Isnin, 7 Januari 2013

SIRI 4: CINTA NABI (Sifat Merendah Diri)


[7]         Anas ibn Malik -anak Umm Sulaym- pernah menceritakan bahawa: “Seorang lelaki datang menemui Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam seraya berkata: Ya Khayr al-Bariyyah (wahai manusia terbaik!). (Maka) Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda: Zaka Ibrahim! (Gelaran itu merujuk kepada Ibrahim)[1].

[8]         Abu Hurairah –Abdurrahman ibn Sakhr- pernah berkata: “Jibril (datang) duduk (menemui) Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. (Lalu) Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam memandang ke langit, dan beliau Alayh al-Solatu wa al-Salam melihat (ada) malaikat turun. Kemudian Jibril berkata: “Sesungguhnya malaikat ini belum pernah turun sebelum ini sejak dia diciptakan”.

Lalu malaikat tersebut pun turun dan berkata:

يا محمد، أرسلني إليك ربك، قال: أفملكا نبيا نجعلك أو عبدا رسولا؟

Terjemahannya: “Wahai Muhammad, TuhanMu mengutuskan aku kepadamu, Dia (Allah) berfirman: Apakah kamu ingin menjadi Nabi sekaligus menjadi Raja, atau seorang hamba sekaligus menjadi Rasul?”.

Lantas Jibril menyapa Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam: “Wahai Muhammad, Tawadhu’ (merendah dirilah) dengan TuhanMu!”. Lalu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda: “Bal Abdan Rasulan!” (Terjemahannya: Bahkan (Aku memilih menjadi) hamba sekaligus menjadi Rasul[2].

Hadith di atas merupakan antara kumpulan cerita yang sahih (benar) berkenaan dengan sifat tawadhu’ atau merendah diri yang terdapat pada diri Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam. Menarik untuk dihayati bahawa sepanjang kehidupan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersama para sahabatnya, pelbagai gelaran pernah diberikan kepadanya sebagai bentuk puji-pujian terhadap akhlak dan peribadinya Sallallahu Alayh wa Sallam. Namun, sebahagian gelaran tersebut dilihat terlalu keterlaluan dan mampu mendorong para sahabatnya ke lembah dosa dan kemaksiatan.

          Justeru, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mengambil pendekatan ‘berlepas diri’ daripada memilih jalan yang menyebabkan para sahabat terlalu memujinya. Oleh itu, kita sebagai umat Islam sewajarnya mencontohi sifat tawadhu’ Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Sekalipun diberi pilihan untuk memegang tampuk kepimpinan tertinggi iaitu sebagai Raja, tetapi Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam lebih suka memilih hidup sebagai Hamba Allah azza wa jalla. Sekalipun manusia menghamburkan pujian kepadanya, tetapi Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam tetap memilih untuk merendah diri. Wallahu A’lam.


[1] Diriwayatkan oleh Muslim no.2369
[2] Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya no. 6863 dan dinilai Sahih oleh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah no. 1002.

Tiada ulasan: