Hari Jumaat turut dikenali
sebagai Sayyid al-Ayyam (penghulu segala hari)[1] lantaran beberapa
peristiwa yang telah terjadi, seperti penciptaan dan kewafatan Nabi Adam
Alayhissalam, dan juga peristiwa yang dijanjikan bakal berlaku pada hari
tersebut seperti kejadian Hari Kiamat. Hari Jumaat juga dikhususkan Allah azza
wa jalla buat umat Islam, sebagai menyelisihi kemuliaan hari Sabtu bagi kaum Yahudi
dan Ahad bagi Nasrani (Kristian)[2].
Di samping itu, hari Jumaat juga berperanan sebagai
medium pertemuan umat Islam di seluruh dunia. Berikutan pada hari tersebut,
umat Islam lelaki diwajibkan untuk menunaikan solat Jumaat beserta mendengar khutbah.
Namun, dalam pada umat Islam menghadiri pertemuan mingguan ini, terdapat
sebahagian besar umat Islam yang kurang menjaga tatasusila semasa khutbah dibacakan,
bahkan memandang remeh tentang peraturan-peraturan yang telah digariskan dalam
Islam. Alangkah ruginya mereka yang hadir menuju ke masjid untuk menunaikan
solat Jumaat, namun pulang dengan tangan kosong. Oleh yang demikian, berikut
dinyatakan beberapa aspek yang perlu diberi penambahbaikan agar kita sama-sama
mampu mencapai ke suatu tahap amalan berpandukan ilmu yang sahih dan akhirnya
memperoleh ganjaran yang bernilai di sisi Allah azza wa jalla.
HADIR AWAL KE MASJID
Kita digalakkan untuk
bergerak menuju ke masjid lebih awal daripada biasa. Ia merupakan salah satu
sunnah Nabi Muhammad Sallallahu ALayh wa Sallam yang mempunyai nilai ganjaran
yang berbaloi bagi mereka yang berkehendak. Abu Hurayrah radhiyallahu anh
menukilkan sebuah hadith daripada Nabi Sallallahu ALayh wa Sallam yang bersabda:
مَنِ
اغْتَسَلَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ غُسْلَ الْجَنَابَةِ ثُمَّ رَاحَ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ
بَدَنَةً وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّانِيَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَقَرَةً
وَمَنْ رَاحَ فِي السَّاعَةِ الثَّالِثَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ كَبْشًا أَقْرَنَ وَمَنْ
رَاحَ فِي السَّاعَةِ الرَّابِعَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ دَجَاجَةً، وَمَنْ رَاحَ فِي
السَّاعَةِ الْخَامِسَةِ فَكَأَنَّمَا قَرَّبَ بَيْضَةً فَإِذَا خَرَجَ اْلإِمَامُ
حَضَرَتِ الْمَلاَئِكَةُ يَسْتَمِعُونَ الذِّكْرَ
Terjemahannya:
“Sesiapa yang mandi pada hari Jumaat (sebagaimana) mandi Janabah, lalu ia
bersegera pergi ke masjid, (perbuatannya tersebut) seakan-akan ia berkorban seekor
unta yang gemuk, dan sesiapa yang pergi ke masjid pada masa yang kedua
(selepas golongan yang pertama tadi) seakan-akan ia berkorban seekor lembu
betina, dan sesiapa yang pergi ke masjid pada masa yang ketiga (selepas
golongan yang kedua tadi) seakan-akan ia berkorban seekor Kibash yang
bertanduk, dan sesiapa yang pergi ke masjid pada masa yang keempat (selepas
golongan yang ketiga tadi) seakan-akan ia berkorban seekor ayam, manakala
sesiapa yang pergi ke masjid pada masa yang kelima (selepas golongan yang keempat
tadi) seakan-akan ia berkorban sebiji telur. Maka, apabila imam telah
keluar (untuk membaca khutbah), para Malaikat pun turut sama hadir untuk
mendengar khutbah tersebut”.
Hadith
ini memberi galakkan kepada kita agar bersegera sedaya mungkin untuk hadir ke
masjid bagi menghadiri solat dan khutbah Jumaat. Ada dinyatakan dalam sebuah
hadith[3] yang lain bahawa pada
setiap pintu masjid, terdapat Malaikat yang mencatat kehadiran jemaah
daripada yang terawal hadir sehinggalah yang terakhir. Semakin awal
kehadiran kita semakin besarlah ganjarannya sebagaimana yang dinyatakan sebelum
ini. Namun, para Malaikat tersebut bertindak menutup buku catatannya sebaik
sahaja Imam berada di atas mimbarnya untuk membaca khutbah. Hal ini
menunjukkan bahawa sesiapa yang hadir lewat daripada itu, maka namanya
tidak tercatat dalam kehadiran solat Jumaat tersebut dan tiada memperoleh
pahala daripada Allah azza wa jalla.
DUDUK DIAM WALAUPUN
BISING
Jemaah dituntut agar duduk
dengan diam dan meninggalkan segala perbualan bersama rakan. Tuntutan ini juga
meliputi segala jenis pertuturan yang keluar dari mulut seseorang, sekalipun ia
berupa nasihat atau teguran kepada jemaah lain yang bising atau leka berborak
sedang khatib sibuk berkhutbah. Hal ini sebagaimana yang disabdakan Nabi
Sallallahu ALayh wa Sallam:
إذَا
قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمْعَةِ: (أَنْصِتْ) وَالْإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ
Terjemahannya:
“Jika kamu berkata kepada rakanmu pada hari Jum’at (khutbah), “Diamlah kamu”
sementara Imam sedang berkhutbah, (maka) benar-benar kau telah membuat perkara
yang sia-sia”.
Ibn Hajar al-Asqalani
ketika memberi komentar mengenai hadith ini, beliau berkata: “Jika Nabi
Sallallahu Alayh wa Sallam menghukumkan ucapan “diamlah kamu” itu sebagai perkara
sia-sia [sekalipun asalnya ia merupakan suruhan ke arah kebaikan], maka ucapan
yang lain, lebih layak dianggap sebagai perkara sia-sia”[4]. Oleh itu, nasihat kepada
para jemaah, hendaklah duduk diam dan usah kesah pada jemaah yang lain semasa
imam sedang berkhutbah. Sekiranya ingin menasihati jemaah, alangkah elok
jika inisiatif tersebut dilakukan sebelum bermulanya khutbah dan hal ini
adalah sangat dialu-alukan.
RUMUSAN
- Hari Jumaat adalah penghulu segala hari bagi Umat Islam.
- Kita digalakkan hadir awal ke masjid untuk solat Jumaat.
- Malaikat tidak akan mencatat kehadiran jemaah yang datang selepas Imam berdiri di atas mimbar.
- Kita dituntut untuk diam dan tidak melakukan sebarang aktiviti sepanjang khutbah disampaikan.
- Digalakkan membuat terguran kepada jemaah sebelum memulakan khutbah.
Wallahu A’lam.
[1] Hasan: Diriwayatkan oleh
Ibn Majah dalam SunanNya, no.895 (Syeikh al-Albani menarik balik pandangannya
berkenaan hadith ini dengan menegaskan bahawa hadith ini darjatnya Dhaif [rujuk
al-Silsilah al-Dhoifah, no.3726). Penulis mengambilnya sebagai sandaran sahaja
kerana ia sekadar lemah dari segi sanad. Iaitu terdapat Abdullah bin Muhammad
bin Uqayl, sedangkan perawi-perawi lain kesemuanya thiqah (dipercayai). Tetapi,
Abdullah tersebut merupakan salah seorang perawi Imam Ahmad.
[2]
Sahih: Riwayat Muslim no.856 daripada Huzayfah al-Yamani.
[3]
Sahih: Riwayat al-Bukhari, no.3211 daripada Abu Hurayrah.
[4]
Ibn Hajar al-Asqalani, Fath al-Bari 1:481.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan