Rabu, 28 Ogos 2013

SIRI 9: CINTA NABI (Sifat Kasih Sayang)


[21]        Setiap Nabi dianugerahkan doa atau permohonan yang mustajab oleh Allah azza wa jalla. Salah satu bukti kecintaan dan kasih sayang Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam terhadap umatnya ialah mendahulukan doa mustajab tersebut untuk umatnya. Doa mustajab tersebut disimpan oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam untuk dipohonnya di akhirat kelak
. Kisah ini tercatat dalam hadith Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam daripada Abu Hurayrah Radhiyallahu Anh:

لكل نبي دعوة مستجابة، فتعجل كل نبي دعوته، وإني اختبأت دعوتي شفاعة لأمتي يوم القيامة، فهي نائله إن شاء الله من مات من أمتي لا يشرك بالله شيئاً

Terjemahannya:Setiap Nabi mempunyai doa yang mustajab, lalu masing-masing daripada mereka bersegera menggunakan doanya (di dunia), namun aku (Muhammad) menyimpan doaku sebagai syafaat bagi umatku di Hari Kiamat kelak, InchaAllah ia akan diperolehi oleh sesiapa dalam kalangan umatku yang mati dalam keadaan tidak mempersekutukan Allah[1]”.

Kasih Sayang terhadap Manusia

[22]      Anas bin Malik Radhiyallahu Anh pernah menceritakan bahawa: “(Suatu hari) Kami datang kepada Abu Sayf [al-Barra’ bin Aus] iaitu seorang tukang besi yang merupakan bapa susuan Ibrahim -anak lelaki Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam hasil pernikahan dengan Maryah Qibtiyyah-. (Lalu) Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam mengambil anaknya (Ibrahim) dan menciumnya. Kemudian kami datang lagi, ketika itu Ibrahim sedang dalam keadaan yang sangat nazak menghadapi sakaratul maut, tidak semena-mena kedua kelopak mata Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam menitiskan air mata. Lalu Abdurrahman bin Auf bertanya kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam: “(Adakah) Kau juga menitiskan air mata wahai Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam? Jawab Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam: “Wahai Ibn Auf, inilah (tanda atau bukti) kasih sayang”. Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menambah lagi dengan sabdanya:

إن العين تدمع، والقلب يحزن، ولا نقول إلا ما يرضى ربنا، وإنا بفراقك يا إبراهيم لمحزونون

Terjemahannya: “Sesungguhnya (kematian ini menyebabkan) mata menitiskan airnya dan hati pula bersedih, namun kami tidak pula mengucapkan sesuatu melainkan apa yang diredhai oleh Allah azza wa jalla. Sesungguhnya kami benar-benar berasa sedih berpisah denganmu wahai Ibrahim[2]”.

[23]        Kasih sayang Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam juga tidak hanya terbatas kepada anak-anak dan cucu-cucunya semata, bahkan lebih daripada itu, kasih sayangnya juga turut dirasai oleh anak-anak kaum Muslimin secara umumnya. Asma’ binti Umais -isteri Jaafar bin Abi Talib-, pernah menceritakan bahawa: “Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam datang kepada kami (ke rumah kami), lalu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam memanggil dan mengumpul anak-anak Jaafar dan (ketika itu) aku melihat Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mencium mereka sedang kedua-dua matanya menitiskan air mata. Lantas aku (Asma’) bertanya kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam: “Wahai Rasulullah, ada apa-apa berita tentang (keadaan) Jaafar yang telah sampai kepadamu?. Jawabnya: ‘Ya, dia telah terbunuh (dalam peperangan Mu’tah) hari ini’. Asma’ yang meriwayatkan kisah ini, berkata: (ketika itu) kami sekeluarga berdiri sambil menangis dan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam terus beredar pulang seraya bersabda kepada mereka yang berada di sekitarnya:

اصْنَعُوا لِآلِ جَعْفَرٍ طَعَامًا, فَقَدْ أَتَاهُمْ مَا يَشْغَلُهُمْ

Terjemahannya: “Sediakanlah makanan untuk ahli keluarga Jaafar, kerana mereka sedang menghadapi sesuatu yang menyibukkan mereka (iaitu musibah kematian)’[3].

[24]        Syaddad bin al-Had pernah menceritakan bahawa: (Suatu ketika) Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam keluar dari rumahnya bagi menunaikan solat Isya’ bersama-sama kami,  sambil mengendong cucunya iaitu Hassan dan Hussain. (Aku melihat) Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam melangkah ke hadapan dan meletakkan kedua-dua cucunya (di bawah), kemudian Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bertakbir dan solat (seperti biasa). Namun, dipertengahan solatnya, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam telah bersujud dengan tempoh masa yang agak lama. (Maka) aku (Syaddad) pun mengangkat kepalaku, aku melihat salah seorang cucunya berada di atas punggung Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam sementara beliau dalam keadaan sujud. (Selepas itu) Aku kembali sujud (dan meneruskan solatku). Setelah Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam menyelesaikan solatnya, para sahabat terus melontarkan pertanyaan kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, soal mereka: “Wahai Rasulullah, Kau sujud di pertengahan solat dengan tempoh masa yang sangat lama, sehingga kami menyangka ada sesuatu yang terjadi kepadamu atau wahyu sedang diturunkan kepadamu”. Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda:

كل ذلك لم يكن، ولكن ابني ارتحلني، فكرهت أن أعجله حتى يقضي حاجته

Terjemahannya: “Semua (sangkaan kamu) itu tidak berlaku, akan tetapi (yang berlaku sebenarnya ialah) cucuku ini menjadikanku sebagai tunggangannya, aku tidak ingin mengganggunya sehingga dia menyelesaikan keinginannya[4]”.

[25]        Aisyah bint Abi Bakar Radhiyallahu Anha menceritakan bahawa pernah suatu ketika Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dibawakan kepadanya anak-anak kecil lantas Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam mendoakan kebaikan buat mereka seorang demi seorang. Namun, salah seorang daripada anak kecil tersebut yang didukung Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam telah kencing dalam dakapannya hingga mengenai pakaian Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Lantas, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam meminta air lalu memercikkannya dengan air tersebut tanpa mencucinya”[5].

Berpandukan hadith-hadith tersebut, jelas menunjukkan antara sifat mulia Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang patut dicontohi dan diteladani ialah bersifat Kasih Sayang. Ia merupakan salah satu daripada sifat peribadi agung yang dimiliki oleh Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam, kasih sayangnya meliputi segenap lapisan makhluk, samaada sesama manusia, terhadap haiwan, alam sekitar dan sebagainya. Sifat kasih sayang ini berlawanan dengan sifat kejam dan celaka, sepertimana yang disebutkan oleh Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam daripada Abu Hurayrah Radhiyallahu Anh:

لَا تُنْزَعُ الرَّحْمَةُ إِلَّا مِنْ شَقِيٍّ

Terjemahannya: “Perasaan kasih sayang tidak akan dicabut (dari hati seseorang) kecuali daripada orang yang celaka”[6].

                Sebagai seorang manusia biasa, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menunjukkan contoh rasa kasih sayangnya terhadap anaknya. Tangisannya merupakan fitrah yang perlu dikawal supaya ia tidak bertukar menjadi kemurkaan Allah azza wa jalla. Sebagai pemimpin, Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam langsung tidak meletakkan batas sempadan antara dirinya dengan rakyatnya. Di kala Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mendengar perkhabaran tentang kesyahidan Jaafar bin Abi Talib dalam peperangan Mu’tah, lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam datang ke rumah Jaafar dan mengumpulkan anak-anaknya dan memeluk kesemua mereka tanda kasih sayang dan impatinya atas musibah yang bakal mereka ketahui. Sentuhan fizikal merupakan salah satu elemen terpenting dalam sebuah hubungan kasih sayang. Begitulah juga kisah-kisah yang telah dinyatakan tersebut, kesemuanya melambangkan ketinggian akhlak Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang patut dicontohi oleh kita semua. Benarlah sabda Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam yang dinukilkan oleh Jarir bin Abdullah Radhiyallahu Anhuma:

لَا يَرْحَمُ اللَّهُ مَنْ لَا يَرْحَمُ النَّاسَ

  Terjemahannya: “Allah tidak akan menyayangi sesiapa yang tidak menyayangi manusia”[7].    

Wallahu A’lam.


[1] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 6304 dan Muslim no. 199 dan lafaz ini adalah milik Muslim.
[2] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 1303 dan Muslim no. 2315.
[3] Hadith Hasan: Diriwayatkan oleh Abu Dawud no. 3132, al-Turmuzi no. 998, Ibn Majah no. 1610 dan Ibn Sa’ad 8/282 dan ini adalah lafaznya. Dinilai Hasan oleh al-Albani dalam Sahih Ibn Majah no. 1306.
[4] Sahih: Diriwayatkan oleh al-Nasa’i no. 1141, Ahmad no. 14503, dan al-Hakim dalam al-Mustadrak 3/181, dia menilainya sebagai Sahih mengikut syarat Syaikhain dan dipersetujui oleh al-Zahabi, Sanadnya dinilai sahih oleh al-Arna’uth dalam ta’liqnya atas Musnad.
[5] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.6355 dan Muslim no. 286.
[6] Hadith Hasan: Diriwayatkan oleh Abu Daud no. 4942, At-Turmuzi no. 1923, dan dinilai Hasan oleh Syeikh Nasiruddin Al-Albani dalam Sahih Al-Jami’ no. 7467.
[7] Diriwayatkan oleh Al-Bukhari no. 7276

Tiada ulasan: