Khamis, 19 September 2013

SIRI 11 : CINTA NABI (Sifat Adil)


Gambar Hiasan
 [31]      Tercatat dalam sebuah kisah tentang seorang wanita dalam kalangan Bani Makhzum yang telah didapati melakukan perbuatan mencuri era peperangan (ghazwah) al-Fath. Tatkala seorang sahabat kesayangan Nabi Muhammad Sallallahu ALayh wa Sallam yang terkenal iaitu Usamah bin Zaid berusaha menjadi perantara untuk bertemu Nabi Muhammad Sallallahu ALayh wa Sallam bagi memohon kemaafan buat wanita tersebut (agar tidak dijatuhkan hukuman keatasnya). Melihat perbuatan tersebut, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menjadi marah dan rauk wajah Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam turut berubah. Lantas bersabda sebagai mengingkari perbuatan yang dilakukan Usamah:

أتَشفَعُ في حَدٍّ من حُدودِ اللهِ

Terjemahannya: “Apakah kamu akan memberi syafaat (pertolongan) dalam perlaksanaan salah satu daripada hukuman Allah?”.

Lalu Usamah berkata: “Mohonlah keampunan buatku wahai Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam”. Ketika waktu petang menjelma, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam berdiri, lalu menyampaikan beberapa ucapan dengan dimulai puji-pujian kepada Allah, kemudian bersabda:

إنما أَهلَك الذين قبلَكم ، أنهم كانوا إذا سرَق فيهمُ الشريفُ ترَكوه ، وإذا سرَق فيهمُ الضعيفُ أقاموا عليه الحَدَّ ، وايمُ اللهِ لو أنَّ فاطمةَ بنتَ محمدٍ سَرقَتْ لقطَعتُ يدَها

Terjemahannya: “Amma ba’du, sesungguhnya (benar-benar) perkara yang telah membinasakan kaum-kaum sebelum kamu adalah sekiranya golongan atasan dalam kalangan mereka mencuri, mereka membiarkannya. Namun jika yang mencuri itu adalah golongan marhaen sahaja, (maka) mereka akan menjatuhkan hukuman hudud keatasnya. Demi Allah, seandainya Fatimah binti Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam mencuri, nescaya (benar-benar) akan ku potong tangannya[1]”.

[32]      Sewaktu Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam menyiapkan barisan para sahabat menghadapi perang Badar, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam diriwayatkan telah menggunakan tongkat bagi meluruskan barisan prajuritnya, sehinggalah sampai kepada barisan Sawad bin Ghaziyyah yang ketika itu berada pada posisi terkehadapan sedikit (tidak sama lurus dengan orang di sampingnya). Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menolaknya dengan menggunakan kayu tersebut dan bersabda: “Luruskan (kakimu dengan kaki kedua orang di sampingmu) wahai Sawad!”.

            Sawad menjawab: “Wahai Rasulullah Sallallahu Alayh wa Sallam, (perbuatan) kamu telah menyakitiku, (bukankah) Allah mengutuskan kamu untuk membawa kebenaran dan keadilan. Oleh sebab itu, izinkan aku membalasnya”. Kemudian Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam membuka perutnya (bajunya) dan bersabda: “Lakukanlah (balaslah)!. Lalu Sawad terus memeluk Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan mencium perutnya. Perbuatan aneh tersebut mendorong Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam untuk bertanya: “Mengapa kamu lakukan sedemikian?. Dia menjawab: “Wahai Rasulullah, pertempuran akan berlaku sepertimana yang kau lihat, (oleh itu) aku ingin menjadikan kesempatan terakhir aku denganmu ini dengan menempelkan kulitku dengan kulitmu”. Kemudian, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mendoakan kebaikan untuknya[2].

                Berpandukan hadith-hadith tersebut, jelas menunjukkan antara sifat mulia Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang patut dicontohi dan diteladani ialah bersifat Adil. Ia merupakan salah satu daripada sifat peribadi agung yang dimiliki oleh Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Sebagaimana firman Allah azza wa jalla dalam surah al-Nahl ayat 90:

إنَّ اللّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالإِحْسَانِ

                Terjemahannya: “Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil dan berbuat kebajikan”

Sekalipun Usamah bin Zaid terkenal sebagai seorang yang paling rapat dan dicintai Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam, dek kerana ayahnya merupakan anak angkat Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam iaitu Zaid bin al-Harithah, dan beliau (Usamah) juga merupakan anak kepada Ummu Aiman hasil perkahwinanya dengan Zaid, namun Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam langsung tidak berganjak dengan hukum yang telah ditetapkan oleh Allah azza wa jalla. Bahkan, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam turut menegaskan sekiranya anaknya sendiri melakukan kesalahan nescaya ia juga turut akan dijatuhkan hukuman. Demikian juga, sifat adil Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam jelas dibuktikan melalui kerelaan hatinya menerima hukuman balas daripada sahabatnya yang mendakwa dizalimi dan dikasari. Sekiranya Nabi Sallallahu Alayh ea Sallam tidak bersifat adil, nescaya Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam tidak akan mengizinkannya. Begitulah keadilan Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam yang diterjemah tanpa mengira pangkat, jawatan mahupun kepentingan peribadi.

Wallahu A’lam.


[1] Diriwayatkan oleh al-Bukhari no. 3475 dan Muslim no. 1688.
[2] Hasan: Diriwayatkan oleh Ibn Ishaq sebagaimana dalam Sirah Ibn Hisyam Jil.2: 266 dan Abu Nu’aym dalam Ma’rifat al-Sahabah, Jil.1: 303 dan Ibn al-Athir dalam Usud al-Ghabah Jil.2: 332, Sanad periwayatannya dinilai Hasan oleh Syeikh al-Albani dalam al-Sahihah no 2835.

Tiada ulasan: