Selasa, 4 Disember 2012

BERAMALLAH DENGAN ILMU BUKAN IKUT-IKUTAN


Fenomena 30 minit Ustaz Don dan Kemah Keming Ustaz Azhar sudah melanda umat Islam di Malaysia. Ia memperlihatkan suatu petanda positif masyarakat sudah berkehendak  kepada ilmu agama dan mula berjinak-jinak mendalaminya. Namun, sikap menyandarkan sesuatu hukum kepada tuan-tuan guru ‘tertentu’ tanpa mengemukakan sebarang dalil sewajarnya dikikis. Selayaknya kita yang berkemampuan dari segi fizikal dan mental ini ‘keluar’ dalam kerangka mencari ilmu agama, bukan sekadar mengikuti pengajian melalui pandangan satu pihak sahaja.
Negatifnya amalan ini kerana ia boleh mendorong seseorang ke arah sifat ta’ssub dan tidak berlapang dada apabila berdepan dengan pandangan yang bertentangan dengan apa yang dipelajari sebelumnya. Pertembungan pendapat ini bagi orang yang berilmu merupakan perkara biasa, tetapi tidak bagi masyarakat awam. Seorang Sohabiyy al-Jalil iaitu Muaz ibn Jabal –radhiyallahu ‘anhu- pernah mengatakan:

العِلْمُ إِمَامُ العَمَلِ وَالعَمَلُ تَابِعُهُ

Terjemahannya: “Ilmu adalah pemimpin bagi amal dan amalan itu berada di belakang setelah adanya ilmu[1].

Slogan ‘Keluasan Pada Fekah, dan Kesempitan Pada Akidah’seharusnya diberi kefahaman terlebih dahulu sebelum melakukan sebarang kritikan terhadap ulama. Masyarakat juga perlu mengikis persepsi ‘agama hanya untuk orang agama (para ulama, ustaz dan ustazah) sahaja. Penilaian seperti ini hanya akan menambah ‘kejahilan’ seseorang tentang agama bahkan mampu mengundang murka Allah azza wa jalla. Renungkan kata-kata Umar ibn Abdil Aziz:

من عبد الله بغير علم كان ما يفسد أكثر مما يصلح

Terjemahannya: “Barangsiapa yang beribadah kepada Allah tanpa ilmu, maka dia akan membuat banyak kerusakan daripada mendatangkan kebaikan[2].

Masyarakat sewajarnya mengambil ‘tempat’ dalam setiap permasalahan agama dan bukannya ‘lari’ meninggalkan orang-orang agama sahaja semakin dalam kefahaman agamanya sedangkan mereka (masyarakat awam) semakin jahil mengenai agamanya.

Oleh sebab itu, saranan beramal dengan ilmu sangat dititik beratkan oleh Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam melalui sabdanya:

إِنَّ الأَنْبِيَاءَ لَمْ يُوَرِّثُوا دِينَارًا وَلاَ دِرْهَمًا إِنَّمَا وَرَّثُوا الْعِلْمَ فَمَنْ أَخَذَ بِهِ أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Terjemahannya: “Sesungguhnya para Nabi tidak mewariskan dinar dan dirham, mereka hanyalah mewariskan ilmu. Barangsiapa yang mengambilnya (ILMU), maka dia telah memperoleh keberuntungan yang banyak.”[3].

Al-Imam al-Bukhari sendiri sebagai menunjukkan betapa pentingnya ilmu sebelum beramal, beliau mencatatkan tajuk ‘al-Ilmu Qobla al-Qowli wa al-Amal’ [Berilmu dahulu sebelum berkata dan beramal] dalam kitab sahihnya. Tajuk ini dasarnya merupakan akar kefahaman daripada firman Allah azza wa jalla dalam surah Muhammad ayat 19:

“Oleh itu, maka Tetapkanlah pengetahuanmu dan keyakinanmu (Wahai Muhammad) Bahawa Sesungguhnya tiada Tuhan Yang berhak disembah melainkan Allah, dan mintalah ampun kepadanya bagi salah silap Yang Engkau lakukan, dan bagi dosa-dosa orang-orang Yang beriman - lelaki dan perempuan; dan (ingatlah), Allah mengetahui akan keadaan gerak-geri kamu (di dunia) dan keadaan penetapan kamu (di Akhirat)”.

Berpandukan ayat di atas, Allah azza wa jalla menekankan kewajipan mengucapkan syahadat dengan didahului oleh ilmu, bukan semata-mata syahadat sebagai menandakan seseorang itu Muslim. Sufyan ibn Uyainah pernah meninggalkan suatu persoalan yang sangat menarik buat tatapan kita, katanya: Tidakkah engkau mendengar bahwa Allah memulakan ayat tersebut (di atas) dengan mengatakan ‘Tetapkanlah pengetahuanmu’, kemudian Allah memerintahkan untuk beramal?”[4].

Tradisi beramal dengan membuta tuli atau Taqlid buta tanpa ilmu yang berpandukan keterangan nas al-Quran mahupun Hadith Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam sudah tidak releven lagi pada era mayapada ini. Hanya orang yang jahil sahaja akan menurut segala perkataan para ustaz yang ‘pura-pura tahu’ sedangkan hanya ‘membaca buku’ ketika kuliah lalu menghurai satu dua perkataan mengikut hawa nafsunya tanpa berpandu tafsiran yang sebenar dan tepat. Perlu dimurnikan kembali bahawa hebatnya manusia kerana Allah mengurniakan AQAL kepada kita dan hinanya manusia kerana kita tidak menggunakan AQAL dengan sebaiknya. Bukankah Allah ada membuat persamaan antara orang yang jahil dengan binatang, bahkan hakikatnya lebih jahil daripada binatang:

إِنَّ شَرَّ الدَّوَابِّ عِنْدَ اللَّهِ الصُّمُّ الْبُكْمُ الَّذِينَ لَا يَعْقِلُونَ

Terjemahannya: “Sesungguhnya Sejahat-jahat makhluk Yang melata, pada sisi (Hukum dan ketetapan) Allah, ialah orang-orang Yang pekak lagi bisu, Yang tidak mahu memahami sesuatupun (dengan akal fikirannya)”. (Surah al-Anfal ayat 22)

Saya tertarik dengan kata-kata Sufyan ibn Uyainah –rahimahullah- yang dinukilkan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah dalam Majmu’ Fatawanya, katanya:

مَنْ فَسَدَ مِنْ عُلَمَائِنَا كَانَ فِيهِ شَبَهٌ مِنْ الْيَهُودِ وَمَنْ فَسَدَ مِنْ عِبَادِنَا كَانَ فِيهِ شَبَهٌ مِنْ النَّصَارَى

Terjemahannya: “Orang berilmu yang rosak (karena tidak mengamalkan ilmunya) menyerupai orang Yahudi, manakala ahli ibadah yang rosak (karena beribadah tanpa dasar ilmu) menyerupai orang Nasrani”[5].

Menurut Ibn Taimiyyah, terdapat 3 kategori manusia yang disebutkan oleh Allah azza wa jalla dalam surah al-Fatihah yang menjadi bukti bahayanya seseorang yang mengenepikan budaya ilmu dan beramal dengannya. Golongan pertama ialah golongan yang diberi Allah nikmat iaitu mereka yang mengikuti petunjuk Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam dan para sahabat dalam beragama. Golongan kedua ialah mereka yang dimurkai Allah azza wa jalla iaitu orang-orang Yahudi. Manakala golongan ketiga ialah mereka yang sesat dari jalan yang benar iaitu orang-orang Nasrani (Kristian). Kesimpulan daripada ketiga-tiga kategori tersebut ialah hanya golongan pertama sahaja yang mendapat naungan Allah azza wa jalla, sedangkan bakinya dikategorikan sebagai Kafir. Golongan Yahudi kafir disebabkan mereka tidak mengamalkan ilmu yang mereka sendiri ketahui melalui Taurat, namun mereka mengabaikan kebenaran tersebut dengan amal (membunuh para nabi) dan ucapan (mengherdik dakwah para nabi) mereka. Manakala, Nasrani pula kafir disebabkan amal perbuatan mereka yang tidak didasari oleh ilmu yang mereka ketahui melalui Injil[6].

Umar ibn Umm Salamah pernah menceritakan bahawa sewaktu beliau mencapai usia dewasa, beliau pernah pergi ke rumah Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam. Sewaktu hendak menjamu makanan, beliau ingin mengambil makanan yang diingininya dengan segera. Lantas Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam menegurnya: “Wahai anak muda, bacalah Bismillah sebelum makan, lalu makanlah dengan tangan kanan dan ambillah makanan yang paling dekat (dahulu)”. Menurut Umar ibn Salamah, kata-kata Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam tersebut sangat berbekas di hatinya. Semenjak itu, beliau sentiasa melaksanakan suruhan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam tersebut[7].

Justeru, saya ingin mengajak para pembaca sekalian untuk sama-sama mengejar ilmu, menyampaikan ilmu, memberi ruang orang lain menimba ilmu, memberi motivasi kepada isteri, anak-anak, ahli keluarga supaya menjadi orang berilmu, suapkan mereka dengan hiburan ilmu, bina rumahtangga ilmu dan selanjutnya berteraskan ilmu. Di samping pastikan setiap amalan terutamanya ibadah kita kepada Allah ditunjangi ilmu yang sahih dan kefahaman tentang DALILnya dan kikislah penggunaan istilah ‘Ustaz tu cakap’. Renungkan perkataan Abu al-Darda’ berikut:

"Sesungguhnya kebaikan sebesar zarah daripada orang yang bertaqwa dan yakin (berilmu) lebih mulia , lebih utama dan lebih berat timbangannya jika dibandingkan dengan amalan sebesar gunung daripada orang yang tertipu (orang bodoh) "[8].

Wallahu A’lam.




[1] Al Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Munkar, hal. 15
[2] Ibid.
[3] Sahih: Riwayat Abu Dawud no. 3641 dan Turmuzi no. 2682. Syaikh Al-Albani dalam Sahih wa Dho’if Sunan Abi Daud dan Sahih wa Dho’if Sunan Turmuzi mengatakan bahwa hadith ini sahih
[4] Fathul Bari, Ibn Hajar al-Asqalani, 1/108
[5] Majmu’ al-Fatawa oleh Ibn TaimiyyahL 16/567, Iqtidha’ Shirathal Mustaqim, Ahmad bin Abdul Halim al-Harrani, dengan Tahqiq Dr. Nashir al-`Aql, Kementrian Wakaf dan Urusan Islam KSA, 1419 H, jilid 1, hal. 79
[6] Ibid. Berkata Ibn Katsir rahimahullah,”Dan perbezaan antara golongan pertama dan dua golongan berikutnya adalah karena jalan orang yang beriman menggabungkan antara ilmu dan amal. Sedangkan orang Yahudi kehilangan amal, manakala orang Nasrani kehilangan ilmu. Oleh sebab itu, orang Yahudi memperoleh kemurkaan dan orang Nasrani memperoleh kesesatan. Barangsiapa mengetahui, kemudian tidak mengamalkannya, layak mendapat kemurkaan. Berbeza dengan orang yang tidak mengetahui. Orang-orang Nasrani, ketika mempunyai maksud tertentu, tetapi mereka tidak memperoleh jalannya, karena mereka tidak mengikuti kebenaran. Maka, jatuhlah mereka ke dalam kesesatan” - lihat Tafsir al-Qur’an al-Azim 1/104.
[7] Sahih: Muttafaqun Alayh. Riwayat al-Bukhari 5367 dan Muslim 108.
[8] Hilyatul Awliya’, 1/211

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

perkongsian menarik. Terima kasih