Ahad, 6 Oktober 2013

SIRI 4 : MANASIK (Penghayatan Umrah Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam)


Artikel ini merupakan sambungan daripada artikel sebelumnya yang berjudul SIRI I, SIRI II & SIRI III: MANASIK (Penghayatan Umrah Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam).

Umrah Keempat: Umrah dalam Haji (Hajjat al-Wada’).

Perjalanan umrah ini berlangsung lima hari sebelum berakhirnya bulan Zulkaedah tahun ke-10 Hijrah, rentetan keinginan yang mendalam Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam untuk mengerjakan Haji pada tahun tersebut, selepas terlepas melaksanakannya pada hari penaklukan Mekah yang lalu. Pada tahun 8 Hijrah tersebut, umat Islam telah menunaikan Haji bersama-sama kaum Musyrikin Mekah. Manakala pada tahun berikutnya, Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam memerintahkan Abu Bakr al-Siddiq menjadi Amir (ketua) kepada umat Islam dan mereka memulakan perjalanan dari Madinah ke Mekah pada bulan Zulhijjah[1].

                Dalam peristiwa rombongan Haji Abu Bakr ini, tersemat sebuah catatan sejarah penurunan surah al-Bara’ah. Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam telah mengutus Ali bin Abi Thalib kepada rombongan Haji kaum Muslimin dengan membawa ayat-ayat surah tersebut untuk disampaikan ketika hari Nahar (10 Zulhijjah)[2]. Disamping itu, Ali bin Abi Thalib[3] turut mengumumkan 4 perkara penting iaitu [1] Tidak akan masuk ke Syurga kecuali seorang yang Muslim, [2] Tidak boleh melakukan Tawaf tanpa pakaian, [3] Kaum Musyrikin dilarang mengerjakan Umrah setelah tahun tersebut dan [4] sesiapa yang terikat perjanjian dengan Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam, maka perjanjian tersebut tetap berlaku sehingga selesai tempohnya[4].

PERJALANAN HAJI NABI MUHAMMAD SALLALLAHU ALAYH WA SALLAM
 
Perjalanan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan para sahabatnya terhenti di sebuah lembah yang digelar Wadi al-Aqiq (وادي العقيق) yang terletak di Zu al-Hulayfah. Di lembah inilah, Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam telah didatangi oleh Malaikat (dikatakan ia adalah Jibril) pada waktu malam dan berkata:

صلِّ في هذا الوادي المبارَكِ ، وقُل عُمرةٌ في حجَّةٍ

Terjemahannya: Salatlah di lembah yang penuh keberkatan ini dan katakanlah (niatlah) Umrah dalam Haji[5].

Perintah tersebut merupakan arahan agar tetap terus berada di Zu al-Hulayfah sehingga tiba waktu Zuhur keesokan harinya serta turut menjadi petunjuk supaya Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dan para sahabatnya berihram di situ. Lembah ini turut melakar sebuah catatan sejarah kelahiran Muhammad bin Abi Bakr. Sebagaimana yang diceritakan oleh Jabir bin Abdullah, kisah Asma’ bintu Umays yang bertanyakan perihalnya itu kepada Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam. Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menjawab:

اغتسلي واستذفري بثوب وأحرمي

Terjemahannya: “Mandilah dan pakailah pakaian dan berihramlah (niatlah untuk mengerjakan Haji)[6].

Setelah itu, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam dan para sahabatnya meneruskan perjalanan menuju ke Mekah dalam berkeadaan Ihram dan singgah di suatu tempat yang bernama Rauha (الروحاء).

PERISTIWA PELIK TENTANG KELDAI DAN RUSA

Setibanya di Rauha, mereka telah mendapati seekor keldai liar yang telah disembelih terlantar di atas tanah lembah Rauha. Lalu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bersabda: “Biarkannya sehinggalah pemiliknya datang”. Tidak lama kemudian, seorang dari kalangan bangsa Bahz (بهز) datang dan mengaku bahawa keldai tersebut kepunyaanya. Kemudian, Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam mengarahkan Abu Bakr membahagi-bahagikannya kepada para sahabat[7]. Setelah itu, Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dan para sahabat meneruskan perjalanan menuju ke Mekah dan singgah pula di Uthayah (الأثاية).

                Setibanya mereka di Uthayah, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mendapati seekor rusa jantan yang mati terkena anak panah. Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam mengarahkan Abu Bakr berdiri menutupi rusa tersebut agar tidak diketahui oleh para sahabat yang lain[8]. Kedua-dua peristiwa ini menunjukkan dua tindakan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang berbeza. Ia menjelaskan tentang keadaan haiwan yang mati dibunuh oleh pemiliknya dalam keadaan halal (tidak berihram) dan seekor lagi dalam keadaan yang diragui. Justeru, setelah jelas keadaannya maka dihalalkan keldai tersebut untuk dimakan.

PERJALANAN MENUJU KE MEKAH

Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam dan para sahabatnya meneruskan perjalanan melalui lembah Arj, Usfan sehinggalah tiba di lembah Sarif. Di lembah Sarif tersebutlah berlakunya dua peristiwa penting dalam lipatan sejarah Islam. Abdullah bin Abbas menukilkan ucapan Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam kepada rombongan Hajinya ketika berhenti di lembah Sarif, katanya:

من لم يكن منكم معهُ هَدْيٌ ، فأَحَبَّ أن يجعلها عمرةً فليفعلْ ، ومن كان معهُ الهَدْيُ فلا

Terjemahannya: “Sesiapa yang tidak memiliki haiwan sembelihan (hady), dia boleh membatalkan niat Hajinya dan menggantikannya dengan umrah, manakala sesiapa yang memilikinya, tidak perlu membatalkan niat Hajinya”[9].

Dalam hadith yang sama juga mencatatkan kisah pengaduan dan tangisan Aisyah isteri Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam yang didatangi Haid ketika tiba di lembah Sarif[10]. Lalu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam memujuk dan menasihatinya:

إنَّ هذا أمرٌ كَتَبَه اللهُ على بَناتِ آدَمَ ، فاقضي ما يَقضي الحاجُّ ، غيرَ أنْ لاَ تَطوفي بالبيتِ

Terjemahannya: “Sesungguhnya perkara ini sudah tertulis buat semua wanita anak cucu Adam Alayhissalam, (oleh itu) lakukanlah amalan sebagaimana orang yang melakukan Haji , melainkan janganlah kau melakukan Tawaf di Kaabah”.

Setelah itu, Nabi Muhammad Sallallahu ALayh wa Sallam dan para sahabatnya meneruskan perjalanan menuju ke Mekah melalui Zu Thuwa dan sempat bermalam di situ. Akhirnya saat yang ditunggu-tunggu pun tiba. Tatkala Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam melihat kelibat Ka’abah, Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam terus mengangkat tangan dan bertakbir, lalu berdoa:

اللهم أنت السلامُ ومنك السلامُ فحيِّنا ربَّنا بالسلامِ ، اللهم زِدْ هذا البيتَ تشريفًا وتعظيمًا وتكريمًا ومهابةً وزِدْ من حَجَّه أو اعتمَره تكريمًا وتشريفًا وتعظيمًا وبِرًّا .

Terjemahannya: “Ya Allah, Kaulah Yang Maha Damai. Daripada kaulah perdamaian, oleh sebab itu, hidupkanlah kami dalam perdamaian. Ya Allah, tambahkanlah kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebaikan kepada Baitullah (Kaabah) ini dan tambahkanlah kurniaanMu kepada mereka yang membesarkannya (Kaabah) dalam kalangan orang-orang yang melaksanakan Haji dan Umrah dengan kemuliaan, kebesaran, keagungan dan kebajikan”[11].

Umat Islam menunaikan Haji sesuai dengan perbuatan Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam tanpa menambah atau menguranginya walaupun sedikit. Sehinggalah tiba di Mina, ketika umat Islam sedang sibuk melontar Jamarat, Aisyah isteri Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam datang mengadu kepada suaminya: "Wahai Rasulullah! Semua orang akan pulang dengan membawa (pahala) Haji dan Umrah, sedangkan aku hanya mendapat (pahala) Haji". Lalu Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam bertanya: “Adakah kamu telah tawaf pada malam-malam hari ketika kita sampai di Mekah?”. Aisyah menjawab: “Tidak”. Lantas Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam memanggil Abd al-Rahman bin Abi Bakr seraya berkata: “Keluarlah dengan saudarimu ini (Aisyah) dari Tanah Haram (ke Tan’im)”[12].

PENUTUP

Setelah selesai mengerjakan ibadah Haji tersebut, Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam melakukan tawaf Wada’ sebagai tanda selamat tinggal buat bumi Mekah. Nabi Sallallahu Alayh wa Sallam menunaikannya dengan berjalan kaki tanpa berlari-lari anak. Kemudiannya bersiap-siap meneruskan perjalanan pulang ke Madinah dengan menuju ke Muhassab (المحصب), seraya memanggil para sahabatnya. Demikianlah Umrah Nabi Muhammad Sallallahu Alayh wa Sallam yang disertakan dengan Haji yang berlangsung pada bulan Zulhijjah tahun ke-10 Hijrah. Wallahu A’lam.



[1] Ibn Sa’ad, Thabaqat al-Kubra, Jil.2 : 168. Sanadnya Sahih dan bersambung hingga ke Mujahid.
[2] Ibn Hisyam, Sirah Ibn Hisyam, Jil.4: 203. Sanadnya Hasan tetapi ia mursal. Sungguhpun begitu, terdapat banyak jalur riwayat lain yang menguatkannya.
[3] Sebahagian riwayat menyatakan bahawa sahabat yang menyampaikan amanat tersebut adalah Abu Hurayrah.
[4] Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no.369, daripada Abu Hurayrah:
سألتُ عليًّا بأيِّ شيءٍ بُعِثتَ ؟ قال : بأربعٍ : لا يدخلُ الجنَّةَ إلَّا نفسٌ مسلمةٌ ، ولا يطوفُ بالبيتِ عُريانٌ ، ولا يجتمِعُ المسلمونَ والمُشركونَ بعد عامِهِم هَذا ، ومَن كان بينَهُ وبينَ النَّبيِّ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ عهدٌ فعهدُهُ إلى مُدَّتِهِ ، ومَن لا مُدَّةَ لهُ فأربعةُ أشهرٍ
[5] Sanadnya Sahih: Diriwayatkan oleh Ahmad dalam Musnadnya 6/171 dan dinilai oleh Syeikh Ahmad Syakir.
[6] Diriwayatkan oleh Muslim, no.2198.
[7] Diriwayatkan oleh Muslim, no.504 dari Abdullah bin Abbas.
[8] Sanadnya Hasan: Diriwayatkan oleh al-Busiri, 5/234.
[9] Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no.4258.
[10] Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no.1788.
[11] Diriwayatkan oleh Muslim, no.183.
[12] Diriwayatkan oleh al-Bukhari, no.1590.

Tiada ulasan: