Rabu, 11 September 2013

SIRI 2 : MANASIK (Penghayatan Umrah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam)


Artikel ini merupakan sambungan daripada artikel sebelumnya yang berjudul SIRI I: MANASIK (Penghayatan Umrah Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam).

Gambar hiasan
Umrah Kedua: Umrah al-Qadha’.

Perjalanan umrah ini berlangsung pada bulan Zulkaedah tahun ke-7 Hijrah[1], setahun selepas berlakunya peristiwa perjanjian Hudaibiyah sebagaimana kesepakatan yang dicapai antara Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dan Musyrikin Quraisy dalam perjanjian tersebut. Dalam perjalanan menuju ke Mekah, telah berlaku satu peristiwa agung yang menyumbang kepada satu hukum dalam perbahasan permasalahan Umrah dan Haji, iaitu peristiwa pernikahan Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dengan Maymunah bint al-Harith. Kisah ini dinukilkan oleh al-Imam al-Bukhari dalam Sahihnya daripada Abdullah bin Abbas –radhiyallah anh-:

تزوَّجَ النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم مَيْمونةَ وهو مُحرِمٌ، وبَنى بها وهو حَلالٌ، وماتت بسَرِفَ . وزاد ابن إسحاق : حدَّثَني ابن أبي نَجيحٍ وأبانُ بنُ صالِحٍ، عن عطاءٍ ومُجاهدٍ، عن ابن عباس قال : تزوج النبي صلَّى اللهُ عليه وسلَّم مَيْمونةَ في عُمرةِ القضاءِ

Terjemahannya: “Nabi Muhammad Sallallahu ALayh wa Sallam melamar Maymunah dalam keadaan berihram, menggaulinya dalam keadaan Halal dan (Maymunah) meninggal dunia di Sarif[2] (tempat antara Madinah dan Mekah)”.

Ibn Abbas berpandangan bahawa peristiwa pernikahan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam ini berlaku ketika Umrah al-Qadha’. Menurut beliau lagi, Yazid bin al-Asum menegaskan bahawa pernikahan Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam dengan Maymunah berlaku ketika dalam keadaan halal dan bukannya berihram[3].

                Setibanya umat Islam di Mekah, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mengarahkan para sahabatnya (yang lelaki) untuk mempercepatkan jalan (ramal) bagi menampakkan kekuatan ketika melakukan ibadah Tawaf. Hal ini bagi menempelak Musyrikin Mekah yang duduk mengata rombongan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang lemah dan kepenatan akibat cuaca panas yang melanda Madinah[4]. Oleh yang demikian, umat Islam sehingga kini disunnahkan melakukan ramal ketika tawaf pada 3 pusingan yang pertama,  kecuali pada dua rukun iaitu antara rukun Yamani dan rukun Hajar al-Aswad[5].

                Menetaplah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan para sahabatnya selama 3 hari di Mekah sepertimana yang termaktub dalam perjanjian Hudaibiyah yang lalu. Pada hari yang keempat, Ali bin Abi Talib telah didatangi oleh beberapa orang Musyrikin Mekah, kata mereka: “Bagitahu kepada kawanmu (Nabi Muhammad Sallallahu ALayh wa Sallam), supaya cepat pulang (ke Madinah) kerana sudah lewat 3 hari”. Lantas umat Islam pun bergegas pulang ke Madinah sebagai menghormati intipati perjanjian Hudaibiyah yang telah disepakati[6].

                Di pertengahan jalan tersebut iaitu di lembah Sarif, Nabi Muhammad Sallallahu ALayh wa Sallam telah melangsungkan perkahwinannya dengan Maymunah bint al-Harith. Sepertimana yang disebutkan sebelum ini, terdapat perselisihan pendapat dalam kalangan ulama’ berkaitan pernikahan ini sama ada dalam keadaan ihram ataupun tidak.  Bagi penulis, hadith Abu Dawud yang disebutkan sendiri oleh Maymunah bint al-Harith adalah lebih kuat berikutan hal dirinya, sudah tentu beliau lebih mengetahuinya, katanya:

تزوَّجني النبيًّ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ ونحنُ حلالٌ بسَرفٍ

Terjemahannya: “Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam menikahi saya dalam keadaan kami berdua sudah halal (tidak ihram) di Sarif”[7].

Oleh yang demikian, berakhirlah perjalanan Umrah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang kedua, iaitu Umrah al-Qadha’ (umrah ganti) atau turut dikenali sebagai Umrah al-Qadhiyah (umrah perjanjian). Peristiwa ini melakarkan sejarahnya yang tersendiri dengan penurunan wahyu daripada Allah azza wa jalla sebagai berita gembira buat Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam, firmannya:

لَّقَدْ صَدَقَ اللَّهُ رَسُولَهُ الرُّؤْيَا بِالْحَقِّ ۖ لَتَدْخُلُنَّ الْمَسْجِدَ الْحَرَامَ إِن شَاءَ اللَّهُ آمِنِينَ مُحَلِّقِينَ رُءُوسَكُمْ وَمُقَصِّرِينَ لَا تَخَافُونَ ۖ فَعَلِمَ مَا لَمْ تَعْلَمُوا فَجَعَلَ مِن دُونِ ذَٰلِكَ فَتْحًا قَرِيبًا  [8]

Terjemahannya: “Sesungguhnya Allah azza wa jalla telah membuktikan kepada RasulNya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa kamu pasti akan memasuki Masjid al-Haram, InsyaAllah dalam keadaan aman, dengan mencukur rambut kepala dan mengguntingnya sedang kamu tidak merasa takut, (maka) Allah azza wa jalla mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Allah memberikan selain daripada itu kemenangan yang hampir”.

RUMUSAN YANG DIPEROLEHI
  1. Umrah kedua Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam berlaku pada tahun ke-7 Hijrah dan bermiqat di Zu al-Hulayfah.
  2. Kewajipan menepati janji dan menunaikan hak sesama manusia, sekalipun terhadap golongan Kafir.
  3. Umrah kedua Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam ini turut mencatat sejarah pernikahannya dengan Maymunah Bint al-Harith.
  4. Pernikahan Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dengan Maymunah dalam keadaan Halal.
  5. Disunnahkan mempercepatkan tawaf pada 3 pusingan yang pertama kecuali pada 2 rukun iaitu Rukun Yamani dan Rukun Hajar al-Aswad, sebagai menunjukkan kekuatan Islam.
  6. Allah azza wa jalla membenarkan mimpi kekasihnya Muhammad Sallallahu ALayh wa Sallam melalui perjalanan Umrah al-Qadha’ ini.
Wallahu A’lam.


[1] Ibn Hazam al-Andalusi, Jawami’ al-Sirah : 219.
[2] Sahih: Diriwayatkan oleh al-Bukhari no.4258.
[3] Rujuk Hadith yang diriwayatkan oleh Muslim no.1410, tambahan daripada kata-kata Abdullah bin Abbas.
[4] Sahih: Diriwayatkan oleh Muslim no.1266.
[5] Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari, Jil. 7: 508.
[6] Ibid, Jil. 7: 499.
[7] Sahih: Diriwayatkan oleh Abu Dawud, no.1843, dan dinilai Sahih oleh Syeikh al-Albani dalam Sahih Abi Dawud.
[8] Surah al-Fath: 27

Tiada ulasan: