[15] Abdullah
ibn Mas’ud pernah menceritakan, suatu ketika beliau datang bertemu Nabi Muhammad
Sallallahu Alayh wa Sallam yang saat itu sedang berbaring di atas tikarnya dan
kelihatan dibelakang badan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam kesan (anyaman)
tikar tersebut.
Lantas beliau (Abdullah Ibn Mas’ud) mengusap-usap kesan tersebut sambil bertanya kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam: “Adakah kamu izinkan kami meletakkan sesuatu (sebagai alas) di atas tikarmu (agar tidak berbekas badanmu). Jawab Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam:
Lantas beliau (Abdullah Ibn Mas’ud) mengusap-usap kesan tersebut sambil bertanya kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam: “Adakah kamu izinkan kami meletakkan sesuatu (sebagai alas) di atas tikarmu (agar tidak berbekas badanmu). Jawab Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam:
ما
لي وللدنيا، إنما مثلي الدنيا كمثل راكب في ظل شجرة في يوم صائف ثم راح وتركها
Terjemahannya: “Apalah (yang ingin) aku
(kejarkan) dengan dunia ini, sesungguhnya perumpamaan diriku dengan dunia
adalah seumpama seorang penunggang yang (berhenti) rehat (sebentar) di bawah
sebatang pokok ketika (cuaca) hari yang panas, kemudian dia berangkat (pergi)
dan meninggalkan pokok tersebut”[1].
[16] Anas
ibn Malik pernah menceritakan bahawa: (Suatu hari) Aku datang untuk menemui
Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang ketika itu sedang tidur di atas
pembaringannya, (aku dapati) bahagian depan pembaringannya dianyam dengan
pelepah (tamar), di bahagian bawah kepala pula terdapat sebuah bantal yang
diperbuat daripada kulit yang berisikan serabut. Lalu beberapa sahabat pun masuk
untuk menemui Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, termasuklah Umar al-Khattab. Kemudian,
Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam membalikkan tubuhnya membuatkan Umar terlihat
pinggang Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang tersingkap dan (ternyata) pembaringan
yang dianyam tersebut meninggalkan kesan di pinggang Nabi Sallallahu Alayh wa
Sallam. (Melihatkan perkara tersebut) membuatkan Umar menangis (kesedihan). Lantas
Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bertanya kepada Umar: “Wahai Umar, Apakah yang
menyebabkan kamu menangis?. Umar pun menjawab: “Demi Allah, aku (benar-benar)
mengetahui bahawa kamu (Nabi) lebih mulia di sisi Allah azza wa jalla daripada
Kisra (Raja) Parsi dan Kaisar (Raja) Rome. Sementara kedua-dua mereka
bersenang-lenang dengan dunia sepertimana yang telah mereka berdua lakukan,
sedangkan kamu wahai Rasulullah, keadaanmu seperti yang aku lihat ini (serba
kekurangan). Maka Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pun bersabda:
ما
ترضى أن تكون لهم الدنيا ولنا الأخرة؟
Terjemahannya: “Apakah kamu (wahai Umar) tidak
rela, sekiranya mereka (raja Parsi dan Rome) mendapatkan (kekayaan dan
kebahagiaan) dunia, sedangkan kita (umat Islam) memperoleh (kekayaan dan
kebahagiaan) akhirat?”.
Terus Umar
menjawab: ‘Ya’. Kemudian, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam pun bersabda:
‘Demikianlah hendaknya’[2].
[17] Dinukilkan
dalam Sahihayn bahawa ketika saat kewafatan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, Nabi
Sallallahu Alayh wa Sallam tidak meninggalkan sebarang duit sama ada satu dinar
mahupun satu dirham, tidak meninggalkan sebarang hamba sahaya, sama ada lelaki
mahupun perempuan, tidak pula meninggalkan sebarang harta melainkan hanya
seekor keldai putih tunggangannya, senjata dan sebidang tanah yang sudah
disedekahkan[3]. Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam turut
menggadaikan baju perangnya kerana berhutang 30 So’ gandum dengan seorang
lelaki Yahudi[4].
Berpandukan
hadith-hadith tersebut, jelas menunjukkan antara sifat mulia Nabi Sallallahu
Alayh wa Sallam yang patut dicontohi dan diteladani ialah bersifat Zuhud.
Imam Ibn Rajab Al-Hanbali dalam Jami’ al-Ulum wa al-Hikam mendefinisikan Zuhud
di dunia dengan mengosongkan hati daripada menyibukkan diri dengan urusan dunia,
sehingga seseorang itu dapat memberi sepenuh tumpuan untuk mencari (redha)
Allah azza wa jalla, mengenalNya, mendekatkan diri kepadaNya, merasa tenang
denganNya dan memiliki kerinduan untuk bertemu denganNya[5].
Sekalipun Nabi Sallallahu Alayh
wa Sallam seorang Rasul dan berjawatan sebagai ketua Negara sebaris Raja Parsi
dan Rome ketika itu, namun kehidupan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam langsung
tidak mencerminkan perwatakan seorang raja yang kebiasaannya mempunyai sifat
bermegah-megahan dengan kekayaan yang dimiliki. Kisah ini sewajarnya dijadikan
motivasi buat kita semua bahawa dunia yang dikejar tidak akan puas, sedangkan
akhirat jika dikejar pasti menguntungkan dan memberi pulangan yang sangat
berbaloi. Benarlah sabdaan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang dicatatkan oleh
Abdurrahman ibn Sakhr (Abu Hurayrah):
انْظُرُوا
إِلَى مَنْ أَسْفَلَ مِنْكُمْ وَلَا تَنْظُرُوا إِلَى مَنْ هُوَ فَوْقَكُمْ فَهُوَ
أَجْدَرُ أَنْ لَا تَزْدَرُوا نِعْمَةَ اللَّهِ
Terjemahannya: “Perhatikanlah
mereka yang berada di bawah kalian (lebih susah dan miskin) dan jangan
memandang mereka yang berada di atas kalian (lebih senang dan kaya), (kerana)
itu akan lebih membuatkan kalian tidak memperlekeh nikmat yang Allah azza wa
jalla (berikan)”[6].
Wallahu A’lam.
[1] Diriwayatkan oleh Ahmad no.4196 dan al-Turmuzi
no.2377, dari hadith Abdullah bin Mas’ud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam
al-silsilah al-sahihah no.439.
[2] Diriwayatkan oleh Ahmad no.12009, Asalnya dalam
al-Sahihayn, diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 4913 dan Muslim no.1479.
[3] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 2739 dari hadith Amr
bin al-Harith.
[4] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 2916 dan Muslim no.
1603 dari hadith Aisyah.
[5] Jami’ al-Ulum wa al-Hikam oleh Ibn Rajab al-Hanbali
dengan tahqiq Syeikh Syu’ayb al-Arna’ut, 2:198.
[6] Sahih: Diriwayatkan oleh Muslim, no.5264.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan