Jumaat, 15 Februari 2013

DOA: SECARA INDIVIDU ATAU BERJEMAAH


Ramai beranggapan bahawa doa yang dibacakan oleh para ustaz, ustazah atau tokoh-tokoh agama merupakan antara doa yang dimakbulkan oleh Allah azza wa jalla. Menjangkau lebih daripada itu, persepsi ini turut menempias golongan yang bukan pun bergelar agamawan atau yang mahir dalam bidang agama, berkemungkinan sekadar menyandang jawatan Imam di sesebuah surau atau masjid sahaja berpandukan kepada faktor umur, pengalaman dan sebagainya.


Oleh sebab itu, masyarakat amat bergantung harap kepada golongan-golongan ini dalam membimbing mereka berkaitan hal ehwal agama, di samping menjadi pemimpin dalam menunaikan Solat dan ibadah-ibadah yang lain. Namun, tahap keilmuan dan kefahaman berkaitan asas ibadah yang kurang dititik beratkan menyebabkan rata-rata golongan tersebut melaksanakan sesuatu ibadah tanpa didasari oleh ilmu yang sebenar, bahkan turut menyelisihi sunnah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Antara kesannya terhadap masyarakat ialah berlakunya sikap sambil lewa dalam berdoa kepada Allah azza wa jalla.

DEFINISI & TUJUAN DOA

Menurut Syeikh al-Islam Ibn Taymiyyah, doa bermaksud sesuatu permohonan yang bermanfaat buat seseorang daripada Allah azza wa jalla dan permintaannya untuk dihindarkan dan dijauhkan daripada sebarang kemudaratan[1]. Ia turut mencakupi permintaan seseorang untuk kepentingan sahabatnya yang lain, sama ada untuk memohon kebaikan buatnya ataupun untuk menghindarkan sahabatnya daripada ditimpa musibah. Di samping, penggunaan istilah doa juga kadang-kala turut merujuk kepada maksud Ibadah, Solat, Zikir dan Istighfar. Justeru sebagai seorang Muslim sewajarnya kita meningkatkan pemahaman berkenaan maksud istilah-istilah tersebut bersama tata cara perlaksanaannya agar selari dengan syariat yang dibawa oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam.

                Doa merupakan suatu ibadah yang sangat dianjurkan dalam Islam sebagaimana yang difirmankan oleh Allah azza wa jalla dalam surah Ghofir ayat 60:

Terjemahannya: “Dan Tuhan kamu berfirman: "Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang Yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaku, akan masuk neraka jahannam dalam keadaan hina.

Ia turut menjadi antara kekuatan bagi hamba-hambaNya yang benar-benar ikhlas meminta kepadaNya dengan penuh tawadu’ (merendah diri), sebagaimana yang tercatat dalam surah al-Anbiya’ ayat 83-84 mengenai permohonan Nabi Ayyub Alayhissalam agar disembuhkan daripada penyakit:  

وَأَيُّوبَ إِذْ نَادَى رَبَّهُ أَنِّي مَسَّنِيَ الضُّرُّ وَأَنْتَ أَرْحَمُ الرَّاحِمِينَ فَاسْتَجَبْنَا لَهُ فَكَشَفْنَا مَا بِهِ مِنْ ضُرٍّ وَآتَيْنَاهُ أَهْلَهُ وَمِثْلَهُمْ مَعَهُمْ رَحْمَةً مِنْ عِنْدِنَا وَذِكْرَى لِلْعَابِدِينَ

Terjemahannya: “Dan (sebutkanlah peristiwa) Nabi Ayyub, ketika ia berdoa merayu kepada Tuhannya dengan berkata: "Sesungguhnya Aku ditimpa penyakit, sedang Engkaulah sahaja yang lebih Mengasihani daripada segala (yang lain) yang Mengasihani. Maka Kami perkenankan doa permohonannya, lalu Kami hapuskan penyakit yang menimpanya, serta Kami kurniakan kepadanya: keluarganya, Dengan seganda lagi ramainya, sebagai satu rahmat daripada Kami dan sebagai satu peringatan bagi orang-orang yang taat kepada Kami (supaya bersabar dan mendapat balasan baik)”.

Galakan berdoa hakikatnya adalah untuk menguji seseorang hamba itu sama ada ia benar-benar meletakkan pengharapan sepenuhnya kepada Allah azza wa jalla atau selainNya. Kayu pengukur arasnya adalah tahap keyakinannya bahawa hanya Allah azza wa jalla sahaja yang mampu mengubah takdirNya melalui doa yang dipanjatkan[2]. Di samping itu juga, doa turut memainkan peranan dalam menguji sejauhmana keyakinan dan keimanan seseorang terhadap Qada’ dan Qadar Allah azza wa jalla, secara tidak langsung mendidik manusia agar senantiasa bersangka baik (Husnu al-Zon) dengan Allah azza wa jalla. Berkemungkinan atas sebab inilah, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berpesan: “Tiada sesuatu pun (amalan) yang lebih mulia daripada doa”[3].

                Sungguh pun begitu, masyarakat kadang kala tersalah anggap tentang tata cara atau praktikal doa yang sebenar dek kerana amalan turun-temurun adat melayu yang menebal kesannya dalam sanubari mereka. Persoalannya, bagaimanakah praktikal doa yang sering dilakukan oleh Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam sepanjang hayatnya dan adakah anjuran daripada Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam agar berdoa secara beramai-ramai dengan diketuai oleh Imam. Disebabkan doa ini merupakan isu ibadah yang luas, penulis tidak berminat untuk membicarakan tentang hukum berdoa secara beramai-ramai, akan tetapi penulis lebih cenderung untuk membincangkan tentang sejauhmana doa yang dipanjatkan itu difahami maksudnya dan diketahui keutamaannya.
  
IMPLIKASI DOA TIDAK MENGIKUT SUNNAH

Perlu difahami bahawa tidak pernah dinukilkan sebarang hadith atau kisah yang menceritakan tentang Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam memimpin bacaan doa selepas solat Fardhu, ataupun dalam majlis-majlis tertentu seperti jamuan makan dan sebagainya. Bahkan apa yang berlaku adalah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mengajarkan para sahabatnya doa-doa atau zikir-zikir tertentu pada tempat-tempat tertentu, sebagaimana doa yang diajar Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam kepada Abu Umamah al-Bahili bagi menghilangkan rasa gundah gulananya akibat dihimpit masalah hutang, juga doa yang dibacakan oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam lalu dijadikan ia sandaran kepada hal tersebut untuk dicontohi, sebagaimana doa yang dibacakan oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam ketika melawat jenazah Abu Salamah, lantas doa tersebut sunnah dibacakan berpandukan hadith yang diriwayatkan oleh Ummu Salamah[4] serta doa yang diajarkan oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam kepada Usamah ibn Zayd sebagai tanda terima kasih setelah menerima sesuatu kebaikan atau pemberian[5].

                Begitulah antara bentuk penukilan doa yang merupakan salah satu komponen Ibadah dan dianggap sebagai amalan tawqifi, iaitu penerimaan tersebut mengikut kepada al-Quran atau al-Sunnah tanpa melakukan sebarang penambahan atau pengurangan. Antara sebab mengapa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menganjurkan umatnya berdoa sendirian adalah untuk menjadikan seseorang itu lebih mengetahui dan merasai maksud doa yang dipanjatkannya. Bukankah permohonan yang difahami maksudnya akan menyebabkan seseorang lebih khusyu’ saat memintanya dan sebaliknya, doa yang tidak difahami akan menyebabkan kelalaian pemohonnya.

Realitinya dalam masyarakat kita kini, doa yang dibacakan oleh para Imam atau agamawan sangat terperinci dan kadang-kala meleret-leret dan ada juga yang disengajakan untuk dipercantikkan lenggok bahasa dan rimanya. Penglibatan makmum dalam doa sedemikian berkemungkinan mengundang dosa dek kerana melakukan perkara yang ditegah oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, sebagaimana dalam hadith Ibn Abbas:

فانظُرِ السَّجعَ منَ الدعاءِ فاجتَنِبْه، فإني عَهِدتُ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم وأصحابَه لا يَفعَلونَ إلا ذلك . يعني : لا يَفعَلونَ إلا ذلك الاجتِنابَ

Terjemahannya: “Jauhilah al-Saja’ dalam berdoa, karena sesungguhnya aku mendapati Rasulullah -Sallallahu Alayh wa Sallam- dan para sahabatnya tidak melakukan kecuali itu. Iaitu: Mereka tidak melakukan kecuali menjauhi hal itu”[6].

Begitu juga bertentangan dengan hadith Aisyah bint Abi Bakr –isteri Nabi- yang pernah menceritakan tentang kebiasaan praktikal doa suaminya iaitu Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam:

كان رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ يستحبُّ الجوامعَ من الدعاءِ
 ويدعُ ما سوى ذلك

Terjemahannya: “Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam menyukai doa-doa yang ringkas tetapi padat maknanya, dan meninggalkan selain daripada itu”[7].

Fenomena yang turut tidak asing dalam masyarakat kita ialah berdoa dengan suara yang lantang dan keras bacaannya sambil dipimpin oleh seorang Imam atau agamawan. Allah azza wa jalla mengingatkan hambaNya sebagaimana yang tercatat dalam surah al-A’raf ayat 55:

ادْعُوا رَبَّكُمْ تَضَرُّعًا وَخُفْيَةً إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُعْتَدِينَ

Terjemahannya: “Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas”.

Ayat ini menyentuh dua perkara yang perlu diambil perhatian ketika berdoa. Pertama: Tadarru’ (merendah diri kepada Allah dan merasa hina ketika meminta padanya). Kedua: Khufyah (memohon dengan suara yang lembut dan perlahan). Pernah diceritakan tentang sebuah kisah yang dinukilkan oleh Abu Musa al-Ash’ari, suatu ketika mereka dalam perjalanan bersama Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, sahabat-sahabat Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam saling mengeraskan laungan takbir (Allahu Akbar). Lantas melihat keadaan tersebut, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menegur, katanya: “Wahai manusia sekalian, sayangilah diri kamu semua, sesungguhnya kamu tidak meminta (berdoa) kepada yang pekak dan tiada, bahkan kamu meminta (sebenarnya) kepada Allah yang maha mendengar dan sentiasa dekat di sisimu”[8]. Justeru, perbuatan mengeraskan bacaan doa seumpama seseorang berdoa dalam keadaan dia tidak meyakini bahawa Allah azza wa jalla mendengar permintaannya serta bacaan sedemikian turut boleh menyebabkan hilangnya rasa khuyu’ seseorang.

MUHASABAH  
  
Pergantungan dan kepercayaan yang terlalu tinggi diberikan kepada golongan agamawan, imam dan para asatizah dilihat kadang-kala menyebabkan seseorang itu lalai daripada berdoa kepada Allah azza wa jalla. Bayangkanlah, individu sebegini hanya tahu meng’amin’kan bacaan doa Imam tertentu tanpa mengetahui isi kandungan tersebut. Begitu juga seseorang yang berdoa berpandu kepada teks Arab yang dia sendiri tidak fasih membacanya, lantas tanpa disedarinya dia telah mengutuk dirinya sendiri, sedangkan dia menyangka dia berdoa untuk kebaikan dirinya. Hal ini akibat kesalahan dalam menuturkan bacaan doa tersebut dan ditambah dengan kejahilan tentang maknanya.  

                Justeru, apakah perlu berdoa secara berjemaah dalam keadaan kabur tentang isi kandungannya, jahil tentang maknanya dan samar tujuannya. Apakah kita mahu tergolong dalam golongan yang hanya tahu memohon, tetapi tidak tahu apa yang dipohon? Akhir sekali, renungkan petikan hadith Abdullah ibn Amr ini:

فإذا سألتم الله عز وجل أيها الناس فسلوه وأنتم موقنون بالإجابة فإن الله لا يستجيب لعبد دعاه عن ظهر قلب غافل

Terjemahannya: “Jika kalian meminta sesuatu kepada Allah, maka mintalah kepadaNya dalam keadaan kamu yakin akan dikabulkan. Karena sesungguhnya Allah tidak akan mengabulkan (permintaan) seorang hamba yang berdoa kepadaNya dengan hati yang lalai[9]

Wallahu A’lam.


[1] Majmu’ al-Fatawa oleh Ibn Taymiyyah, 10/15, Lihat: Bada’I’ al-Fawa’id oleh Ibn Qayyim al-Jawziyyah Jil.3.
[2] Dalam sebuah hadith Salman al-Farisi ada disebutkan bahawa Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam bersabda: لا يرد القضاء إلا الدعاء، ولا يزيد العمر إلا البر. Terjemahannya: “Tidak ditolak sesuatu Qada’ melainkan dengan doa dan tiada yang boleh memanjangkan umur melainkan dengan (melakukan) kebaikan”. Hadith Sahih: Diriwayatkan oleh Ibn Mahaj no. 90, Lafaz hadith oleh al-Turmuzi dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albani dalam al-Silsilah al-Ahadith al-Sahihah no.154.
[3] Hadith Hasan: Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Al-Adab al-Mufrad no.712, al-Turmuzi dalam Sunannya, no.3370, al-Hakim dalam Mustadraknya, (666/1) dan menilainya sebagai Sahih serta turut disepakati oleh al-Zahabi. Syeikh al-Albani menilainya sebagai Hasan dalam Jami’ al-Saghir no.5392.
[4] Sahih: Diriwayatkan oleh Imam Muslim, no.920, Abu Dawud no.3118.
[5] Sahih: Diriwayatkan oleh al-Turmuzi no.2035, dan dinilai Sahih oleh al-Albani dalam Sahih al-Jami’ no.6368. Hadithnya: (Terjemahan): “Barangsiapa yang diperlakukan kebaikan kepadanya oleh seseorang, ucapkanlah: “Jazakallah Khayran”.
[6] Sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no.6337.
[7] Sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud, no. 1482, dan dinilai Sahih oleh al-Suyuti dalam al-Jami’ al-Saghir no.7039 dan al-Albani dalam Sahih al-Jami’ no.4949.
[8] Muttafaqun Alayh: Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no.2992, dan Imam Muslim dalam Sahihnya, no.2704.
[9] Hasan: Diriwayatkan oleh Ahmad, dinilai Hasan oleh Syeikh Ahmad Syakir no.10/140.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pernah diceritakan tentang sebuah kisah yang dinukilkan oleh Abu Musa al-Ash’ari, suatu ketika mereka dalam perjalanan bersama Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, sahabat-sahabat Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam saling mengeraskan laungan takbir (Allahu Akbar). Lantas melihat keadaan tersebut, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menegur, katanya: “Wahai manusia sekalian, sayangilah diri kamu semua, sesungguhnya kamu tidak meminta (berdoa) kepada yang pekak dan tiada, bahkan kamu meminta (sebenarnya) kepada Allah yang maha mendengar dan sentiasa dekat di sisimu”[8].

Hadith di atas adalah bukti bhw Allah itu DEKAT dengan hambaNya. Dan hambaNya berada di bumi, bukan di atas arasy, bukan juga di langit