmat yang jarang diperolehi seperti ketika mendapat tahu keputusan lulus dalam temuduga kerja atau naik pangkat, mendapat kejayaan yang cemerlang dalam peperiksaan SPM, PMR, UPSR atau ketika terselamat daripada musibah atau bencana[7]. Anjuran sujud Syukur ini pernah digambarkan pelaksanaannya oleh Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam melalui hadith:

Terjemahannya: “Ali ibn Abi Talib mengirim surat kepada Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam bagi menyatakan tentang keislaman Hamdan. Tatkala Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam membacanya, Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam terus sujud dan kemudiannya bangkit dan berdoa: “(Semoga) Keselamatan ke atas Hamdan”[8].

Ia juga turut menjadi amalan para al-Salaf al-Soleh sepertimana athar-athar yang banyak menunjukkan wujudnya pelaksanaan sujud Syukur. Sebagaimana perbuatan Ka’ab ibn Malik yang sujud tanda kesyukuran kepada Allah azza wa jalla ketika diberitakan bahawa Allah azza wa jalla telah menerima taubatnya[9].

Beginilah petunjuk yang diajar oleh Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam kepada umatnya. Bukan sekadar ucapan Alhamdulillah yang meniti dibibir, malah sebaiknya disusuli dengan sujud Syukur yang dilakukan tanpa perlu berwuduk, tanpa meneliti kebersihan pakaian dan tempat mahupun tanpa menghadap kiblat. Sungguhpun begitu, ia tidak bermaksud mereka yang meninggalkannya (tidak melakukan sujud Syukur) dikategorikan sebagai kufur nikmat. Ia berpandukan kepada hukum pelaksanaannya mengikut jumhur ulama hanyalah sekadar Sunat[10] (iaitu jika melaksanakannya mendapat pahala dan jika mengabaikannya pula tidak berdosa).

MUHASABAH

Pemberian nikmat yang banyak bukanlah tanda kemuliaan seseorang di sisi Allah, begitu pula sedikitnya rezeki bukanlah menunjukkan kehinaan mereka. Tetapi Allah azza wa jalla juga menyempitkan rezeki buat hambanya yang dicintainya dan memperluaskan rezekinya kepada hambanya yang melakukan maksiat dan dosa. Apa yang penting adalah ketaatan kepada Allah azza wa jalla dan berusaha mencari keredhaannya untuk kebahagiaan di dunia dan akhirat. Orang yang kaya perlu bersyukur dengan nikmat yang diberi manakala orang yang miskin bersabar dengan kesempitan rezeki yang menimpa. Namun sewajarnya orang yang miskin mempergiat usaha mencari rezeki dengan rajin berkerja dan bukannya berputus asa. Ingatlah pesanan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam:

احرص على ما ينفعك واستعن بالله ولا تعجز وإن أصابك شيء فلا تقل لو أني فعلت كان كذا وكذا ولكن قل قدر الله وما شاء فعل

Terjemahannya: “Bersemangatlah dalam hal yang bermanfaat bagimu. Minta tolonglah kepada Allah dan janganlah kamu malas! Apabila kamu ditimpa sesuatu, janganlah kamu mengatakan “Seandainya aku berbuat demikian, tentu tidak akan begini atau begitu’, tetapi katakanlah: ‘Qoddarullahu wa maa sya’a fa’ala (telah ditaqdirkan Allah dan apa sahaja yang dia (Allah) kehendaki)”[11].

Bersyukurlah kepada Allah Tuhan yang Maha Pemurah lagi Maha Pengasih. Wallahu A’lam.


[1] Tafsir al-Qur’an al-Azim oleh Ibn Kathir, 8:368.
[2] Tafsir al-Tahrir wa al-Tanwir oleh Ibn Asyur, 6:93.
[3] Tafsir al-Jami’ li Ahkam al-Quran oleh Al-Qurtubi, 9: 225.
[4] Sahih: Riwayat Muslim no.1154.
[5] Muttafaqun Alayh: Riwayat al-Bukhari no.2096, Muslim no.1603.
[6] Hasan: Riwayat Ibn Majah, no.3803 dan dinilai Hasan oleh al-Albani.
عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- إِذَا رَأَى مَا يُحِبُّ قَالَ  "الْحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِى بِنِعْمَتِهِ تَتِمُّ الصَّالِحَاتُ ». وَإِذَا رَأَى مَا يَكْرَهُ قَالَ « الْحَمْدُ لِلَّهِ عَلَى كُلِّ حَالٍ
Terjemahannya: Daripada Aisyah, kebiasaan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam apabila menyaksikan hal-hal yang disukainya, Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam akan mengucapkan “Alhamdulillah alladzi bi ni’matihi tatimmus solihat”. Manakala jika Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam menyaksikan hal-hal yang tidak menyenangkan, Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam akan mengucapkan “Alhamdulillah ‘ala kulli hal“.
[7] Zadul Ma’ad oleh Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah, 1:270.
[8] Sahih: Riwayat al-Bukhari no.4349, Baihaqi dalam Sunannya 2:369.
[9] Muttafaqun Alayh: Riwayat al-Bukhari no.4418 dan Muslim no.2769.
[10] Fiqh al-Sunnah oleh Sayyid Sabiq 1:179 dan disepakati oleh al-Albani dalam Tamam al-Minnah.
[11] Sahih: Riwayat Muslim no. 2664.

4 ulasan:

ummu umaamah berkata...

Salam. Tahniah! penulisan yang baik. Teruskan menulis penulisan berbentuk ilmiah dan kritis. Perkongsian ilmu yang sangat dihargai sebagai usaha saling berpesan-pesan ke arah kebaikan dan kemanfaatan. Mudah-mudahan kita tergolong dalam kalangan mereka yang sangat mensyukuri nikmat Allah yang tidak terkira ni..he

Unknown berkata...

Alhamdulillah Allah Yubarik Fih.
Allahumma Thabbitni Waj 'Alni Hadiyan Mahdiyyan!

Nadhratannaim berkata...

Syabas..semoga terus aktif menghasilkan tulisan untuk perkongsian ilmu bersama.

Unknown berkata...

Jazakallah Khayr al-Jaza'