Rabu, 7 November 2012

SIRI 1: CINTA NABI (Kesantunan, Kelembutan dan Sikap Toleransi)


Berakhlak dengan Para Sahabat

[1]          Daripada Anas ibn Malik beliau berkata: Di saat kami sedang berada di masjid bersama Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam tiba-tiba seorang Arab pedalaman (Badwi) datang, lalu kencing di (salah satu sudut) masjid (Masjid Nabawi), maka para sahabat Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berkata: "Hentikan, hentikan!". Namun Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam menegur dengan katanya: "Jangan mengherdiknya, bahkan biarkan sahaja dia (menyelesaikan kencingnya). Lalu para sahabat pun membiarkannya sampai dia selesai kencing.


Kemudian Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam memanggil lelaki tersebut, lantas menegurnya: Tidak sepatutnya kencing di tempat sebegini (masjid) dan tidak sepatutnya ada sebarang kotoran padanya, kerana ia (masjid) adalah tempat untuk berzikir (mengingati) kepada Allah, tempat menunaikan solat dan membaca al-Quran…’ Selepas itu, Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam memerintahkan seseorang untuk mengambil setimba air, lalu menyiramkannya ke bekas kencing lelaki tersebut [1].

Hadith ini memberikan penegasan kepada metod dakwah atau teguran Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam kepada para sahabatnya. Rasulullah menegur dengan penuh hikmah, bahkan memberi tunjuk ajar pula cara bagaimana membersihkan najis kencing tersebut. 


Berakhlak dengan Yahudi

[2]          Daripada Aisyah berkata: Beberapa orang Yahudi datang kepada Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam sedang mereka mengucapkan ‘Assam alayka’ (celaka ke atas kamu). Aku (Aisyah) mengerti ucapan mereka, lalu aku membalasnya dengan ‘Alaikumus Sam wal La’nah’ (ke atas kamu celaka dan laknat). Maka Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam menegur Aisyah dengan sabdanya: "Pelahan-lahan Aisyah, sesungguhnya Allah mencintai sikap lemah lembut dalam segala urusan". Aku (Aisyah) berkata: "Wahai Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam, tidakkah engkau mendengar apa yang mereka ucapkan?". Lantas  Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda: "Aku sudah menjawab, walaykum!”. [3]

Hadith ini menunjukkan sikap kesantunan Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam. Teguran Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam kepada Aisyah agar tidak membalas keburukan dengan keburukan dalam nada suara yang keras. Bahkan Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam memberikan contoh tauladan yang baik dengan hanya menjawab "wa alaykum" yang bermaksud dan ke atas kamu sedang nada suara Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam rendah dan tidak menyakiti Yahudi tersebut. 

Wallahu A3lam. 


[1] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 6025, Muslim no.285
[3] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 6256, Muslim no.2165. Assam bermaksud kematian.

Tiada ulasan: