Sabtu, 7 September 2013

SIRI 10: CINTA NABI (Sifat Kasih Sayang)


Kasih Sayang terhadap Haiwan

[26]      Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam melarang umatnya menjadikan burung atau haiwan-haiwan lain yang bernyawa sebagai sasaran latihan memanah. Abdullah bin Abbas menukilkan sabdaan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam:

لا تتخذوا شيئًا فيه الروحُ غَرَضًا

Terjemahannya: “Jangan kamu  jadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran bidikan[1]”.

Pernah diceritakan juga kisah yang berlaku kepada Umar bin al-Khattab dalam hadith Sa’id bin Jubayr –Radhiyallahu Anh-. Suatu ketika beliau melalui sebuah jalan lalu terserempak dengan beberapa orang pemuda Quraisy yang sedang membidik burung-burung yang dijadikan sebagai sasaran. Tatkala mereka melihat kehadiran Umar bin al-Khattab, mereka berlari bertempiaran. Pantas Umar bertanya (dengan suara yang lantang): “Siapakah yang melakukan perkara ini? Sesungguhnya Allah azza wa jalla melaknat mereka yang melakukan sedemikian. Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam pernah bersabda: Allah azza wa jalla melaknat orang yang menjadikan sesuatu yang bernyawa sebagai sasaran (target)”[2].

[27]      Begitu juga Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam melarang umatnya mengurung haiwan dan menyeksanya. Abdullah bin Umar meriwayatkan sebuah hadith tentang sabdaan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam:

دخلَتِ امرأةٌ النارَ في هِرَّةٍ ربَطَتْها ، فلم تَطعَمْها ، ولم تَدَعْها تأكلُ من خَشاشِ الأرضِ

Terjemahannya: “Seorang wanita masuk neraka kerana seekor kucing yang diikat, tidak diberi makan dan tidak dilepaskannya untuk mencari makanan daripada serangga-serangga tanah”.[3]

[28]      Antara bukti kasih sayang dan kelembutan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam kepada makhluk yang lemah adalah sepertimana yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Umar –Radhiyallahu Anh-yang berkata: “Kami pernah bersama Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dalam sebuah perjalanan, (di pertengahan jalan) Nabi Muhammad Sallallahu ALayh wa Sallam beranjak (mengasingkan diri) untuk menunaikan hajatnya (membuang air). Tatkala itu, kami (Abdullah dan para sahabat yang lain) terlihat seekor burung bertubuh kecil bersama-sama dua anaknya. Lantas kami mengambil kedua-dua anaknya, lalu (tidak semena-mena) burung tersebut terbang dengan mengepakkan sayapnya dalam keadaan yang tidak menentu (liar). Setibanya Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam (dalam keadaan memerhatikan keadaan burung tersebut), Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam terus bertanya: “Siapakah yang membuatnya merasa sedih disebabkan anaknya diambil?”. Sambil menambah dengan nada tegas: “Pulangkanlah anaknya kembali kepadanya!”[4] .

[29]      Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib –Radhiyallahu Anh- pernah menceritakan sebuah kisah: “Suatu hari Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam memboncengku, kemudian masuk ke dalam sebuah kebun milik seorang lelaki Ansar. Dalam kebun tersebut terdapat seekor unta. Tatkala unta itu melihat Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, ia pun bersedih dan menitiskan air mata. Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mendekatinya dan terus mengusap-usap tengkuknya, sehingga ia menjadi tenang. Kemudian, Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam bertanya: “Siapa pemilik unta ini?”. Lalu seorang anak muda dalam kalangan Ansar datang dan berkata: “Ia milikku wahai Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam”. Pantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menasihatinya dengan sabdanya:

أفلا تتقي الله في هذه البهيمة التي ملكك الله إياها؟ فإنه شكا إلي أنك تجيعه وتدئبه

Terjemahannya: “Apakah kamu tidak takut kepada Allah atas perlakuan kamu terhadap haiwan yang Allah serahkan kepadamu ini? (Sesungguhnya) Ia (unta ini) mengadu kepadaku bahawa kamu sering menyakitinya dan membebaninya dengan pekerjaan yang berlebihan”[5].

Kasih Sayang terhadap Benda Mati

[30]      Anas bin Malik –Radhiyallahu Anh- menggambarkan bahawa pada permulaan era dakwah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, kebiasaannya Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam akan menyampaikan khutbahnya di atas sepohon kayu. Sehinggalah saat Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam telah mempunyai mimbarnya sendiri, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam tidak lagi menyampaikan khutbahnya di atas pohon kayu tersebut. Hal yang demikian menyebabkan pohon kayu tersebut merintih kesedihan. Perkara itu berlarutan sehinggalah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mendatanginya dan memeluknya yang menyebabkan pohon tersebut tenang, lalu terdiam. Kemudian Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berkata kepada para sahabatnya: “Kalaulah aku tidak memeluknya (memujuknya), nescaya ia (pohon tersebut) akan terus merintih sampai tiba hari Kiamat kelak”[6].

                Berpandukan hadith-hadith tersebut, jelas menunjukkan antara sifat mulia Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang patut dicontohi dan diteladani ialah bersifat Kasih Sayang. Ia merupakan salah satu daripada sifat peribadi agung yang dimiliki oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam, sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini. Oleh yang demikian, jadikanlah kisah-kisah yang sahih ini sebagai motivasi untuk menjadi insan yang lebih positif dalam setiap perbuatan. Harus diingat bahawa hidupnya kita di dunia ini bukan untuk berkomunikasi dan berinteraksi sesama manusia sahaja, bahkan Allah azza wa jalla turut menjadikan haiwan, tumbuh-tumbuhan dan alam. Kesemuanya adalah makhluk ciptaan Allah azza wa jalla dan selayaknya kita berlaku baik dengan semua makhluk Allah azza wa jalla, samaada yang bernyawa ataupun tidak.

Wallahu A’lam.


[1] Diriwayatkan oleh Muslim no. 1957.
[2] Diriwayatkan oleh Muslim, no.1958.
[3] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 3318 dan Muslim no. 2814 dari hadith Abdullah bin Umar.
[5] Sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud, no.2549. dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih Sunan Abi Dawud.
[6] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 3583.

Tiada ulasan: