Telah disepakati oleh para ulama’ salaf (sebelum kurun keempat) hingga kini, satu sunnah qawliah yang dianjurkan Nabi SAW yang menunjukkan kepada kesempurnaan akhlak dan ketinggian adab berkomunikasi sesama manusia. Ia merujuk kepada sunnah mendoakan orang yang bersin dan kewajipan membalas doa mereka. Malah, dilihat sunnah tersebut masih lagi dipraktikkan oleh sebahagian masyarakat Islam yang prihatin sekalipun pada kaca mata umum ia terasa janggal.
Rasulullah SAW pernah berpesan kepada para sahabatnya berkaitan perihal seorang muslim yang bersin lalu menyebut nama Allah. Baginda menganjurkan agar dijawab: “Allah merahmati kamu”-Yarhamkallah- dan dibalas kembali dengan lafaz “Allah memberi petunjuk kepada kamu, dan dibaikkan keadaan kamu”-Yahdikumullah wa yuslih balakum”.(1)
Dalam hadith yang lain juga, Abu Hurairah radhiallahu anhu ada meriwayatkan daripada Nabi SAW, bahawa: “Sesungguhnya Allah SWT menyukai pembersin dan membenci penguap. Lantaran itu, jika seseorang bersin, pujilah Allah (dengan lafaz alhamdulilah) dan adalah menjadi kewajipan Muslim yang mendengarnya, mendoakan kebaikan untuknya (pembersin). Manakala, perbuatan menguap berasal daripada Syaitan. Justeru, tahanlah ia (daripada menguap) sekadar yang mampu kerana apabila keluar suara 'ah..' dari mulut seseorang itu, maka ketawalah syaitan (keriangan)”.(2)
Setiap perkara yang dianjurkan oleh Nabi SAW, pastinya ada hikmah disebaliknya sama ada mampu diketahui oleh manusia ataupun tidak. Sesungguhnya Allah SWT menyukai pembersin, sepertimana yang diakui oleh sarjana perubatan bahawa bersin mampu mengosongkan fikiran daripada masalah dan membuang segala keserabutan hati. Tambahan pula, ia dikatakan berpotensi meringankan anggota badan bagi mengurangkan percampuran sisa makanan dalam badan. Sedangkan perbuatan menguap, menyebabkan jiwa terganggu. Malah berpotensi mewarisi penyakit lupa dan malas.
Nabi SAW mengajar umatnya meletakkan tangan ke bibir ketika menguap. Menurut Baginda SAW, syaitan akan masuk ke dalam mulut penguap sekiranya tidak ditutup (3). Bahkan, al-Imam Badruddin al-A’aini berpandangan bahawa perbuatan menutup mulut tersebut wajar dipraktikkan pada setiap masa, termasuk ketika solat. Galakan mendoakan orang yang bersin amat jelas berdasarkan hadith yang dikemukakan di atas. Begitu juga, tegahan mendoakan pembersin yang tidak mengucapkan 'alhamdulillah'. Malah, sesetengah ulama menjatuhkan hukuman makruh mendoakannya. Manakala, sekiranya pembersin mengucapkan 'alhamdulillah', tetapi tidak didengari umum, tiada kewajipan bagi mendoakannya.
Wallah min wara’ al-qasd
(2) –Dikeluarkan oleh Bukhari (6223)(6226)
(3) –Dikeluarkan oleh Bukhari (6226)(6223)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan