Isnin, 17 Disember 2012

BERKHIDMATLAH DENGAN PENUH AMANAH


 
Sudah sekian lama masa cuti berlalu tanpa sebarang tugas formal yang dilakukan, hanya berpaut pada jendela buku yang berselerakan di sebalik mundar-mandir perjalanan menuju ke destinasi silaturrahim. Kini menjelang tiba saat mempersiapkan diri dari aspek fizikal, emosi, rohani dan ilmu bagi menjalani sesi baharu persekolahan sebagai seorang guru. Pelbagai persoalan yang bermain dalam benak fikiran ini mengenai tanggungjawab dan amanah yang bakal dipikul, adakah dapat dipenuhi atau dibiarkan ia dikhianati menjadi salah satu kriteria orang – orang munafik.

KONSEP AMANAH YANG DIABAIKAN

            Amanah yang dipertanggungjawabkan mempunyai dua definisi yang berbeza, hasil yang bakal digarap daripada amanah ini kebiasaannya ditentukan sama ada ia merupakan kemuliaan sepertimana yang dijanjikan Allah azza wa jalla dalam surah al-Mukminun ayat 8[1] atau kehinaan di akhirat kelak. Pernah diceritakan tentang Abu Zar al-Ghifari yang suatu hari datang menemui Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam untuk memohon diberi jawatan (tanggungjawab). Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menegurnya (Abu Zar) dengan menepuk-nepuk dadanya seraya berkata: “Wahai Abu Zar, engkau ini (sebenarnya) lemah, sedangkan jawatan itu adalah amanah dan di hari Akhirat kelak, amanah itu merupakan suatu kehinaan dan penyesalan (buat pemegang amanah tersebut), kecuali bagi orang yang mengambil haknya (dengan sebenar-benarnya) dan menunaikan hak amanah tersebut[2]. Kadang-kala kita tersepit antara keperluan menunaikan amanah Allah azza wa jalla dalam mentaati perintah, menyuruh yang ma’ruf (kebaikan) serta meninggalkan perkara-perkara yang melalaikan dengan amanah tugasan duniawi yang sebahagian kecilnya mendorong kita melakukan maksiat kepada Allah azza wa jalla. Deretan program yang bercanggah dengan garis panduan Islam tidak lagi diambil peduli dan manusia ketika itu seakan-akan hilang kewarasan akal terkinja-kinja keseronokan tanpa segan silu menonjolkan diri seolah-olah manusia paling berbakat di dunia ini.

Bukankah setiap antara kita ini merupakan pemimpin yang bakal dipertanggungjawabkan dengan apa yang dipimpin[3]. Ironinya, sebahagian kita menganggap lekeh tentang perkara tersebut sehinggakan boleh mempermain-mainkan pula soal amanah ini, yang mana kelak bukan lagi akan disoal oleh Ketua Jabatan, nazir atau seangkatan dengannya, bahkan pembudi bicaranya adalah Allah azza wa jalla Tuhan Sekalian Alam. Sebagai seorang pemimpin, sewajarnya mempunyai ciri-ciri kepimpinan yang kuat dan amanah. Kedua-dua elemen ini sebaik-baiknya diseimbangkan bagi menghasilkan produktiviti yang jitu. Allah azza wa jalla pernah menceritakan mengenai dialog antara salah seorang puteri penduduk Madyan dengan bapanya tatkala melihat Musa Alayhissalam membantu mengambilkan air untuk mereka.

قَالَتْ إِحْدَاهُمَا يَا أَبَتِ اسْتَأْجِرْهُ ۖ إِنَّ خَيْرَ مَنِ اسْتَأْجَرْتَ الْقَوِيُّ الْأَمِينُ

Terjemahannya: “Salah seorang antara mereka berkata: "Wahai ayah, ambilah dia (Musa) menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang Kuat, lagi amanah".

Sebagaimana kisah Ifrit yang menyatakan kesanggupan kepada Sulaiman Alayhissalam bagi membawa istana Balqis sepantas berdirinya Sulaiman dari kursinya sebagai penyaksian bahawa dia adalah kuat dan boleh dipercayai (amanah)[4].  

Tugas yang diamanahkan sekiranya dilaksanakan dengan tekun bakal mendapat balasan baik atau ganjaran pahala yang berlipat kali ganda daripada Allah azza wa jalla. Namun, ia seharusnya dibezakan antara menjalankan amanah yang bertepatan dengan Islam dan sebaliknya. Berpandukan firman Allah azza wa jalla dalam surah al-Nisa’ ayat 114:
 
لَّا خَيْرَ فِي كَثِيرٍ مِّن نَّجْوَاهُمْ إِلَّا مَنْ أَمَرَ بِصَدَقَةٍ أَوْ مَعْرُوفٍ أَوْ إِصْلَاحٍ بَيْنَ النَّاسِ ۚ وَمَن يَفْعَلْ ذَٰلِكَ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ فَسَوْفَ نُؤْتِيهِ أَجْرًا عَظِيمًا

Terjemahannya: “Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka, kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala Yang amat besar”.

Mana mungkin sesuatu amanah yang bertentangan dengan Islam boleh dilakukan semata-mata untuk mendapat keredhaan Allah azza wa jalla. Adakah menjadikan satu slot ‘bacaan doa’ sudah boleh dilabelkan suatu program itu Islamik atau bercirikan Islam? Islam tidak pernah menolak keinginan manusia melaksanakan program-program hiburan yang membina atau apa jua bentuk aktiviti sosial, tetapi Islam ada meletakkan garis panduan yang perlu dipatuhi. Hikmah pensyariatan garis panduan tersebut hakikatnya tidak akan dirasai kewajarannya oleh manusia selagi mana Allah azza wa jalla belum benar-benar dikenali dan dicintai. Cukuplah Allah azza wa jalla sebagai pencipta alam ini dan Dia lebih tahu apa yang terbaik buat penduduk alam ini.
           
Ingatlah, sekiranya kita mendokong penuh amanah yang dipikul semata-mata kerana Allah azza wa jalla dan untuk memenuhi tanggungjawab sosial, nescaya Allah azza wa jalla akan membantu mempermudahkan setiap urusan hambaNya. Dinukilkan oleh al-Bukhari melalui hadith Abu Hurayrah bahawa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pernah menceritakan tentang kisah seorang lelaki Bani Isra’il yang mendapat kesulitan untuk membayar kembali hutangnya akibat terputus perhubungan (ketiadaan pengangkutan). Ketika lelaki tersebut meminta diberi hutang sebanyak 1000 dinar, beliau telah menjadikan Allah azza wa jalla sebagai penjamin dan saksi. Kawannya turut bersetuju, lalu menetapkan tempoh bayaran semula hutang tersebut yang perlu dijelaskan. Setelah genap tempoh yang dijanjikan, lelaki tersebut mendapati tiada kapal yang mampu membawanya ke tempat kawannya. Lantas dia pun mengambil sebatang kayu yang besar dan menebuknya lalu memasukkan wang sejumlah 1000 dinar beserta sepucuk surat yang ditujukan kepada kawannya yang memberi pinjaman tersebut. Dia terus menghanyutkan kayu tersebut ke laut sambil berkata: “Ya Allah sungguh engkau telah mengetahui bahawa aku meminjam wang daripada kawanku sebanyak 1000 dinar. Dia meminta aku seorang penjamin dan saksi, lalu aku katakan waktu itu: “Cukuplah bagiku Allah sebagai penjamin dan saksi”. Aku telah berusaha mencari kapal namun tidak mendapatinya. Justeru, aku kirimkan wang itu kepadaMu”.

Dengan izin dan bantuan Allah azza wa jalla, kawannya terdetik untuk mengambil kayu yang dijumpainya di tepi laut. Alangkah terkejutnya lelaki tersebut apabila menemui wang sejumlah 1000 dinar beserta surat daripada lelaki yang meninjam duitnya di dalam kayu itu. Selang beberapa hari akhirnya tibalah lelaki yang berhutang tadi menaiki kapal yang tertunda, lantas menemui kawannya yang memberi hutang tersebut. Alangkah bersyukurnya beliau, apabila mendapat tahu bahawa duit yang dikirimnya melalui Allah azza wa jalla dengan berikhtiarkan sebatang kayu telah selamat sampai tepat pada masanya. Kemudian, kawannya berkata kepadanya: “Sesungguhnya Allah azza wa jalla telah menunaikan apa yang kau kirimkan…moga Allah azza wa jalla melimpahimu dengan keberkatan”[5].       

BERTUGAS DENGAN AMANAH HARTA MENJADI BARAKAH

Kecanggihan teknologi kini menyumbang kepada suatu fenomena baharu yang mencabar manusia dalam merancang masa. Perancangan yang teliti bakal membuahkan hasil yang positif sedangkan pengabaiannya bakal menjurus ke lembah pengkhianatan terhadap amanah. Setiap masa yang diperuntukkan untuk kita bekerja selayaknya digunakan untuk kepentingan tugasan dan bukannya untuk kepentingan peribadi.  Dalam Hadith Abu Hurayrah ada diceritakan bahawa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda: “Tunaikanlah amanah kepada orang yang memberi amanah kepadamu dan janganlah kamu mengkhianati orang yang mengkhianatimu[6]”.

Setiap detik yang diamanahkan buat kita adalah diberi upah (gaji) dan upah tersebut akan menjadi halal dan barakah sekiranya waktu yang diamanahkan itu digunakan sebaiknya untuk kepentingan tugasan. Seorang pegawai yang keluar berkhidmat ke suatu kawasan luar dari tempatnya bekerja, lalu ia diberikan keistimewaan untuk melakukan tuntutan perjalanan. Adakah harta yang diperolehinya halal sekiranya tuntutan tesebut dibuat atas kapasiti memandu kereta sedangkan beliau menunggang motosikal? Berhati-hatilah dengan perolehan harta yag diterima hasil khianat (tidak amanah) kerana ia bakal menyebabkan doa tidak dimakbulkan[7]. Fenomena seperti ini sudah pun digambarkan oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dalam hadith Abu Hurayrah: “Sungguh akan datang pada manusia suatu zaman di mana seseorang tidak peduli dengan cara apa dia mengambil harta, apakah dari yang halal atau dari yang haram”[8]. Hakikatnya, pemilikan harta yang barakah dinilai melalui konsep ‘sedikitnya harta (yang dimiliki) mencukupi dan banyaknya harta (yang dimiliki) disyukuri’.

MUHASABAH

Lakukanlah transformasi kendiri ke arah yang lebih positif dengan meningkatkan rasa tanggungjawab berpaksikan kesedaran yang mapan tentang bahagian akhirat, mengangkasa kefahaman Islam melalui penelitian garis panduan syar’i dan tatacara perlaksanaannya, serta menonjolkan peribadi mulia yang boleh dicontohi oleh ‘kawan’ dan ‘lawan’. Semoga tugas yang diamanahkan dapat dijalankan dengan penuh ikhlas dan bersungguh-sungguh. Bukankah Allah azza wa jalla menyukai sesuatu amalan yang dilakukan oleh hambaNya dengan penuh tekun[9].

Wallahu A’lam.


[1] Allah azza wa jalla berfirman (terjemahannya): “Dan (telah beroleh kejayaan) orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janji-janjinya”.
[2] Sahih: Riwayat Muslim no.1825.
[3] Diriwayatkan Al-Bukhari no. 2554 dan Muslim no. 1829
[4] Surah al-Naml ayat 36.
[5] Sahih: Riwayat al-Bukhari no. 1498
[6] Diriwayatkan oleh Abu Dawud 3535 dan At-Tirmidzi 1264, ia berkata, “ini adalah hadits hasan gharib”. Lihatlah, As-Silsilah Ash-Shahihah oleh Al-Albani 424
[7] Sahih: Riwayat Muslim no. 1015.
[8] Sahih: Riwayat Muslim no. 2083
[9] Hasan: al-Albani dalam Sahih al-Jami’ no. 1880.

Tiada ulasan: