Agama Islam berdiri di
atas paksi kepercayaan dan keyakinan yang kukuh tersemat di hati dan bukan
hanya mengikut logik akal dan bukti semata-mata. Setiap perkara yang dilakukan
oleh umat Islam hakikatnya merupakan terjemahan daripada kefahaman mereka
terhadap intipati al-Quran dan petunjuk Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam.
Muslim yang sebenar sesekali tidak akan menjadikan amalan nenek moyang mereka yang jelas terbukti salah, terus diamalkan dan dilakukan. Hanya mereka yang tebal egonya dengan semangat ‘adat’, ‘budaya’, ‘tradisi’ dan ‘syiar’ sahaja yang akan bertungkus lumus mempertahankan amalan turun temurun tersebut yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
Muslim yang sebenar sesekali tidak akan menjadikan amalan nenek moyang mereka yang jelas terbukti salah, terus diamalkan dan dilakukan. Hanya mereka yang tebal egonya dengan semangat ‘adat’, ‘budaya’, ‘tradisi’ dan ‘syiar’ sahaja yang akan bertungkus lumus mempertahankan amalan turun temurun tersebut yang diwarisi daripada nenek moyang mereka.
KENDURI ARWAH[1]
KEPERCAYAAN HINDU?
Merujuk kepada sebuah
karya Hindu yang berjudul Manawa Dharma Sastra Weda Smerti oleh G. Puja dan
Tjokorda Rai Sudharta, ada disisipkan penjelasan mengenai galakan mengadakan
majlis doa selamat[2]
ke atas orang yang telah meninggal dunia pada hari pertama, ketujuh, keempat
puluh, keseratus dan keseribu[3]. Anehnya, karya tersebut
bukanlah penulisan yang berkisar tentang amalan yang dianjurkan kepada umat
Islam, sebaliknya ia merupakan salah satu rujukan utama dalam agama Hindu[4]. Penulis menukilkan
pandangan ini adalah bertujuan memberi kesedaran kepada kita, betapa besarnya
pengaruh Hindu dalam amalan masyarakat Islam di Malaysia ini.
Bukankah
Allah azza wa jalla sudah mengutuskan RasulNya Muhammad Sallallahu Alayh wa
Sallam yang berperanan mengajar dan membimbing manusia berpandukan al-Quran,
yang merupakan batu asas kepada struktur kehidupan manusia di dunia ini. Oleh
sebab itu, Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dan para Rasul dijadikan
sebagai manusia, semata-mata untuk menjadi tauladan dan ikutan kepada manusia
sekelilingnya. Ironinya, amalan yang dikatakan bersumber daripada Islam ini,
langsung tidak pernah dilakukan oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, mahupun
para sahabat Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam. Justeru, sewajarnya kita memperbetul
persepsi bahawa sesuatu amalan yang dilakukan oleh majoriti umat Islam tidak
semestinya benar di sisi Islam dan amalan yang hanya dilakukan oleh segelintir
umat Islam pula tidak semestinya memberi ‘signal’ ia salah atau meleset.
Ingatlah, amaran Allah azza wa jalla terhadap mereka yang bersikap sedemikian:
وَاِنْ تُطِعْ اَكْثَرَ
مَنْ فِى اْلاَرْضِ يُضِلُّوْكَ عَنْ سَبِيْلِ اللهِ اِنْ يَّتَّبِعُوْنَ اِلاَّ
الظَّنَّ وَاِنْ هُمْ اِلاَّ يَخْرُصُوْنَ
Terjemahannya:
“Dan jika kamu menuruti kebanyakan (majoriti) orang-orang yang di muka
bumi ini, nescaya mereka akan menyesatkan diri kamu dari jalan Allah.
Mereka tidak lain hanya mengikuti persangkaan belaka dan mereka tidak lain
hanyalah berdusta (terhadap Allah)” [al-An’am : 116].
Setiap kita juga perlu
sedar bahawa sebarang permasalahan berhubung akidah (kepercayaan) dan ibadah (amalan)
tidak boleh dilakukan secara semberono (tanpa dalil daripada al-Quran dan
Sunnah RasulNya). Perbuatan meniru atau bertaqlid tersebut, hanya akan
menjadikan amalan yang dilakukan sia-sia sahaja dan berpotensi pula mendapat
dosa.
ثُمَّ جَعَلْنَاكَ عَلَى
شَرِيْعَةٍ مِنَ اْلاَمْرِ فَاتَّبِعْهَا وَلاَ تَتَّبِعْ اَهْوَاءَ الَّذِيْنَ
لاَ يَعْلَمُوْنَ
اَنَّهُمْ لَنْ يُّغْنُوْا
عَنْكَ مِنَ اللهِ شَيْئًا
Terjemahannya:
“Kemudian Kami (Allah) jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan yang
wajib ditaati) dalam urusan (agamamu) itu, maka ikutilah syariat itu dan
janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui (orang
jahil). Sesungguhnya mereka sekali-kali tidak akan dapat
menolak diri kamu sedikitpun daripada (siksaan) Allah” [al-Jathiyah:
18-19].
AMALAN SUNNAH BUAT
ARWAH
Sunnah didefinisikan
sebagai setiap amalan perbuatan, perkataan yang diungkapkan, pengakuan mahupun
sifat-sifat mulia yang disandarkan kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam.
Kesemua elemen tersebut tidak termasuk perkara yang dikhususkan buat Nabi
Sallallahu Alayh wa Sallam, contohnya perbuatan Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam
meletakkan pelepah tamar di atas kubur 2 orang yang sedang disiksa akibat
menjaja fitnah dan mengabaikan membasuh kemaluan selepas kencing. Berbalik
kepada topik perbincangan, setiap kita inginkan keselamatan dan ketenangan buat
ibu bapa tersayang yang telah meninggal dunia. Namun sejauhmanakah amalan yang
kita lakukan bertepatan dengan sunnah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan
bagaimanakah pula Allah azza wa jalla akan menerimanya seandainya ia bercanggah
dengan peraturannya. Justeru sewajarnya kita menjadikan Nabi Sallallahu ALayh
wa Sallam sebagai role model dalam segenap aspek kehidupan.
Menjadi
kelaziman Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam akan mensolatkan jenazah seseorang
Muslim selepas jelas keislamannya dan kelangsaian hutang piutangnya. Salamah
ibn Al-Akwa’ pernah menceritakan bahawa suatu ketika seorang jenazah dihadapkan
kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam untuk disolatkan. Lalu Nabi Sallallahu
Alayh wa Sallam bertanya: “Adakah dia (jenazah) mempunyai hutang?”. Mereka
menjawab: “Tidak”, lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pun mensolatkannya.
Kemudian, didatangkan pula kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam jenazah yang
lain, lalu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bertanya: “Adakah dia (jenazah)
mempunyai hutang?”. Mereka menjawab: “Ya”, lantas Nabi Sallallahu ALayh wa
Sallam bersabda: “Kamu semua solatkanlah dia (tanpa Nabi Sallallahu ALayh wa
Sallam)”. Abu Qatadah berkata: “Wahai Rasulullah, Aku yang akan melunaskan
hutangnya”, maka Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pun perkenan untuk turut sama
mensolatkannya”[5].
Daripada kisah ini, difahami bahawa hutang seseorang tidak dikira selesai
selepas kematiannya, malah ia merupakan faktor utama roh seseorang tidak
diangkat oleh Allah azza wa jalla[6].
Di samping itu, ahli keluarga (waris) turut
digalakkan bersedekah dengan wang tinggalan jenazah (ibubapa) kerana ia mampu memperoleh
manfaat dan pahala daripada sedekah tersebut yang diniatkan ke atas nama
dirinya. Ia disebabkan anak merupakan hasil usaha kedua orang tuanya[7] sebagaimana sabdaan Nabi
Sallallahu Alayh wa Sallam: “Sesungguhnya, sebaik-baik yang dimakan oleh
seseorang ialah daripada hasil usahanya sendiri. (Dan) anaknya, termasuk daripada
hasil usahanya”[8].
Dalam hadith Aisyah bint Abi Bakr ada dinukilkan sebuah kisah, seorang lelaki
bertemu dengan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan berkata: “Wahai Rasulullah,
sesungguhnya ibuku meninggal dunia dan belum sempat berwasiat, (dan) aku
rasa sekiranya dia sempat mengatakannya (berwasiat), nescaya dia akan
bersedekah, adakah dia memperoleh pahala jika aku bersedekah atas namanya?”
Baginda pun menjawab: “Ya”[9].
Ahli
keluarga jenazah turut digalakkan untuk menunaikan ibadah khusus yang ditinggalkan
jenazah semasa hayatnya dengan syarat ibadah tersebut mempunyai dalil
menunjukkan ia masih bermanfaat buatnya, seperti Haji, Sedekah, Doa, Puasa
dan sebagainya. Dalam hadith Abdullah ibn Abbas ada dinukilkan sebuah kisah, seorang
lelaki mengadu kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam tentang ibunya yang
telah meninggal dunia sedangkan puasa gantinya berbaki sebulan serta masih
belum diganti. Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda: “Sekiranya
ibu kamu mempunyai hutang, adakah kamu akan melangsaikannya?”. Jawab lelaki
tersebut: “Ya”. Lalu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menambah: “Begitulah,
(malah) hutang Allah azza wa jalla lebih berhak dilangsaikan”[10]. Abdullah ibn Abbas juga
pernah menceritakan tentang perihal seorang wanita dari Juhaynah yang bertanya
kepada Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam berkenaan keinginannya untuk menunaikan Haji
untuk ibunya yang telah meninggal dunia. Lantas Nabi Sallallahu ALayh wa
Sallam menjawab: “Ya, tunaikanlah Haji untuk ibumu”[11].
MUHASABAH
Sebagai konklusinya,
tukarkanlah kenduri arwah kepada ibadah yang lebih bermanfaat buat arwah
tersebut. Cuba bayangkan, duit yang diperuntukkan untuk melaksanakan kenduri
Arwah digunakan untuk melunaskan hutang-piutang arwah, menunaikan badal Haji
buat arwah atau digunakan untuk bersedekah atas nama arwah, menggunakan sepenuh
kudrat yang ada selaku anak, menggantikan puasa wajib yang ditinggalkan arwah,
sentiasa memanjatkan doa dan keampunan buat arwah, lebih-lebih lagi sekiranya
arwah adalah merupakan ibu bapanya sendiri. Hakikatnya, kenduri Arwah bukanlah
sunnah yang dianjurkan Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam. Tetapi yang
dimaksudkan dalam hadith berkenaan kematian Ja’afar ibn Abi Talib dalam
peperangan Mu’tah ialah jiran tetangga dan kaum kerabat disunatkan mengambil
inisiatif meringankan beban dan menggembirakan sedikit hati yang duka buat
keluarga si mati yang ditimpa musibah dengan menyediakan hidangan makanan.
Sekiranya kita inginkan doa sekalipun, bukankah doa dibalik tabir atau tanpa
pengetahuan itu lebih baik dan mustajab daripada doa yang diketahui.
Akhir sekali, renungkanlah
hadith ini:
إذا
مَاتَ الْإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَنْهُ عَمَلُهُ إِلَّا مِنْ ثَلَاثَةٍ إِلَّا مِنْ صَدَقَةٍ
جَارِيَةٍ أَوْ عِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ
أَوْ وَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Terjemahannya:
“Apabila seseorang meninggal dunia, maka terputuslah amalnya kecuali daripada tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang
bermanfaat, dan anak soleh yang sentiasa mendoakannya”[12].
Wallahu A’lam.
[1] Upacara Kenduri Arwah pada
kebiasaannya mempunyai dua elemen penting, iaitu: Pertama: Pembacaan
beberapa ayat Al Qur’an, zikir-zikir dan disusuli dengan doa-doa tertentu yang
ditujukan dan dihadiahkan kepada arwah. Kedua: Hidangan makanan.
[2] Mengikut cara agama Hindu
dengan dihiasi zikir-zikir dan doa-doa tertentu.
[3] Rujuk halaman 92, 192 dan
193.
[4] Lihat pautan berikut: http://stitidharma.org/manawa-dharmasastra/
bertarikh: 24 Februari 2013.
[5] Sahih: Diriwayatkan oleh
al-Bukhari no.2295.
[6] Lihat Hadith, Nabi
Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda: “Sesungguhnya saudaramu tertahan (rohnya)
karena hutangnya, maka lunasilah hutangnya”. Kemudian Sa’ad berkata, “Wahai
Rasulullah. Aku telah melunasi semuanya, kecuali dua dinar yang diakui oleh
seorang wanita, sementara dia tidak punya bukti”. Maka Nabi Nabi Sallallahu
Alayh wa Sallam berkata, “Berilah dia, karena dia berhak” [Diriwayatkan oleh
Ibn Majah, 2433, Ahmad 5/7 dan Al-Baihaqi 10/142 dan dinilai Sahih oleh Syaikh
Al-Albani dalam Sahih Ibn Majah]
[7] Sebagaimana dalam firman
Allah Azza wa Jalla: “Dan bahwasanya, seorang manusia tiada memperoleh selain
apa yang telah diusahakannya” [An-Najm : 39].
[8]
Sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud no.3528 dan dinilai Sahih oleh Syaikh
Al-Albani dalam Sahih Al-Jami no.2208.
[9]
Sahih: Diriwayatkan oleh Muslim no.1004.
[10]
Sahih: Diriwayatkan oleh Muslim no.1148.
[11]
Sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.1852.
[12]
Sahih: Diriwayatkan oleh Muslim, no: 3084
Tiada ulasan:
Catat Ulasan