Khamis, 24 Januari 2013

SIRI 5: CINTA NABI (Sifat Merendah Diri)

Tawadhu’ terhadap Rabbnya (Allah azza wa jalla)

[10]      Abu Sa’id al-Khudri pernah berkata: “Aku pernah melihat Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam sujud di atas tanah yang basah (lembab) sehingga aku melihat bekas tanah yang basah tersebut berbaki di kening beliau –Sallallahu Alayh wa Sallam-”.


Tawadhu’ terhadap Para Sahabatnya

[11]      Uthman ibn Affan pernah berkata: “Demi Allah, (suatu ketika dahulu) kami pernah menyertai Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam dalam sebuah perjalanan dan mukimnya (persinggahannya), (lalu) Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam pergi menjenguk orang yang ditimpa musibah (sakit) dalam kalangan kami. Lantas menghiburkan kami dengan bantuan ringan yang disalurkan serta pemberian (sedekah) yang banyak”[1].

[12]      Anas ibn Malik pernah berkata: “Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam pernah diundang (ke rumah seorang sahabatnya) untuk menikmati kepingan roti gandum dan mentega yang telah berubah baunya. Sungguhpun begitu, Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam tetap juga hadir (ke rumah sahabat tersebut)”[2].

Hadith-hadith ini menjelaskan betapa tawadhu’nya Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam ketika berhadapan dengan TuhanNya –Allah azza wa jalla-, menzahirkan betapa kerdilnya beliau –Sallallahu Alayh wa Sallam- jika hendak dibandingkan dengan tuhanNya. Apatah lagi kita sebagai manusia biasa yang tiada langsung kelebihan jika dibandingkan dengan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Betapa angkuhnya sebahagian kita yang hanya akan merasa selesa sujud kepada yang Esa, sekiranya disediakan sejadah atau ‘tile’ yang bersih daripada habuk.

            Begitu juga sifat merendah diri Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang ditonjolkan melalui akhlak peribadinya. Tanpa mengira status, darjat atau keutamaan berbanding orang lain, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam sendiri sempat menziarahi sahabat-sahabatnya yang sakit. Bahkan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam juga, seorang yang setiakawan dan empati. Tidak pernah menolak jemputan atau undangan daripada para sahabatnya, sekalipun hanya dihidangkan dengan potongan roti dan mentega sahaja. Kesemua ini jelas menunjukkan sebuah perwatakan yang sangat berbeza dengan para pemimpin masa kini. Habis semua perkara di’protokol’kan sehingga tanggungjawab sesama manusia diperbataskan atas urusan dan kepentingan tertentu sahaja. Wallahu A’lam.


[1] Diriwayatkan oleh Ahmad no. 506. Syeikh Ahmad Syakir berkata: Sanadnya Sahih manakala Syeikh al-Arnauth berkata: Sanadnya Hasan.
[2] Diriwayatkan oleh al-Turmuzi dalam al-Syama’il. Hlmn. 274. Dinilai sahih oleh Syeikh al-Albani dalam al-Silsilah al-Sahihah no. 2129.

Tiada ulasan: