Ahad, 2 Disember 2012

IBU BAPA PENCONGAK KEBAHAGIAAN


Setiap manusia menginginkan kebahagian dalam kehidupan berkeluarga. Oleh sebab itu, sebahagian manusia sanggup melakukan apa sahaja demi merealisasikan impiannya. Ia bergantung kepada sejauhmana pemahaman dan tafsiran individu mengenai erti kebahagiaan.
Allah azza wa jalla

“Dan (tiap-tiap) makhluk Yang bernyawa tidak akan mati melainkan Dengan izin Allah, Iaitu ketetapan (ajal) Yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah). dan (dengan Yang demikian) sesiapa Yang menghendaki balasan dunia, Kami berikan bahagiannya dari balasan dunia itu, dan sesiapa Yang menghendaki balasan akhirat, Kami berikan behagiannya dari balasan akhirat itu; dan Kami pula akan beri balasan pahala kepada orang-orang Yang bersyukur”. (Ali Imran : 145).

HARTA DAN KELUARGA BUKAN PENENTU KEBAHAGIAAN

Ramai orang meletak persepsi tentang kepentingan mengejar kekayaan dunia dan menyimpan harta untuk bekalan pada hari tua kelak. Bahkan ada juga yang beranggapan bahawa tanpa harta, menyebabkan keluarga dan anak pinak akan porak peranda, hidup kebuluran dan seterusnya menjadi gelandangan. Oleh sebab itu, mereka yang kaya dengan harta akan merasa senang dengan banyaknya harta, sedangkan yang miskin akan merasa sempit dengan sikitnya harta. Malah, mereka yang banyaknya zuriat, berbangga dengan ‘hebat’nya baka keturunan, manakala mereka yang tiada mempunyai zuriat, merasa rendah diri dengan ‘lemah’nya baka keturunan. Ini semua adalah persepsi sebilangan manusia yang jahil tentang erti kebahagiaan hakiki terhadap kehidupan yang Allah azza wa jalla ciptakan ini.  

Pokok pangkalnya,ia bergantung kepada persepsi dan congakan individu itu sendiri. Kadang kala ia terleka dan terjerat dalam jalan hidup yang diwarnainya, akibat kelalaian daripada mentelaah pesanan-pesanan Allah Azza wa Jalla dan wasiat peninggalan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam. Sedangkan, kedua-duanya itu merupakan sumber panduan yang teragung sebagai pedoman hidup sepanjang berjalan di muka bumi Allah ini. Bukankah Allah azza wa jalla ada berpesan dalam surah al-Kahf ayat 46 :

الْمَالُ وَالْبَنُونَ زِينَةُ الْحَيَاةِ الدُّنْيَا ۖ وَالْبَاقِيَاتُ الصَّالِحَاتُ خَيْرٌ عِنْدَ رَبِّكَ ثَوَابًا وَخَيْرٌ أَمَلًا

Terjemahannya: “Harta dan anak-anak adalah perhiasan kehidupan dunia, tetapi amalan-amalan yang kekal dan shaleh adalah lebih baik pahalanya di sisi Rabb-mu serta lebih baik untuk menjadi harapan"

Dan bukankah Allah azza wa jalla ada memberi peringatan bahawa nikmat harta dan anak pinak juga boleh menjadi salah satu sebab seseorang individu terjerumus ke lembah kebinasaan.

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ

Terjemahannya: “Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya di antara isteri-isterimu dan anak-anakmu ada yang menjadi musuh bagimu, maka berhati-hatilah kamu terhadap mereka… [at-Taghâbun/64:14]

Menurut Syeikh Abd al-Rahman as-Sa’di, Allah azza wa jalla memberi amaran agar berhati-hati dengan isteri dan anak-anak disebabkan jiwa manusia itu secara fitrahnya akan mencintai kedua-duanya. Oleh sebab itulah, Allah Azza wa Jalla memperingatkan hamba-hambaNya supaya jangan sampai kecintaan tersebut menjadikannya menuruti segala kemahuan dan keinginan mereka sehinggakan dalam perkara-perkara yang ditegah dalam Islam[1]. Malah, menurut tafsiran Ibn Kathir, setiap individu sewajarnya berwaspada dengan limpahan harta dan anak-anaknya daripada menjadi faktor yang mendorongnya kepada perbuatan maksiat kepada Allah azza wa jalla dan lalai dalam melakukan amal soleh[2]. Justeru itu, Allah Azza wa Jalla memotivasikan hamba-hambaNya agar selalu melaksanakan segala perintahNya dan mengutamakan keredhaanNya[3] daripada asyik mengejar nikmat harta dan anak pinak yang hakikatnya sekadar menjadi perhiasan dunia.

IBUBAPA PENCONGAK KEBAHAGIAAN

Peribahasa Melayu ada menyebut: “Bapa Borek Anak Rintik”. Frasa yang sesuai digunakan bagi melambangkan amalan atau akhlak seseorang yang mirip kepada ibubapanya. Jika ibubapanya seorang yang tekun beribadah, zuhud, pemurah dan berilmu pengetahuan, secara tidak langsung anaknya juga akan mendapat tempias daripada kebaikannya. Sebaliknya pula, jika ibubapanya seorang yang tidak menunaikan solat, kikir, asyik dengan hiburan, mengutamakan ilmu keduniaan seperti muzik, tarian dan sebagainya, anaknya kebarangkalian besar akan menjadi sepertimana yang ‘disumbatkan’ kepadanya seharian.

Seorang ayah seharusnya menjadi model tauladan yang baik kepada isteri dan anak-anak agar mereka dapat menjadikannya sebagai sumber inspirasi. Bagi menjadi model terbaik, ia hendaklah memiliki ilmu agama yang mantap dan keperibadian yang unggul berpandukan al-Quran dan Sunnah. Jadikanlah Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam dan para as-Salaf as-Soleh sebagai ikon contoh. Cuba renungkan bagaimana dialog seorang anak yang melihat perbuatan ayahnya lalu dijadikan ikutan.

Abd al-Rahman ibn Abi Bakrah berkata kepada ayahnya: “Wahai ayahku, sesungguhnya aku mendengarmu membaca (berdoa): “Ya Allah sucikanlah badanku Ya Allah sucikanlah pendengaranku, Ya Allah sucikanlah penglihatanku, tiada tuhan kecuali engkau”. Dan kau mengulanginya sebanyak tiga kali pada waktu pagi dan tiga kali pada waktu petang”. Lalu ayahnya menjawab: “Sesungguhnya aku telah mendengar Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam membacanya seperti itu dan aku lebih suka mengikuti sunnahnya”. Anaknya bertanya lagi, “Lalu kau mengucapkan (berdoa) pula: “Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada kekufuran dan kefakiran, Ya Allah sesungguhnya aku berlindung kepadaMu daripada azab Kubur, tiada tuhan melainkan kau. Dan kau mengulanginya sebanyak tiga kali pada waktu pagi dan tiga kali pada waktu petang”. Jawab ayahnya: “Sesungguhnya aku lebih suka mengikuti sunnahnya dan Rasulullah Sallallhu Alayhi wa Sallam juga pernah berspesan: Doakanlah orang-orang yang ditimpa musibah dengan (doa): “Ya Allah rahmatMu lah yang aku harapkan, jangan kau biarkan aku untuk mengurusi diriku walau sehujung matapun dan perbaiki bagiku urusanku seluruhnya, tidak ada tuhan selain kau[4].

Lihatlah, betapa besarnya pengaruh seorang ayah, tanpa disedari sebenarnya anak-anak sentiasa memerhati gerak geri dan tingkah laku ayah mereka untuk dijadikan contoh. Beruntunglah Abd al-Rahman ibn Abi Bakrah kerana memiliki ayah yang berilmu dan begitu komitmen dalam mengikuti sunnah Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam.

Begitu juga kisah pujian Allah Azza wa Jalla terhadap Nabi Ya'qub Alayhissalam yang sangat mengutamakan pembinaan iman bagi anak-anaknya. Sehingga ke saat hampir ajal menjelma, Nabi Ya’qub Alayhissalam masih sempat menasihati anak-anaknya dengan iman. Kisah ini dirakamkan Allah azza wa jalla dalam surah al-Baqarah ayat 133:

أَمْ كُنْتُمْ شُهَدَاءَ إِذْ حَضَرَ يَعْقُوبَ الْمَوْتُ إِذْ قَالَ لِبَنِيهِ مَا تَعْبُدُونَ مِنْ بَعْدِي قَالُوا نَعْبُدُ إِلَٰهَكَ وَإِلَٰهَ آبَائِكَ إِبْرَاهِيمَ وَإِسْمَاعِيلَ وَإِسْحَاقَ إِلَٰهًا وَاحِدًا وَنَحْنُ لَهُ مُسْلِمُونَ

Terjemahannya: “Adakah kamu hadir ketika Ya'qub kedatangan (tanda-tanda) kematian, ketika dia berkata kepada anak-anaknya, "Apa yang kamu sembah selepas kematianku?" Mereka menjawab, "Kami akan menyembah Rabbmu dan Rabb nenek moyangmu, Ibrahim, Ismail, dan Ishaq, (iaitu) Rabb yang Maha Esa dan kami hanya tunduk kepadaNya”.

Renungkanlah teladan agung daripada Nabi Allah yang mulia ini, bukan harta atau pangkat yang berada di benak fikirannya, malah nasihatnya tentang kepentingan berpegang teguh dengan agama Allah Azza wa Jalla[5], yang landasannya adalah ibadah kepada Allah Azza wa Jalla semata-mata (tauhid) dan menjauhi perbuatan syirik (menyekutukanNya dengan makhluk) yang menjadi penegasannya di akhir hayatnya. Ia juga sebagaimana nasihat Luqman al-Hakim kepada anak-anaknya[6].

Justeru, ibubapa sewajarnya memberi suntikan dan tolakan yang positif kepada anak-anak agar mereka bermotivasi untuk melakukan amal soleh. Motivasi tersebut seharusnya bermula sejak daripada kecil sekalipun anak-anak masih belum ditaklifkan (dibebani) dengan kewajiban syariat. Ia lebih sebagai suatu bentuk latihan bagi membiasakan mereka melakukan kebaikan tersebut[7]. Dalam sebuah hadits yang sahih, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam pernah melarang Hasan ibn 'Ali memakan kurma sedekah, sedangkan pada ketika itu Hasan masih kecil. Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda: "Hekh, hekh" agar Hasan membuang kurma tersebut, kemudian Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam berkata: "Apakah kamu tidak mengetahui bahawa kita (Nabi Sallallahu ‘alaihi wa sallam dan keturunannya) tidak boleh memakan sedekah?"[8].

                Kisah di atas jelas menunjukkan kepada kita bagaimana teguran Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam kepada cucunya sekalipun Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam sendiri menyedari bahawa Hasan ketika itu masih lagi kanak-kanak yang mentah. Ingatlah, sesiapa yang tidak menitik beratkan tentang pendidikan yang bermanfaat dan bimbingan yang berterusan untuk anaknya, sedarlah bahawa anda sebenarnya sedang menyediakan kebinasaan yang bakal mencampakkan anda ke neraka Allah azza wa jalla –wal iyazu billah-. Mana mungkin seorang anak yang tidak pernah diajar atau didik menghormati orang tua oleh kedua ibubapanya, akan berlaku hormat kepada kedua ibubapanya apabila sudah tua. Bukankah Allah azza wa jalla ada berfirman dalam surah an-Najm ayat 39:

وَأَنْ لَيْسَ لِلْإِنْسَانِ إِلَّا مَا سَعَى

Terjemahannya: “Dan bahwasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya".

Bahkan Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam pernah berpesan:

"(Benarlah) sebaik-baik (rezeki) yang dimakan oleh seseorang adalah daripada usahanya sendiri, dan (benarlah) anaknya juga termasuk (sebahagian) daripada usahanya".

KEPENTINGAN MENDIDIK ANAK

Melahirkan seorang anak yang soleh menjadi kewajipan bagi kita sebagai salah satu bekalan amalan yang mampu membantu menukar nasib kita di akhirat kelak selain daripada sedekah dan ilmu bermanfaat yang pernah disampaikan. Teringat penulis kepada sepotong hadith Nabi Sallallahu Alayhi wa Sallam yang menunjukkan betapa besarnya manfaat dalam mendidik anak:

إِنَّ الرَّجُلَ لَتُرْفَعُ دَرَجَتُهُ فِيْ الْجَنَّةِ فَيَقُوْلُ: أَنَّى هَذَا ؟ فَيُقَالُ: بِاسْتِغْفَارِ وَلَدِكَ لَكَ

Terjemahannya: “Sesungguhnya seorang manusia akan ditinggikan darjatnya di syurga (kelak), maka dia bertanya: “Bagaimana aku mampu mencapainya?” Maka dikatakan kepadanya: “(Ini semua) disebabkan istigfar (permohonan ampun kepada Allah Azza wa Jalla yang selalu diucapkan oleh) anakmu untukmu[9].

Jelaslah bahawa susah payah kita membentuk dan mendidik anak soleh bakal dibalas kesusahan itu dengan ganjaran yang bakal kita raih[10]. Ia seumpama suatu bentuk pelaburan kita selaku ibubapa untuk kebahagiaan hakiki di akhirat kelak. Wallahu A’lam.



[1] Tafsir al-Karim al-Rahman oleh as-Sa’di: 637.
[2] Tafsir al-Qur’an al-Azim oleh Ibn Kathir: 4:482.
[3] Ibid
[4] Sahih: Riwayat Abu Dawud, An-Nasa’i. Shaykh al-Albani menilai sanad hadithnya sebagai sahih.
[5] Lihat keterangan Ibnu Hajar dalam Fathul Bâri 6/414
[6] Lihat Surah Luqman ayat 13.
[7] Lihat keterangan Ibnu Hajar dalam Fathul Bâri 3/355
[8] Sahih: Muttafaqun Alayh: Riwayat al-Bukhâri, no. 1420 dan Muslim, no. 1069.
[9] Sahih: Riwayat Ibn Majah no. 3660, Ahmad 2/509 dan lain-lain, dinilai sahih oleh al-Bûshiri dan dihasankan oleh Syaikh al-Albâni dalam Silsilatul Ahâditsish Shahîhah no. 1598.
[10] Lihat kitab Faidhul Qadir 2/339

Tiada ulasan: